KUALA KEDAH: Kehilangan pesawat Boeing 777-200 milik Malaysia Airlines pada 8 Mac lalu langsung tidak memberikan kesan kepada sektor pelancongan di negeri Kedah sama ada dalam jangka masa pendek mahu pun panjang.
Perkara itu dapat dilihat di pintu masuk untuk ke Pulau Langkawi iaitu di Jeti Kuala Kedah di mana kehadiran pelancong yang tidak pernah putus-putus, sekaligus membuktikan bahawa pelancong asing masih mempunyai keyakinan terhadap keamanan dan kesejahteraan Malaysia.
Menurut pelancong dari Guangzhou, China, Yoyo Lai, 34, meskipun insiden kehilangan pesawat MH370 disifatkan sebagai satu misteri namun ia tidak mematahkan semangatnya dan rakan-rakan yang lain untuk berkunjung ke negara ini.
Menurutnya lagi, insiden tersebut telah melonjakkan nama Malaysia ke peringkat antarabangsa dan rata-rata pelancong dari Guangzhou berkata mereka datang ke negara ini untuk melihat sendiri bagaimana rakyat Malaysia menghadapi musibah tersebut.
Yoyo turut mengakui, dek kerana insiden itu dia berminat untuk mengenali Malaysia malah terus melakukan pencarian di internet mengenai lokasi pelancongan menarik yang terdapat di negara ini.
“Saya memang teringin untuk datang ke negara ini sejak dulu lagi setelah menonton keindahan di negara ini. Oleh itu saya buat pilihan untuk datang ke sini.” jelas Yoyo Lai pelancong dari Guangzhou, China.
Menurut rakannya, Li Shad Juan, 25, meskipun kehilangan pesawat MH370 itu menakutkan namun insiden terbabit bukan sesuatu yang sering berlaku dan tidak mematahkan semangatnya untuk melancong ke negara ini.
Malah dia sendiri telah memperuntukkan sebanyak RM2,153 untuk percutian selama 3 hari di negara ini.
Bagaimanapun dia turut bersimpati dengan kejadian yang menimpa penumpang serta anak kapal MH370 serta mendoakan mereka selamat.
“Kami sukakan Malaysia dan akan kembali lagi ke sini. Saya tidak takut dengan insiden yang berlaku dan mula menyayangi negara ini.” tambah Li Shad Juan.
Sementara itu, menurut pemandu pelancong berlesen, Lee Kok Hoong, 43, dia yang dipertanggungjawabkan untuk membawa seramai 26 orang pelancong dari negara China itu bagaimanapun langsung tidak mengalami sebarang masalah seperti pelancong menarik diri di saat-saat akhir.
Namun, insiden kehilangan MH370 tersebut langsung tidak mematahkan semangat pelancong berkenaan untuk ke negara ini berikutan layanan mesra serta pelbagai tarikan pelancongan yang ada di sini mampu mengatasi perasaan takut para pelancong tersebut.
“Ini secara tidak langsung telah memberikan keyakinan mereka bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang aman damai, kita hidup pelbagai bangsa di sini dan hidup sebagai satu keluarga semua saling tolong menolong. Ia memberi keyakinan mereka semasa melancong di sini Malaysia adalah sebuah negara yang aman damai dan semua bangsa bangsa bertolak ansur. Insiden yang berlaku kepada MH370, saya nampak sementara dan tiada kesan kepada pelancongan.” tambahnya lagi.
Insiden kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 secara misteri disifatkan kes terpencil serta tidak akan mematahkan semangat pelancong-pelancong asing untuk berkunjung ke negara ini.
Pada 8 Mac lalu, pesawat MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing selepas sejam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan