KUALA LUMPUR: Penemuan dua objek oleh satelit Australia yang berada di Lautan Hindi berhampiran negara itu yang dikaitkan dengan kehilangan pesawat MH370 Penerbangan Malaysia itu berkemungkinan mempunyai kebenarannya.
Mantan Panglima Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM), Tan Sri Suleiman Mahmud berkata imej satelit yang dirakam pada 16 Mac itu berkemungkinan telah berubah dari segi arah dan lokasi asal sebelum ianya ditemui.
"Imej satelit yang kita sudah terima tadi itu menunjukkan imej ini telah dirakam pada 16 Mac lalu yang lalu dan setelah empat hari, ianya telah berubah arah dan lokasinya kerana ianya banyak bergantung pada cuaca dan arus lautan di kawasan tersebut," kata Suleiman kepada Astro Awani.
Beliau yang pernah menjawat jawatan tertinggi dalam TUDM itu dari tahun 2001 hingga 2003 menambah objek tersebut mungkin telah dipukul arus antara 120 hingga 130km dan menyebabkan ianya terapung-apung di luar kawasan asalnya itu.
"Apapun penemuan ini dapat menggalakkan dan memberi motivasi yang agak tinggi dan semangat baru kepada mereka-mereka yang terlibat dalam usaha mencari pesawat MH370 kerana sudah masuk hari ke-13 operasi dijalankan tanpa menemui sebarang petunjuk yang positif,".
Suleiman berpendapat dalam keadaan sedemikian sudah tentu para pencari dan penyelamat ini sedikit sebanyak berasa tertekan, letih dan kurang motivasi dan diharapkan penemuan terbaru ini bakal memberi satu perkembangan positif dalam operasi pencarian pesawat tersebut.
Menurutnya lagi, meskipun objek yang dikesan melalui satelit Australia dikaitkan dengan kehilangan pesawat MH370 namun tiada bukti kukuh dan sahih untuk mengesahkannya adalah sebagai sepihan dari pesawat tersebut.
"Malah dalam hal ini juga agak sukar untuk dikatakan pesawat ini membuat pendaratan cemas di air secara 'soft landing' atau 'hard landing' namun apa yang dapat dipastikan ialah setiap pesawat yang mendarat cemas di permukaan air lazimnya akan mencetuskan impak dimana pesawat tersebut berpecah kepada beberapa bahagian,".
Dalam hal ini, usaha mencari dan menyelamat pula akan dikordinasi di Perth di mana kawasan pencariannya akan dipecah-pecahkan kepada beberapa sekotor untuk diterokai oleh aset-aset ketenteraan pasukan penyelamat dari pelbagai negara.
"Mungkin satu pesawat akan diarahkan terbang di satu sektor dan yang lain pula di suatu sektor yang lain dan ini dilakukan demi keselamatan agar pesawat-pesawat penyelamat ini tidak pula betrtembung sesama sendiri terutama ketika pencarian dilakukan pada waktu malam,".
Tiada ulasan:
Catat Ulasan