m

Adakah jangkitan herpes genital yang saya alami akan menjejaskan bayi dalam kandungan saya?

 

Sekiranya anda menghidap herpes genital pada awal kehamilan, badan anda mempunyai masa untuk menghasilkan antibodi bagi melawan virus tersebut sebelum bayi anda dilahirkan.

Ini satu perkara yang baik. Antibodi merupakan bahan kimia yang dihasilkan oleh badan anda untuk melawan jangkitan, dan anda akan menyalurkan antibodi ini kepada bayi semasa dia masih dalam kandungan.

Namun apa yang menyedihkan, dalam sesetengah kes, jangkitan herpes genital yang berlaku pada minggu-minggu awal kehamilan menyebabkan keguguran. Ingatlah bahawa perkara ini jarang berlaku. Kemungkinan besar bayi anda sihat dan lahir dengan selamat.

Doktor anda mungkin akan menasihatkan anda supaya mengambil ubat antiviral yang dipanggil aciclovir dalam minggu-minggu terakhir kehamilan. Ini dapat mengawal penyakit tersebut dan mengelakkan berlakunya serangan, atau episod, sekitar waktu bayi anda akan dilahirkan. Anda juga seharusnya dapat bersalin secara normal.

Jangkitan herpes genital yang berlaku buat pertama kalinya dalam minggu-minggu terakhir kehamilan adalah lebih membimbangkan. Pada hujung kehamilan seperti ini, badan anda tidak mempunyai masa untuk menghasilkan antibodi. Ini bermakna, bayi anda lebih berkemungkinan terkena jangkitan semasa dilahirkan. Oleh sebab itu, ibu-ibu yang dalam situasi ini biasanya akan dinasihatkan supaya melahirkan bayi mereka melalui pembedahan caesarean.

Jangkitan herpes yang berlaku kepada bayi yang baru lahir (herpes neonatal) boleh menjadi satu penyakit yang serius. Namun herpes neonatal sangat jarang berlaku. Ia hanya berlaku sekiranya tiada siapa yang sedar bahawa si ibu mengalami serangan herpes genital buat pertama kalinya sekitar waktu dia melahirkan. Dalam kebanyakan kes, jangkitan herpes genital tersebut diketahui dan disedari, maka si ibu dan bayi dapat menerima penjagaan yang sebaiknya.

Penting bagi anda memaklumkan kepada doktor sekiranya:
anda mengalami keperitan di bahagian sulit dan ianya aktif, iaitu bermaksud ia melepuh dan mengeluarkan cecair samada nanah atau darah;
anda rasa anda mengalami serangan herpes yang berlaku semasa proses kelahiran bermula.

Maklumkan kepada doktor anda jika anda syak bahawa anda menghidap herpes genital. Anda mungkin perlu dirujuk kepada doktor pakar. Segala maklumat yang anda berikan dapat membantu mereka memantau situasi anda dan bayi sepanjang kehamilan anda.

Jangan risau. Pihak hospital dan doktor dapat memberikan penjagaan yang betul untuk memastikan anda dan bayi anda berada dalam keadaan sihat dan selamat. Dan ingatlah bahawa kebanyakan wanita hamil yang menghidap herpes genital dapat melahirkan bayi yang sihat.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan