m

MH370: Najib berjumpa Panglima ATM berhubung objek yang dikesan Australia


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan perbincangan dengan Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin mengenai pengesanan objek di selatan Lautan Hindi yang mungkin berkaitan dengan pencarian pesawat Malaysia Airlines yang hilang. 
Najib dalam catatan terbaharu Twitternya berkata beliau mengadakan perjumpaan itu selepas Perdana Menteri Australia Tony Abbott menelefon beliau untuk menyampaikan berita pengesanan imej objek di satelit. 

Abbot menelefon Najib pada pukul 10 pagi hari ini untuk memberitahu beliau tentang kemungkinan objek yang berkaitan dengan pesawat MAS MH370 yang hilang dikesan di selatan Lautan Hindi.

Perdana menteri Australia itu memberitahu Parlimen di Canberra awal hari ini bahawa imej satelit telah menunjukkan dua objek yang mungkin berkaitan dengan pesawat MAS Boeing 777-200ER yang hilang pada 8 Mac.
 

Agensi berita Reuters memetik Abbot sebagai berkata "Lembaga Keselamatan Maritim Australia (AMSA) telah menerima maklumat berasaskan imej satelit mengenai objek yang mungkin berkaitan dengan pencarian itu."
 

Pesawat Malaysia Airlines MH370, dengan 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang pada 8 Mac kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada pukul 12.41 tengah malam sebelumnya. Pesawat itu dijadual tiba di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama.
 

Pengumuman hari ini di Australia bersamaan hari ke-13 misi mencari pesawat itu, menggabungkan kerjasama pelbagai negara, yang berpandukan data satelit telah mengalih operasi dari kawasan pencarian asal di Laut China Selatan ke Lautan Hindi.
 

Kawasan pencarian telah diperbesar meliputi bahagian luas di sebelah barat Malaysia termasuk Lautan Hindi apabila diketahui bahawa pesawat itu telah terbang selama tujuh jam selepas hilang dari radar.
 

Operasi mencari itu kemudian memberi tumpuan kepada dua koridor, menjangkaui dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan ke utara Thailand, dan koridor selatan dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan