Semasa dalam kandungan, bayi anda dilindungi dalam uterus anda di dalam kantung membran yang penuh dengan cecair amnion. Jika kantung terkoyak, cecair ini akan keluar melalui serviks dan faraj. Ini dikenali sebagai "air ketuban pecah". Ia juga dikenali sebagai membran pecah tiba-tiba.
Bagi ramai wanita, ketuban akan pecah pada peringkat akhir peringkat pertama kelahiran. Namun, seorang dalam 10 orang wanita mengalami air ketuban pecah di pada penghujung kehamilan tetapi sebelum proses kelahiran bermula (prelabour rupture of membranes at term - PROM). Kira-kira 2 peratus wanita hamil pula mendapati air ketuban mereka pecah sebelum 37 minggu kehamilan (preterm pre-labour rupture of membranes - PPROM).
Jika ketuban anda pecah sebelum anda mula sakit bersalin, jangan panik! Gunakan tuala wanita untuk perlindungan bagi masalah ini. Ini juga akan memudahkan anda untuk melihat warna cecair yang keluar itu. Cecair selalunya adalah jernih dengan sedikit kekuningan, dan mungkin bercampur dengan sedikit darah.
Jumlah cecair yang keluar adalah berbeza. Boleh jadi ia sekadar menitik perlahan dan boleh jadi juga ia keluar seperti air terjun! Anda mungkin terkejut jika ia keluar dengan deras. Menjelang hujung kehamilan, jumlah cecair yang keluar boleh mencapai kira-kira 800 mililiter.
Jika air yang keluar banyak dan deras, penggunaan tuala wanita tidak memadai dan lebih baik jika anda menggunakan tuala tangan. Walaupun kurang kemas, cara ini adalah lebih praktikal, terutamanya jika anda perlu ke hospital dengan kereta. Anda boleh mengalas tempat duduk dengan helaian plastik supaya tidak rosak.
Jika cecair yang keluar hanya titisan kecil sekali sekala, elok juga diperiksa samada cecair itu bukannya kebocoran air kencing, yang juga boleh berlaku pada peringkat akhir kehamilan.
Apabila air ketuban pecah, penting bagi anda mendapatkan pemeriksaan segera, tidak kira pada tahap mana kehamilan anda (dan walaupun anda tidak mengalami kontraksi). Sebaik sahaja ketuban anda pecah, perlindungan daripada jangkitan adalah rendah, dan jangkitan boleh masuk ke uterus dari faraj.
Sebaik sahaja anda dirawat, jika anda sekurang-kurangnya dalam 37 minggu kehamilan, doktor anda akan terus mencetuskan kelahiran jika anda belum masuk ke fasa kelahiran dengan sendirinya selepas 24 jam. Kira-kira sembilan daripada 10 orang wanita, yang hamil tidak kurang dari 37 minggu, akan melahirkan anak secara normal dalam masa 24-48 jam selepas ketuban pecah. Namun begitu, jika anda hamil antara 34 minggu dan 37 minggu, anda boleh memilih sama ada untuk dirangsangkan pelahiran atau tunggu dahulu dan lihat perkembangan seterusnya.
Selain itu, sekiranya anda diuji positif untuk streptokokus kumpulan B semasa hamil, situasinya agak berlainan. Memang ada risiko jangkitan berkaitan dengan GBS jika terdapat tempoh yang panjang antara ketuban pecah dan masa kelahiran bermula. Jadi, dalam kes sebegini, proses cetusan mungkin akan dilakukan dengan seberapa segera.
Jika semuanya berjalan lancar untuk anda dan bayi anda, anda boleh kembali ke rumah jika anda mahu. Pendekatan tunggu dan lihat boleh meningkatkan risiko jangkitan (kira-kira 1 peratus wanita berbanding dengan 0.5 peratus wanita yang tidak pecah ketubannya). Ia adalah selamat untuk anda mandi tetapi jangan lakukan seks kerana ini akan meningkatkan risiko jangkitan.
Anda perlu:
- Pastikan kadar denyutan jantung dan pergerakan bayi anda diperiksa oleh bidan atau doktor setiap 24 jam sehingga anda berada dalam fasa kelahiran atau kaedah cetusan dimulakan.
- Periksa suhu anda setiap empat jam di waktu berjaga untuk memastikan sama ada anda demam atau tidak.
- Perhatikan sebarang perubahan dalam warna dan bau cecair amnion (air ketuban) yang menandakan terdapatnya jangkitan.
- Pastikan bayi anda bergerak seperti biasa.
Jika anda mempunyai sebarang tanda-tanda jangkitan atau demam (seperti menggigil dan rasa seram-seram sejuk) atau jika anda mendapati pergerakan bayi anda berkurangan, hubungi hospital dengan segera. Jika anda didapati mendapat jangkitan, anda akan memerlukan antibiotik intravena dan kelahiran akan dicetuskan oleh doktor dengan segera.
Jika anda tidak mempunyai sebarang tanda-tanda jangkitan tetapi ketuban anda telah pecah lebih daripada 24 jam, anda dinasihatkan untuk melahirkan bayi di hospital. Ini adalah sebab bayi anda mungkin memerlukan akses atau pemindahan segera ke pusat jagaan neonatal. Anda perlu berada di hospital sekurang-kurangnya 12 jam selepas kelahiran supaya bayi anda dapat diperiksa jika terdapat tanda-tanda jangkitan. Anda juga akan diminta untuk menghubungi doktor anda dengan segera sekiranya terdapat perkara yang membimbangkan anda mengenai bayi dalam tempoh lima hari pertama.
Risiko akan meningkat jika tempoh antara ketuban anda pecah dan kelahiran bayi anda agak panjang sedikit. Jika anda tidak mempunyai tanda-tanda jangkitan, tetapi ketuban anda telah pecah lebih daripada 48 jam, anda perlu berfikir dengan serius mengenai apa yang perlu anda lakukan. Doktor anda akan berbincang dengan anda samada kelahiran cetusan perlu dijalankan dengan segera atau terus tunggu dan lihat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan