Sukarnya
mengekalkan kejujuran dan begitu mudah anda melampiaskan kemarahan kepada
pasangan dan anak-anak? Jom kenali diri, siapa anda dan mengapa perlu
mengubah sikap mulai sekarang!
Kita
memang mudah rasa marah, tidak puas hati dan bersangka buruk terhadap orang
lain. Inilah perkara-perkara negatif yang sering membelenggu hidup. Dalam rumah
tangga, kalau suami balik lewat, isteri mesti marah-marah. Memikirkan yang
bukan-bukan. Beranggapan mungkin suami ada perempuan lain di luar sana. Bagi
suami pula, kalau nampak isteri bersiap cantik-cantik ke pejabat, dalam hatinya
mesti terdetik, lelaki manalah dia nak mengurat kat pejabat tu? Akibatnya,
masing-masing timbul rasa tidak puas hati.
Kalau
sudah ada prasangka, pantang ditanya sikit, mesti nak melenting. Masing-masing
mulalah tunjuk ‘belang’. Marah tak pasal-pasal. Silap-silap anak-anak yang
langsung tak ada kena mengena terkena tempiasnya. Masing-masing hendak menang.
Langsung tidak mahu mengalah. Semua ini kerana percaya diri betul. Bayangkanlah
jika hal ini berlarutan, porak-perandalah rumah tangga. Jadi, sedarlah cepat
sebelum terlambat. Peliharalah rumah tangga yang sudah dibina sebaiknya agar
berbahagia anda di dalamnya dan kata-kata rumah ku syurga ku menjadi kenyataan.
Selain
berprasangka, ada di kalangan kita yang terlalu berpegang kepada prinsip diri.
Misalnya, prinsip tidak mahu mengalah. Inilah yang banyak berlaku dalam rumah
tangga. Suami selalunya susah hendak minta maaf atau mengalah pada isteri
semata-mata berpegang kepada prinsip lelaki tidak boleh tunduk pada wanita.
Keegoan mereka mudah tercabar terutamanya apabila berhadapan dengan wanita yang
bergelar isteri kerana sepatutnya isteri taat kepada suami. Isteri pula tidak
kurang hebatnya kalau bertengkar.
Katanya, dia pun ada prinsip. Yang benar
tetap benar dan yang salah tetap salah. Tidak kira walaupun yang salah itu
suami merangkap ketua keluarga yang sepatutnya dihormati. Ya, tidak salah
menegur, tetapi kenalah pada tempat dan caranya. Jangan sampai ada yang
tersentuh. Disebabkan berpegang kepada prinsip masing-masing inilah, suami
isteri sering tidak sehaluan. Jadi, bersatulah. Kembalilah kepada fitrah.
Sedangkan Allah SWT bersedia mengampunkan hambanya walau seluas lautan dosanya,
ini pula kita yang kerdil ini.
Ramai
orang berkata, pengalaman silam menjadi pengajaran. Tapi, pengalaman ini
jugalah yang selalunya menghalang kita untuk merai kejayaan. Pengalaman buruk
seperti pernah dikecewakan oleh suami pada masa lalu membuatkan kita langsung
tidak percaya padanya walaupun hakikatnya dia sudah berubah. Inilah yang perlu
kita sedar. Bebaskan diri daripada belenggu. Berfikirlah secara positif.
Bantulah dia untuk berubah dan terus meninggalkan tabiat lama.
Berfikiran
secara terbuka
Harus juga
diingat bahawa dalam membuat apa sahaja keputusan dalam rumah tangga, anda
mestilah berfikiran secara terbuka. Bukan memihak sebelah pihak sahaja. Jika
rumah tangga dilanda krisis, cuba cari jalan penyelesaian terbaik. Ketahuilah
bahawa sebagai manusia, kita telah dibekalkan dengan hati yang benar-benar
suci. Cuma, kesucian hati itu telah ditutup oleh banyak benda negatif
sehingga kita langsung tidak sedar kewujudannya. Jadi, berusahalah untuk
mencari dan menggunakannya dalam mendapatkan keredaan Allah SWT dalam setiap
yang kita kerjakan.
Setiap
keputusan yang dibuat juga mestilah memikirkan tentang kesan dan akibatnya pada
masa akan datang dan bukan sekadar untuk tempoh yang singkat. Diakui, dalam
usaha untuk mencari jalan penyelesaian, masing-masing mengeluarkan pendapat
yang pastinya memihak kepada diri sendiri. Bagi memastikan pendapat itu lahir
dari hati yang suci, jernihkanlah fikiran anda. Belajarlah melihat sesuatu itu
dengan lebih dalam dan bukan dari luarannya sahaja.
Apa pun,
sebelum semua yang dinyatakan di atas boleh dilaksanakan dengan sempurna, anda
perlu sedar diri. Kenal siap diri anda. Ramai tidak sedar betapa kecilnya kita
di dunia. Akibatnya, tanpa segan silu sering membangga diri
membanding-bandingkan diri dengan orang lain yang sebenarnya sama sahaja
seperti anda.
Sejak
dilahirkan anda telah ditiupkan roh yang sungguh murni. Penuh dengan
sifat-sifat mulia seperti sukakan kedamaian, kecantikan, ketenangan dan banyak
lagi. Lantaran itu, sanggupkah anda menidakkannya? Walau apa pun ajaran agama
anda, tidak pernah diajar melakukan perkara yang buruk. Jadi, tepuk dada, tanya
selera. Jika hati inginkan hanya yang baik, mengapa anda sanggup bertindak
sebaliknya. Begitulah juga halnya jika anda inginkan yang baik daripada isteri,
lakukanlah yang terbaik untuknya. Kalau anda senang bersamanya, pasti dia
senang bersama anda.
Ketahuilah
bahawa ketenangan dalam rumah tangga tidak akan dirasai jika anda tidak
berusaha ke arahnya. Oleh itu, berusahalah. Sekiranya wujud sebarang masalah,
berbincanglah. Suami dan isteri perlu bekerjasama dan saling berbincang tentang
segala hal yang berkaitan dengan urusan rumah tangga.
Rata-rata,
bila ditanya tentang apa yang diinginkan daripada suami atau isteri, maka
ramai tanpa waswas memilih kejujuran pada tangga teratas. Nyata, kejujuran
adalah nilai utama dalam kehidupan. Akan tetapi kejujuran semata-mata tidak
menjamin keharmonian rumah tangga. Perlu ada 6 lagi sifat mulia yang harus
digarap dan diadun bersama agar rumah tangga idaman menjadi kenyataan.
Sifat-sifat lain itu ialah bertanggung jawab, berwawasan, berdisiplin,
bekerjasama, adil dan prihatin.
Sifat
mulia dalam rumah tangga
1. Jujur
Sama ada
anda suami atau isteri, jujur terhadap pasangan sangat penting. Elakkan diri
daripada berprasangka buruk terhadap pasangan. Buang jauh-jauh sifat negatif
itu dari diri. Apabila hati sudah bersih, anda pasti akan lebih sayang dan
cinta padanya.
2.
Bertanggung jawab
Kedua-dua
belah pihak mesti tahu tanggung jawab masing-masing setelah diijabkabulkan.
Sekiranya suami dan isteri menjalankan tugas yang diamanahkan sebaiknya, pasti
tidak akan berlaku pertelingkahan. Dalam sesebuah institusi keluarga, suamilah
yang bertanggung jawabnya memastikan seluruh ahli keluarga dijaga dan dibimbing
sebaiknya mengikut jalan yang diredai Allah. Bagi isteri dan anak-anak pula,
mereka bertanggungjawab mengikuti segala tunjuk ajar dan perintah suami selagi
tidak bertentangan dengan kehendak agama.
3.
Berwawasan
Semua
pasangan suami isteri haruslah berbincang untuk menetapkan matlamat atau arah
tuju keluarga. Matlamatnya haruslah sama agar perjalanan hidup lebih terarah.
Dalam pada itu, masing-masing perlu sedar tujuan asal kita diwujudkan dalam
dunia ini dan tahu kepada siapa kita akan kembali kelak. Barulah hidup lebih
diberkati dan diredai.
4.
Disiplin
Untuk
memastikan matlamat tercapai, suami isteri malah seisi keluarga haruslah
berdisiplin. Melakukan setiap yang disuruh agama dan meninggalkan apa yang
dilarang. Ketahuilah bahawa disiplin teras kejayaan sama ada di dunia mahupun
akhirat.
5.
Bekerjasama
Apa yang
penting kerja sama. Sesuatu pekerjaan jika dilakukan bersama-sama, mesti akan
jadi lebih mudah. Berat sama dipikul, ringan sama dijunjung.
6. Adil
Tidak kira
suami ataupun isteri, anda mestilah sentiasa bersikap adil dengan semua orang
agar rumah tangga aman dan damai sepanjang masa. Walau bagaimanapun, anda
perlulah memahami tentang konsep adil itu sendiri melaksanakannya.
7.
Prihatin
Rajin-rajinlah
mengambil tahu apa yang berlaku di dalam keluarga anda. Selalu bertanya apa
yang telah dilakukan mereka setiap hari. Jika ada yang tidak kena, perbetulkan
segera. Hal ini penting bagi mengelakkan ahli keluarga anda tersasar jauh dari
landasan sepatutnya yang telah ditetapkan oleh anda.
Kewajipan
suami
- Suami ialah ketua keluarga. Oleh itu, suami mestilah menjaga keluarga sebaiknya. Seorang suami mestilah mengawal, membimbing, mencari nafkah, menjaga keselamatan seisi keluarga, dan banyak lagi.
- Selain menyediakan segala kelengkapan material untuk keluarga, suami juga perlu memastikan jiwa setiap ahli keluarga diisi dengan didikan agama secukupnya. Ketahuilah bahawa didikan agama sangat penting. Oleh itu, sekiranya suami tidak mampu mengajar sendiri, maka carilah orang yang berkelayakan untuk mengajar isteri, anak-anak dan diri sendiri.
- Dalam hal mendidik ahli keluarga, suami perlulah menggunakan konsep menjadi contoh terbaik, belas kasihan dan berakhlak mulia.
Kewajipan
isteri
- Setiap isteri perlu taat pada suaminya. Segala tindakan tidak boleh membelakangkan suaminya.
- Isteri juga perlu menjaga kehormatan diri dan nama baik suami ketika keluar rumah.
- Isteri mestilah sentiasa kemas dan kelihatan menarik di hadapan suaminya dan mampu membahagiakan suami zahir dan batin.
Amalan
mulia dalam keluarga
1. Sentiasa bersabar dan tabah menghadapi
segala dugaan yang mendatang.
2. Sentiasa memaafkan orang yang
melakukan kesilapan.
3. Saling tolong-menolong antara satu
sama lain.
4. Bersikap jujur dengan sesiapa sahaja.
5. Saling sayang-menyayangi.
6. Boleh bertolak ansur.
7. Bertanggungjawab dan amanah.
8. Elakkan diri daripada sifat-sifat
negatif.
9. Sekiranya ada masalah, berbincanglah
bersama ahli keluarga.
10. Mesti bersikap terbuka dan bersedia
menerima kritikan.
11. Sentiasa senyum.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan