m

17 Hari: Di Situ Akhirnya MH370

MIRI: Puisi ini dikirimkan oleh pengguna Facebook Chin Jun Kui Shiniteruyo di Facebook Astro AWANI. Bertajuk 17 Hari : Di Situ Akhirnya MH370, puisi ini dinukil oleh kakitangan Green Summit Corporation Sdn Bhd, Miri, Srawak.
Kami di sini berkongsi kesedihan dengan seluruh rakyat Malaysia, berkongsi puisi ini bersama anda.






17 hari
Di situ akhirnya MH370
Selatan Lautan Hindi
Kedalamannya tiada terkata

Doa......
Yang tak pernah putus
Akhirnya membawa pertunjuk
Walaupun jawapan kepada persoalan
Masih lagi dicari

Kecurigaan dan kerisauan kita itu
Akhirnya inilah jawapannya
Walau tiada apa lagi sandaran
Namun biarlah kesedihan ini
Kita selami dan tanggung bersama

Iringan doa
Akan selamanya bersama
Wira wirawatiku MH370
Perjalanan berakhir di tengah lautan
Episod sedih mengusik jiwa
Suratan takdir penentu segalanya
Moga akan damai kalian di sana


China minta data satelit daripada Malaysia 
BEIJING: Kerajaan China meminta Malaysia menyerahkan kepadanya semua analisis data satelit yang berkaitan dengan kehilangan pesawat Malaysia Airlines, lapor agensi berita Reuters.

Permintaan itu disampaikan oleh Timbalan Menteri Luar China, Xie Hangsheng kepada Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Iskandar Sarudin malam tadi.

Xie mengadakan pertemuan dengan duta Malaysia itu selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penerbangan pesawat Boeing 777-200 "berakhir" di kawasan selatan Lautan Hindi, berdasarkan kepada data terbaru satelit.

 

Operasi mencari ditangguhkan hari ini akibat cuaca buruk
PERTH: Operasi mencari oleh Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) ditangguhkan hari ini disebabkan keadaan cuaca yang buruk di lokasi pencarian.

Oleh kerana laut yang bergelora, kapal HMAS Success berlayar keluar dari lokasi pencarian awal pagi tadi dan kini berada di bahagian selatan lokasi pencarian sehingga ombak reda.

Ombak diramalkan setinggi dua meter sehingga bergelora mencecah empat meter.

Lokasi itu juga dijangka berdepan dengan angin kuat yang mencecah sehingga 80km sejam, hujan lebat dan awan tebal yang rendah pada ketinggian 200 dan 500 kaki dari paras laut.

Pihak AMSA mengambil keputusan bahawa keadaan cuaca tersebut membahayakan dan akan memberikan risiko kepada anak-anak kapal setelah membuat penilaian risiko.

Oleh itu, AMSA telah menangguhkan semua operasi hari ini disebabkan cuaca tersebut.

Pihak AMSA turut berunding dengan Biro Meteorologi dan dijangka keadaan cuaca bertambah baik pada waktu petang dan dalam beberapa hari yang akan datang.

Operasi mencari dijangka disambung semula esok sekiranya keadaan cuaca mengizinkan.

HMAS Success akan kembali ke lokasi pencarian apabila cuaca bertambah baik.

Malam tadi, kapal itu berusaha untuk mencari objek yang dilihat oleh pesawat RAAF P3 Orion. Objek tersebut dikesan oleh pesawat itu pada 11.45 pagi semalam.

Semalam, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa pesawat MH370 berakhir di Lautan Hindi.


Rakyat Malaysia kongsi ucapan takziah di media sosial
Kegusaran serta kebimbangan rakyat Malaysia ke atas kehilangan pesawat Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 berjawab.

Semalam, semasa suatu sidang media, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu disahkan berakhir di kawasan selatan Lautan Hindi di barat Perth, Australia.

Pengumuman yang sukar diterima ini rata-ratanya telah meruntun jiwa rakyat Malaysia yang sama-sama menunggu berita baik dari tragedi yang julung kalinya berlaku kepada Negara.

Di media sosial, ahli politik, selebriti serta orang ramai berkongsi rasa dukacita serta terkejut dengan pengumuman itu.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir,  serta pemimpin DAP Lim Kit Siang adalah antara ahli politik yang terawal mengucapkan rasa simpati dan takziah kepada ahli keluarga penumpang dan anak kapal MH370.

Turut berkongsi kesedihan adalah Maira Elizabeth Nari, anak kepada ketua pramugara pesawat itu, Andrew Nari.

Walau bagaimanapun ramai yang bersetuju dengan kenyataan Najib, agar menghormati ahli keluarga penumpang serta anak kapal pesawat MH370 dalam mereka menghadapi saat getir ini.

Di Instagram, beberapa orang ramai turut memuatnaik gambar profil berwarna hitam bagai memperingati tragedi hitam ini.

Satu sidang media mengenai pesawat MH370 dijangka akan diadakan hari ini.


Tanggungan perasaan AJ sangat berat
 
Ahmad Jauhari Yahya ditenangkan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, P. Kamalanathan

TRAGEDI kehilangan pesawat MH370 pastinya dugaan paling besar buat Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya. Di dalam pesawat itu ada 12 anak buahnya, manakala 227 lagi adalah penumpang yang menggunakan perkhidmatan penerbangan nasional menuju ke Beijing dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Siapa pun tidak merancang jauh sekali mahu kejadian seperti ini berlaku, namun takdir mengatasi segala-galanya apabila Boeing 777-200ER itu disahkan terhempas di satu lokasi terpencil di tengah-tengah Lautan Hindi.

Sepanjang 16 hari sebelum ini termasuk pada sidang akhbar petang tadi, Ahmad Jauhari kelihatan tenang. Dengan penampilan yang amat ringkas, beliau menjawab setiap soalan wartawan tanpa langsung ada unsur untuk menokok tambah jauh sekali mahu mempolitikkan suasana yang amat tegang itu.

Namun, malam ini, keadaan berubah. Beberapa minit sebelum sidang akhbar bermula, beliau dilihat melangkah longlai sambil menundukkan kepala masuk ke dewan dengan wajah yang amat sugul.

Jika kebiasaannya beliau turut berada di atas pentas, kali ini hanya pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ketua Pengarah Penerbangan Awam, Datuk Azharuddin Abdul Rahman serta Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ahmad Jauhari memilih untuk berada di bawah pentas. Sepanjang Najib membacakan kenyataannya, beliau tunduk. Di sebelahnya, Pengerusi MAS, Tan Sri Md Nor Yusof.

Sebaik kenyataan mengesahkan pesawat MH370 terhempas di tengah Lautan Hindi, Ahmad Jauhari kelihatan terlalu sedih. Beliau menangis apabila dipeluk oleh Timbalan Menteri Pendidikan, P. Kamalanathan.

Sesungguhnya tanggungan perasaan Ahmad Jauhari sangat berat. Tiada siapa mampu menyelami apa yang dirasainya bak kata pepatah berat mata memandang berat lagi bahu memikul.

Jika kaum keluarga penumpang MH370 kehilangan paling ramai dua ahli dalam tragedi yang menyayat hati itu, Ahmad Jauhari hilang 12 anak buah serentak. Beliau juga kehilangan 227 penumpang selain terpaksa berhadapan dengan suasana yang amat menekan perasaan.

Selami hatinya dan fahami tanggungan Ahmad Jauhari, nilai juga air matanya yang tumpah.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan