SEPANG: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 mungkin mengambil masa yang lebih lama.
“Ini akan mengambil masa yang lama, kita perlu mendalami perkara ini,”
kata Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein
semasa sidang media khas yang diadakan di Lapangan Terbang Antarabangsa
Kuala Lumpur (KLIA) pada Jumaat.
Hishammuddin yang juga
merupakan Menteri Pertahanan berkata setakat ini tiada laporan positif
diterima dan mengakui tempoh 30 hari bagi mencari kotak hitam sebelum
kehabisan bateri merupakan suatu situasi yang rumit.
Beliau
walaubagaimanapun menambah bahawa terdapat teknologi yang dapat mengesan
kotak hitam tersebut walaupun selepas 30 hari, seperti kejadian pesawat
Air France 447 yang terhempas pada 2009. Pihak berkuasa Perancis yang
telah menjalankan siasatan ke atas kejadian tersebut kini turut membantu
Malaysia dalam mencari MH370.
Hishammuddin berkata,
kelengkapan tersebut adalah terhad dan kini beliau sedang memohon
bantuan daripada beberapa negara bagi ‘peluang untuk menggunakannya’.
Dalam pada itu misi pencarian masih diteruskan di koridor Utara dan
Selatan walaupun fokus kini menjurus kepada dua objek yang dikesan oleh
satelit berkemungkinan ada kaitan dengan MH370 dimana perkara ini telah
didedahkan oleh pihak berkuasa Australia pada Khamis.
China telah menghantar lima buah kapal dan tiga buah helikopter yang kini sedang menuju ke arah koridor selatan.
Sementara itu Jepun turut menghantar asetnya ke Perth, termasuk dua buah P3 Orion bagi membantu misi pencarian.
“Pagi tadi saya sempat bercakap dengan Pemangku Suruhanjaya Tinggi
Britain untuk mengesahkan Perdana Menteri telah bercakap dengan Perdana
Menteri Britain di mana MHS Echo telah pun dalam perjalanan menuju ke
bahagian selatan Lautan Hindi.
“Pihak British juga akan
menyediakan satu senarai kemungkinan aset yang dapat mereka sediakan
jika diperlukan. Tambahan daripada bantuan teknikal, mereka juga telah
mengesahkan mereka akan menyediakan khidmat pakar serta bantuan
penyiasatan,” kata Hishammuddin.
Hishammuddin berkata Malaysia
kini juga sedang meminta bantuan daripada Amerika Syarikat dalam usaha
pencarian ini termasuk kenderaan kawalan jauh bagi misi pencarian di
laut dalam.
Menyentuh misi di koridor utara, beliau berkata Kazakhstan memaklumkan bahawa pesawat MH370 tidak mendarat di kawasan mereka.
“Kami kini sedang menantikan pengesahan daripada mereka supaya kita
dapat menggunakan Kazakhstan sebagai titik transit bagi operasi
seterusnya,” tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan