SEBAHAGIAN pengunjung melihat pameran manik di Muzium Negara baru-baru ini.
SEJARAH merupakan antara perkara penting dalam kehidupan manusia. Untuk sentiasa mengingatinya walaupun perasaan bercampur pahit dan manis mengenang kejadian yang berlaku, kita tetap wajar memahaminya.
Sama ada sejarah itu dalam bentuk peristiwa mahupun bahan peninggalan nenek moyang kita, masing-masing mempunyai signifikan yang tersendiri.
Salah satu cara untuk kita mendalami peristiwa penting adalah melalui pembacaan buku sejarah. Bagaimanapun, anak muda sekarang dilihat tidak senang dengan kaedah itu.
Justeru, pendekatan lain yang boleh dilakukan bagi memberi pendedahan kepada mereka tentang sejarah adalah dengan membuat lawatan ataupun berkunjung ke muzium.
Tinjauan S2 ke Muzium Negara baru-baru ini mendapati masih ada remaja yang berminat untuk mendalami sejarah bagi mengisi masa lapang mereka.
Menurut seorang pelajar di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Shah Alam, Mohd. Muhaime Mat Ridzan, 21, sambil mengetahui fakta tentang sesuatu perkara, pelbagai seni dapat dilihat di muzium tersebut.
"Hari ini, secara kebetulan ada pameran manik. Banyak perkara baharu yang saya dapati daripada berkunjung ke sini kerana saya dapat melihat dengan lebih dekat bahan tersebut.
"Hasil tangan mereka kreatif dan amat menarik perhatian sesiapa sahaja yang datang ke sini. Lagipun tidak semua tempat mempamerkan bahan tersebut," katanya.
Menurut Mohd. Muhaime, selama ini dia hanya dapat membayangkan sahaja barang-barang purba melalui bahan bacaan, tetapi dengan kunjungannya ke muzium itu, ia memberi peluang kepadanya untuk melihat sendiri artifak tersebut.
Rakannya, Mohamad Arzahari Arshad, 22, menggalakkan remaja untuk melawat ke tempat sebegini bagi menambah ilmu pengetahuan.
"Secara umumnya memang kita tahu apa itu manik yang terdapat dalam pelbagai bentuk. Tetapi di kedai-kedai yang menjualnya, ia hanya mempamerkan sedikit sahaja jenis-jenis manik yang ada.
"Adakalanya buku sejarah memberitahu fakta yang tidak mendalam tetapi apabila kita lihat sendiri dengan maklumat yang diberi di sini, perkara yang disebutkan dalam setiap paparan adalah secara terperinci," katanya.
Sementara itu, seorang lagi rakan mereka, Khairul Ikmal Zainudin, 22, menyifatkan tindakan remaja yang tidak mengisi masa lapang dengan perkara berfaedah sebagai suatu perbuatan membazirkan masa.
"Orang ramai boleh melihat sendiri anak-anak muda pada masa kini yang kebanyakannya hanya melepak di kedai makan dan berlegar-legar di pusat beli-belah.
"Saya sendiripun kadangkala terjerumus untuk melakukan perkara yang tidak membina diri, seperti menghabiskan masa dengan tidur di rumah apabila tidak mempunyai sebarang aktiviti untuk dilakukan," katanya.
Dalam pada itu, Khairul Ikmal memberitahu, banyak faedah yang boleh diperoleh dengan berkunjung ke tempat seumpama Muzium Negara.
"Di sini kita dapat melihat pelbagai seni yang datangnya dari manusia zaman purba sehingga manusia moden hari ini. Perkara sebegini sepatutnya menjadi pemangkin kepada remaja untuk terus berinovasi.
"Di samping itu, adat serta bahan tradisional Malaysia juga dapat difahami, sekali gus ia menambah pengetahuan mengenai negara kita yang tercinta ini," katanya.
Pengunjung yang hadir ke Muzium Negara pada hari tersebut bukan sahaja dapat melihat peralatan bersejarah, malah mereka juga disajikan dengan dua persembahan dalam suatu majlis yang diadakan.
Dalam pada itu, terdapat satu acara sedang berlangsung di Muzium Negara ketika tinjauan ini dilakukan iaitu Majlis Penyampaian Hadiah Kuiz Musim Cuti Sekolah Muzium Negara yang menampilkan kumpulan Artis Budaya Perbandaran Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor, selain persembahan tarian dan penampilan Jazlina Sofiya Itqan Muhammad Jabir Ithar, 7, yang menyampaikan cerita rakyat kepada pengunjung.
Bukan sahaja pengunjung dari luar ibu kota yang datang ke sini pada hari tersebut, malah pelancong asing turut memeriahkan lagi suasana di Muzium Negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan