KUALA LUMPUR: Kapal peninjau pelbagai fungsi HMS Echo
milik United Kingdom (UK) kini dalam perjalanan ke selatan Lautan Hindi
bagi membantu operasi mencari dan menyelamat pesawat Malaysia Airlines
MH370.
Suruhanjaya Tinggi British dalam kenyataan di sini hari
ini, berkata pengerahan kapal itu yang boleh menyokong operasi kapal
selam dan amfibia adalah susulan tawaran bantuan daripada Perdana
Menteri Britain David Cameron kepada rakan sejawatannya Datuk Seri Najib
Tun Razak menerusi perbualan telefon pada Selasa lepas.
"UK
sentiasa berhubung rapat dengan pihak berkuasa Malaysia dan Australia
sejak kehilangan pesawat MH370 pada 8 Mac dan telah menawarkan bantuan
tambahan," kata jurucakap Kementerian Luar UK dalam kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, setakat ini UK sudah menghantar dua wakil dari
Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara (AAIB) yang disokong oleh
penasihat Rolls-Royce dan Inmarsat.
Beberapa pakar antaranya
dari Kementerian Pertahanan serta Jabatan Hidrografik sedang meneliti
data laut, cuaca dan satelit bersama-sama pihak berkuasa Malaysia bagi
mengesan pesawat itu, kata kenyataan tersebut.
Menurut
kenyataan itu sebuah kapal peronda perikanan juga terbabit dalam operasi
di sekitar perairan wilayah British di Lautan Hindi, manakala polis UK
serta pihak berkuasa berkaitan membantu memeriksa manifes mereka yang
dilapor menaiki MH370.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan