Bengkel gendang silat pahang.
Pada 19 hingga 28 November lalu penulis dengan rombongan Persatuan Silat Negeri Pahang diundang oleh Persekutuan Silat Melayu Netherland menyertai Festival Seni Budaya dan Seminar di negara benua Eropah itu. Individu yang mengundang kami ialah Angah Rob Brandt, Presiden Persekutuan Silat Melayu Netherland, juga Mahaguru Seni Silat Satria Pusaka.
Beliau mempunyai ratusan murid di Belanda yang aktif dalam aktiviti dan kejuaraan silat yang disertai di seluruh dunia. Sebagai pengamal silat, beliau memberi penghormatan kepada perguruan silat Malaysia mengembangkan sayap di sana.
Angah Rob ingin beralih arah kerana 90 peratus perguruan silat di Belanda berasal dari Indonesia. Beliau tertarik dengan seni warisan budaya Pahang terutama Gendang Silat Pahang dan Silat Melayu Pahang.
Peluang keemasan tidak dilepaskan. Ia program dua dalam satu. Pertama, menghadiri festival dan kedua melawat tempat menarik dan bersejarah. Sudah terbayang keindahan alam semula jadi Netherland, Holland atau Belanda. Sebuah negara yang amat terkenal dengan bola sepak, kincir angin, terompah kayu dan bunga tulip.
Semangat terus berkobar-kobar untuk mengangkat warisan seni budaya negara agar berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan budaya luar.
Penerbangan tanpa henti pesawat MAS dari KLIA mengambil masa 13 jam ke Lapangan Terbang Schipol, Amsterdam lapangan terbang keempat terbesar di Eropah dan ke-10 terbesar dunia. Sebaik sampai, rombongan 14 orang ini menaiki kereta api di Amsterdam Central Station menuju Roermond - tempat berlangsung Festival Seni Budaya dan seminar.
Pemandangan
Sepanjang perjalanan melalui bandar Heerlen, Weert, Eindhoven dan Sittard, kami disaji pemandangan indah. Negara rendah dan datar ini di kelilingi air di segenap tempat. Kelihatan lembu, biri-biri dan kuda memagut rumput, terusan, rumah batu, kincir angin dan pohon dengan daun kemerahan berguguran di musim luruh. Setelah dua jam perjalanan, kami tiba di stesen kereta api Roermond. Penduduk di sini kebanyakannya menggunakan basikal sebagai pengangkutan utama.
Kami disambut oleh Angah Rob bersama anaknya Indra dan dibawa ke Hotel Roermond - tidak sampai 100 meter dari stesen kereta api. Angah Rob dan rakannya sering berulang alik ke Malaysia bagi mendalami Silat Melayu Keris Lok 9 dan Senaman Tua daripada Guru Dr. Azlan Ghanie di Kuala Lumpur. Beliau yang dididik dengan adab, adat dan istiadat silat Melayu mendapati seni ini masih mengekalkan tradisi disiplin yang membuatkan beliau terpikat dengannya.
Seminar Gendang Silat Pahang bermula sebelah malam di Kompleks Sukan Herteheym dan Roermond menghimpun pelajarnya yang bersemangat. Turut hadir Bapak Frits Drijsen, 90, dari Dewan Sesepuh Persekutuan Silat Melayu Netherland. Selepas itu Angah Rob mengundang kami makan malam di rumahnya dengan masakan Melayu, membuatkan kami seolah-olah berada di negara sendiri.
Pada masa lapang kami mengelilingi bandar Roermond. Terdapat kedai Asian Food Store yang dimiliki orang Cina dari Guangzhao, menjual barang keperluan seperti beras, sardin, sayur, mi segera, ikan masin serta durian. Kebanyakannya datang dari Malaysia dan Thailand. Kedai di Roermond tutup pada pukul 6.00 petang kerana pada jam 5.00 petang, keadaan sudah gelap
.Makan malam di rumah Angah rob brandt.
Dinobatkan
Festival Seni Budaya dan Seminar membuka tirai di Kompleks Sukan Herteheym. Didahului ucapan ketua rombongan, Datuk Md. Sohaimi Mohamed Shah. Esoknya diadakan pertandingan silat olahraga putera dan puteri bagi mengungguli kategori masing-masing.
Setelah festival berlabuh, kami menghabiskan beberapa hari di Roermond. Kami menaiki kereta api dari Roermond ke Amsterdam - yang menjadi tumpuan pelancong dan syurga membeli-belah terkenal.
Amsterdam, sebuah kota tua di Belanda dan Eropah mendapat nama daripada Amstel Dam. Kota ini kaya dengan seni bina, terusan panjang dan muzium bertaraf antarabangsa. Empangan dalam Sungai Amstel boleh dilihat di Dam Square. Amsterdam juga dikenali sebagai Venice Of The North, City Of Museums, Party Capital Of Europe dan Sin City.
Basikal adalah pengangkutan utama di sini dan lebih 600,000 basikal dimiliki masyarakat di sini. Belanda pernah dinobatkan sebagai kota mesra basikal.
Di Amsterdam terdapat 232 tram, 51 muzium dan 141 galeri seni. Muzium negeri paling berprestij dan terbesar ialah Rijksmuseum - yang mempamerkan hasil nukilan Vermeer, Rembrandt selain menyimpan lukisan era Dutch Golden Age serta koleksi seni Asia.
Lawatan tidak lengkap jika tidak ke Muzium Van Gogh yang menyimpan 200 hasil karya pelukis terkenal Belanda di abad ke-19.
Muzium lain yang mesti dikunjungi ialah Amsterdam Museum, Museum Of Bags and Purses, Anne Frank House, Spiegelkwartier Museum dan Rembrant House Museum.
Anne Frank House ialah sebuah muzium dikenali sebagai A Museum With A Story, menyimpan diari Anne Frank yang ditulis di lokasi rahsia sewaktu bersembuny ketika Perang Dunia Kedua. Spiegelkwartier Museum mempamerkan koleksi seni antik Amsterdam. Rumah Rembrandt yang dibina pada abad ke-17 dijadikan muzium dan dikenali Rembrant House Museum.
Pada 2013, Belanda menyambut ulang tahun ke-400 tahun terusannya. Kami tidak melepaskan peluang menaiki Canal Cruise atau Hop On Hop Off Bus Cruise mengelilingi Amsterdam dengan bayaran 15 euro seorang.
Pasar Albert Cuyp yang kami lawati terkenal kerana terdapat gerai menjual keju, zaiton, herba, rempah ratus, wafel madu, kopi, buah-buahan dan sayur-sayuran segar. Waterlooplein ialah pasar lambak harian dengan 300 gerai menjual pakaian terpakai. Dam Square pula dataran negara yang paling tua di Amsterdam. Seribu tahun lampau ia menjadi penempatan nelayan, pembuat kapal dan pengukir seni kraf.
Di Dam Square tersergam National War Monument dan The Royal Palace Amsterdam. Istana ini dibina pada abad ke-17 dan dijadikan Dewan Bandaraya Amsterdam. Sewaktu Louis Napoleon menjadi raja di Belanda, beliau menggunakan Dewan Bandaraya sebagai istana. Louis ialah abang kepada Napoleon Bonaparte, Emperor Perancis. Kami turut mengunjungi Madame Tussauds.
Misi kami ke Belanda mendapat kejayaan dalam mengangkat Silat Melayu. Jemputan akan menyusul lagi pada masa hadapan. Festival yang dianjurkan oleh Persekutuan Silat Melayu Nederland mendapat tindak balas positif masyarakat di sana.
Lebih banyak lagi perguruan silat akan mendaftar untuk menyertai festival itu pada masa depan. Satu festival besar-besaran akan dianjurkan Jun nanti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan