KUALA LUMPUR: Penglibatan banyak negara dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 mampu memberi kesan positif kepada Malaysia apabila ia melibatkan perkongsian kepakaran dan penggunaan teknologi canggih di peringkat antarabangsa.
Bekas Ketua Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tan Sri Zaman Khan Rahim Khan berkata langkah Malaysia untuk bekerjasama dengan negara luar sememangnya bijak kerana Malaysia tidak mempunyai pengalaman (begitu juga kebanyakan negara lain) untuk mengendalikan krisis seperti ini.
"... apatah lagi ia merupakan pengalaman kali pertama negara mengendalikan kehilangan pesawat lebih daripada 10 hari.
"Insiden seperti ini tidak boleh dikendalikan secara perseorangan kerana kekangan dari segi kemampuan dan pengalaman Malaysia, jadi penglibatan negara maju seperti Amerika Syarikat, China dan Australia mampu membantu dengan teknologi serba canggih mereka," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Zaman Khan turut mengaitkan insiden kehilangan MH370 dengan pengalamanya dalam kejadian Highland Towers, apabila operasi SAR turut melibatkan beberapa negara luar.
Katanya pada waktu itu di bawah naungan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, bantuan negara luar sangat dialu-alukan dalam misi mencari dan menyelamat mangsa di bawah timbunan konkrit.
Antara negara yang terlibat adalah Perancis, Amerika Syarikat, Singapura dan Britain untuk mengesan mangsa dengan menggunakan teknologi canggih yang dimiliki mereka.
Justeru beliau menasihati orang ramai agar memahami kerajaan bersama-sama anggota keselamatan lain, yang sedang bertungkus lumus untuk mengesan pesawat yang hilang itu.
"Saya tahu bukannya mudah untuk mengendali perkara sebegini namun harapan saya agar orang ramai bersabar dan jangan buat sebarang spekulasi tidak menentu yang boleh memburukkan keadaan lagi," katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM) Mohd Ali Baharom berpendapat penglibatan negara luar dalam operasi SAR itu adalah tepat pada masanya.
Mohd Ali berkata dalam masa-masa kecemasan sebegini, negara luar berkemungkinan mampu mengesan ataupun menjejak pesawat itu melalui teknologi canggih mereka.
"Ia melibatkan hubungan baik Malaysia dan negara luar untuk mengesannya," katanya kepada Bernama.
Usaha mencari dan menyelamat pesawat MH370 disertai 26 negara termasuk Australia, China, Amerika Syarikat, United Kingdom, Singapura dan India.
Pesawat Boeing 777-200ER itu yang membawa 239 orang, berlepas ke Beijing dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 8 Mac lepas dan hilang sejak itu, yang kini masuk hari ke-16.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan