m

Spa Terbaik Pulihkan Semangat

Pemandangan indah yang dapat disaksikan ketika melakukan aktiviti snorkeling.

PEMANDANGAN indah dan suasana damai di pulau merupakan ‘spa’ terbaik untuk memulihkan semula semangat selepas sekian lama terperangkap dalam kesibukan bandar.

Namun untuk percutian yang lebih lama di sebuah pulau, lazimnya kos akan menjadi faktor utama yang menghalang keinginan bersantai di ‘spa’ semula jadi itu.

Justeru itu, persinggahan ke Cozy & Cocohut Resort di Pulau Perhentian Besar, Terengganu adalah pilihan penginapan yang amat tepat.

Sesiapa saja pasti akan teruja dan jatuh cinta pada keindahan panorama Pulau Perhentian, pulau yang terkenal dengan keindahan terumbu karang.

Bayu berpuput lembut serta keindahan butir-butir pasir yang melandai menambahkan lagi keasyikan menikmati keindahan alam ciptaan tuhan.

Resort bajet sederhana itu menawarkan pelbagai pakej penginapan selesa pada harga berpatutan serendah RM150 hingga RM220 semalam.

Murah dan selesa serta tarikan yang terletak berhampiran resort membuatkan ada yang melanjutkan penginapan sehingga berminggu-minggu, terutama bagi pelancong luar negara.

Cozy & Cocohut Resort menjanjikan percutian berbaloi untuk nilai wang bagi mereka yang gemarkan keindahan alam semula jadi.

Menurut pemilik resort, Tiew Beng Hock, 62, resort itu mempunyai 81 buah bilik dan calet berhawa dingin yang menanti pengunjung.

Biarpun dianggap percutian bajet, Beng Hock menegaskan, pihaknya mementingkan tahap perkhidmatan berkualiti dan suasana yang damai kerana beliau mahu pengunjung pulang dengan rasa puas hati selepas menikmati pengalaman yang menyeronokkan.

“Mutu perkhidmatan kakitangan yang memberi layanan mesra kepada pengunjung sepanjang masa tanpa mengira sama ada tempatan mahu pun luar negara merupakan perkara paling penting," jelasnya kepada S2.


 

Di resort ini, pemiliknya jelas bijak mewujudkan satu suasana menarik apabila keindahan alam bersatu dengan kemeriahan muzik dan menu makanan yang menggamit selera.

Ternyata hasil ilham kreatif Beng Hock menjadikan calet itu berbeza daripada destinasi percutian pulau di negara ini.

Cozy & Cocohut Resort sudah 13 tahun beroperasi. Paling menarik untuk dikongsi, calet itu sering menjadi tumpuan pengunjung dari luar negara.

Beng Hock memberitahu terdapat pelbagai kemudahan yang disediakan di calet tersebut yang dipenuhi pengunjung sepanjang waktu kecuali musim monsun bermula November hingga Februari.

Kawasan perairan di sekitar Pulau Perhentian tidak dinafikan menjadi lokasi utama untuk penyelam kerana keindahan terumbu karang, malahan kehidupan laut di situ cukup terpelihara dan sesiapa yang menceroboh serta merosakkan hidupan laut itu akan didakwa.

Selain itu, waktu terbit dan terbenamnya matahari menimbulkan suasana romantis yang boleh dilihat dari restoran di resort tersebut.

Bagi kemudahan rekreasi, resort tersebut bukan sahaja menawarkan penginapan yang cukup selesa tetapi juga kemudahan lain.

Antaranya adalah bot untuk mengelilingi pulau, kayak, dan snorkeling. Sewa untuk setiap kemudahan tersebut mengikut kadar yang ditetapkan.

Di samping itu, resort tersebut turut dilengkapi dengan kemudahan internet, kedai runcit dan perkhidmatan dobi.

Sementara itu, Beng Hock menasihatkan mereka yang datang untuk snorkeling membuat tempahan terlebih dahulu kerana ia mendapat sambutan yang amat menggalakkan.

Pakej snorkeling yang ditawarkan adalah pada harga RM100 untuk dua kali.

“Pengunjung akan dibawa ke kawasan sekitar Pulau Perhentian, Pulau Rawa atau Pulau Redang untuk snorkeling," katanya.

Bagi yang ingin singgah ke kampung nelayan, tambang bot yang dikenakan adalah RM5 sahaja.

Selain itu, bagi pengunjung yang gemarkan cabaran, mereka berpeluang menjelajah hutan mengelilingi pulau selama dua jam untuk melihat secara dekat pelbagai spesies tumbuhan.

Pengunjung juga boleh mencuba kemudahan rekreasi yang terdapat di sana termasuk bermain bola sepak pantai dan bola tampar pantai.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan