m

Karpal akan diberikan penghormatan negeri - Lim Guan Eng

GEORGETOWN: Bekas Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh akan diberikan penghormatan negeri ketika dikebumikan, kata Ketua Menterinya, Lim Guan Eng.

Guan Eng berkata mesyuarat exco kerajaan Pulau Pinang juga memutuskan bendera negeri tersebut akan dikibarkan separuh tiang selama tiga hari.

Katanya, bendera yang menutup keranda Karpal akan diserahkan kepada keluarga ahli parlimen Bukit Gelugor itu sebagai tanda penghormatan kepada negarawan itu.

Mayat veteran DAP itu tiba di kediamannnya di Jalan Utama, Georgetown kira-kira jam 3.40 petang dan suasana pilu menyelubungi kediaman tersebut apabila isteri mendiang, Gurmit Kaur terpaksa dipapah sebaik sahaja tiba dari Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak.


Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut hadir memberi penghormatan terakhir kepada Karpal di kediamannya. Selain itu, barisan kepimpinan DAP dan Pakatan Rakyat seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng juga hadir.

Muhyiddin meluangkan masa selama kira-kira 15 minit bertemu ahli keluarga mendiang.

Orang ramai turut memenuhi kediaman tersebut untuk memberi penghormatan terakhir kepada tokoh yang dikenali sebagai 'Harimau Jelutong' itu.

Karpal maut selepas terlibat dalam satu kemalangan ketika dalam perjalanan ke Pulau Pinang awal pagi tadi. 



 
"Selamat jalan, Harimau Jelutong"
Pemimpin veteran parti DAP yang juga ahli parlimen Bukit Gelugor Karpal Singh maut dalam kemalangan jalan raya hari ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan