KUALA LUMPUR: Penemuan dua objek
oleh satelit Australia yang berada di Lautan Hindi berhampiran negara
itu yang dikaitkan dengan kehilangan pesawat MH370 Penerbangan Malaysia
itu berkemungkinan mempunyai kebenarannya.
Mantan Panglima Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM), Tan Sri Suleiman
Mahmud berkata imej satelit yang dirakam pada 16 Mac itu berkemungkinan
telah berubah dari segi arah dan lokasi asal sebelum ianya ditemui.
"Imej satelit yang kita sudah terima tadi itu menunjukkan imej ini
telah dirakam pada 16 Mac lalu yang lalu dan setelah empat hari, ianya
telah berubah arah dan lokasinya kerana ianya banyak bergantung pada
cuaca dan arus lautan di kawasan tersebut," kata Suleiman kepada Astro
Awani.
Beliau yang pernah menjawat jawatan tertinggi dalam TUDM
itu dari tahun 2001 hingga 2003 menambah objek tersebut mungkin telah
dipukul arus antara 120 hingga 130km dan menyebabkan ianya
terapung-apung di luar kawasan asalnya itu.
"Apapun penemuan
ini dapat menggalakkan dan memberi motivasi yang agak tinggi dan
semangat baru kepada mereka-mereka yang terlibat dalam usaha mencari
pesawat MH370 kerana sudah masuk hari ke-13 operasi dijalankan tanpa
menemui sebarang petunjuk yang positif,".
Suleiman berpendapat
dalam keadaan sedemikian sudah tentu para pencari dan penyelamat ini
sedikit sebanyak berasa tertekan, letih dan kurang motivasi dan
diharapkan penemuan terbaru ini bakal memberi satu perkembangan positif
dalam operasi pencarian pesawat tersebut.
Menurutnya lagi,
meskipun objek yang dikesan melalui satelit Australia dikaitkan dengan
kehilangan pesawat MH370 namun tiada bukti kukuh dan sahih untuk
mengesahkannya adalah sebagai sepihan dari pesawat tersebut.
"Malah dalam hal ini juga agak sukar untuk dikatakan pesawat ini membuat
pendaratan cemas di air secara 'soft landing' atau 'hard landing' namun
apa yang dapat dipastikan ialah setiap pesawat yang mendarat cemas di
permukaan air lazimnya akan mencetuskan impak dimana pesawat tersebut
berpecah kepada beberapa bahagian,".
Dalam hal ini, usaha
mencari dan menyelamat pula akan dikordinasi di Perth di mana kawasan
pencariannya akan dipecah-pecahkan kepada beberapa sekotor untuk
diterokai oleh aset-aset ketenteraan pasukan penyelamat dari pelbagai
negara.
"Mungkin satu pesawat akan diarahkan terbang di satu
sektor dan yang lain pula di suatu sektor yang lain dan ini dilakukan
demi keselamatan agar pesawat-pesawat penyelamat ini tidak pula
betrtembung sesama sendiri terutama ketika pencarian dilakukan pada
waktu malam,".
Tiada ulasan:
Catat Ulasan