m

"Kami bukan hilang baju atau jam, kami mungkin hilang nyawa," Pak Selamat kecewa dengan MAS

SEPANG: Keluarga penumpang MH370 yang ditempatkan di Hotel Everly sejak kehilangan pesawat tersebut dibenarkan tinggal di hotel itu sehingga Jumaat ini.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh seorang sukarelawan dari Malaysia Airlines (MAS) kepada pihak media di hotel berkenaan Rabu.

Sukarelawan itu berkata, bilik-bilik di Hotel Everly telah ditempah hanya sehingga Jumaat.

“Selepas itu, Perbadanan Putrajaya dan Jabatan Kebajikan Masyarakat dibawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang akan mengambil alih pembiayaan waris penumpang dan akan menentukan sekiranya mereka akan terus tinggal di hotel itu atau tidak.

“Kebanyakan daripada waris penumpang MH370 telah pun meninggalkan hotel ini dan balik ke rumah masing-masing,” kata sukarelawan tersebut.

Sementara itu Selamat Omar, ayah kepada Mohd Khairul Amri yang merupakan salah seorang penumpang di dalam pesawat itu, berkata mereka diberitahu tentang pengambil alihan itu pada Selasa.

“Ya, memang kami diberitahu kami akan tinggal di sini sehingga Jumaat dan selepas itu, Perbadanan Putrajaya dan Jabatan Kebajikan Masyarakat akan membuat keputusan jika kami masih boleh tinggal di sini,” katanya mengiyakan perkara itu.


 

Selamat melabelkan tindakan MAS memberi tugas pembiayaan kepada Perbadanan Putrajaya dan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebagai sangat tidak bertanggungjawab.
“Semalam MAS berkata Perbadanan Putrajaya dan Jabatan Kebajikan Masyarakat akan ambil alih pembiayaan dan penjagaan waris di Hotel Everly. Namun, tiada sebab diberikan.

“Bilik operasi MAS yang ada di hotel ini pun sudah tiada sejak hari ini. Saya rasa MAS tidak peka kepada keadaan waris.

“Kami bukannya hilang baju atau jam. Kami kemungkinan hilang nyawa. MAS perlu bertanggungjawab di saat-saat genting ini. Saya sungguh kecewa MAS serahkan beban tugas kepada pihak lain,” katanya kepada Astro AWANI.

Menurut Selamat yang merupakan seorang peneroka Felda, tiada sehari pun beliau berputus asa bahawa anaknya akan kembali ke pangkuannya.

“Saya yakin kerajaan sedang berusaha sedaya upaya untuk mencari pesawat itu. Saya berharap ia akan dijumpai.

“Begitu juga dengan keluarga saya. Walaupun isteri saya dan isteri anak saya menangis sejak mendapat tahu tentang kehilangan pesawat itu, mereka semakin tabah,” katanya.

Walaubagaimanapun, MAS, dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan semalam berkata, penumpang dan krew di dalam pesawat MH370 serta keluarga mereka sentiasa dipentingkan.

“Selama ini, keluarga penumpang MH370 sentiasa diberi taklimat pertama tentang apa-apa perkembangan pesawat yang hilang itu.

“Namun, maklumat yang sering bercanggah dan spekulasi telah membawa keperitan dan kesusahan yang besar kepada keluarga penumpang.

“Keutamaan kami adalah memberikan segala bantuan kepada keluarga para penumpang dan anak kapal,” kata MAS.

Pesawat B777-200 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal itu dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dan hilang daripada radar tidak sampai sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 pagi, 8 Mac lepas.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.

Sejak hari kejadian, keluarga penumpang pesawat ditempatkan di dua buah hotel iaitu Hotel Everly, Putrajaya dan Hotel Cyberview Resort & Spa, Cyberjaya bagi memudahkan Malaysia Airlines (MAS) memaklumkan perkembangan terkini mengenai pesawat berkenaan.

Kira-kira 30 anggota keluarga penumpang dari China ditempatkan di hotel Cyberview Resort & Spa manakala lebih 100 anggota keluarga di Hotel Everly.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan