m

Jangan pertikai keselamatan KLIA2, kata Hishammuddin

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika melawat ujian kesediaan perpindahan operasi lapangan terbang, ORAT di KLIA2.

SEPANG : Semua pihak diminta tidak mempertikaikan soal keselamatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) yang akan dibuka pada 2 Mei hadapan.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) juga telah diarahkan untuk melakukan pemeriksaan segala aspek keselamatan pada Isnin ini.

"Pasukan keselamatan juga telah dilantik untuk jaminan KLIA2 selamat selain ia bukti kerajaan sentiasa menitikberatkan kepentingan semua pihak

"Laporan mereka juga menunjukkan tidak ada isu keselamatan tetapi masih digembar gemburkan oleh pihak tertentu. Sebab itu ICAO telah bersetuju untuk datang dan membuat serta memantau keselamatan di sini,'' katanya.

Hishammuddin berkata demikian selepas mengadakan lawatan semasa ujian kesediaan perpindahan operasi lapangan terbang, ORAT di KLIA2 di sini.

ORAT yang melibatkan simulasi seramai 4,500 penumpang dan membabitkan lebih 700,000 bagasi itu menunjukkan keupayaan operasi KLIA2 menjelang pembukaannya.

KLIA2 yang berkeluasan 257,000 meter persegi dibina sejak tahun 2009.

Terminal utama KLIA2 dibina Syarikat Konsortium UEMC Bina Puri JV yang telah dianugerahkan pakej mereka bentuk, membina dan menyelenggara terminal, bangunan satelit, jambatan udara dan jeti terminal ke pesawat yang bernilai RM997 juta.

Tempoh siap terminal berkenaan dipinda beberapa kali sejak 2011 dan kos pembinaannya telah meningkat daripada RM2bilion ringgit kepada RM4bilion.

Pada 8 Oktober tahun lalu, pesawat Malindo Air telah membuat pendaratan percubaan di landasan ketiga, KLIA2.

KLIA2 juga berada di kedudukan yang cukup strategik bagi menarik lebih ramai pelancong menggunakan penerbangan tambang murah di rantau ini.

Sebanyak 80 peratus ruang niaganya yang sudah diisi sekali gus menunjukkan petanda positif dalam menjadikannya sebagai pusat peruncitan yang mampu memberi peluang pekerjaan kepada 12,000 warga tempatan. 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan