SELAIN Syeikh Abdullah Yamani, nama Tok Syeikh Ibrahim turut menjadi sebutan dalam kalangan penduduk di sekitar kaki Gunung Jerai sebagai antara ulama yang menjadikan lokasi itu sebagai kawasan mendekatkan diri dengan tuhan.
Malah menurut Puteh Ismail, 76, arwah bapanya, Ismail Arshad yang juga bekas Ketua Kampung Seri Perigi merupakan individu yang bertanggungjawab menghantar Syeikh Ibrahim ke kaki gunung untuk menyendiri di kawasan itu.
"Ayah beritahu, ketika itu beliau masih berusia belasan tahun. Suatu hari, rumahnya didatangi seorang alim dan datuk saya meminta ayah menghantarnya sehingga ke kaki gunung.
"Bukan itu saja, malah ayah sering naik ke gunung untuk menghantar roti selain belajar ilmu dengan Syeikh Ibrahim atas arahan datuk. Perkara itu berlarutan sekian lama walaupun setelah saya dilahirkan," katanya.
Perkara itu katanya menyebabkan ayahnya menjadi terkenal dan sering menjadi pakar rujuk berhubung hal tertentu termasuk untuk berubat.
"Saya diberitahu selain Gunung Jerai, Tok Syeikh Ibrahim turut tinggal di Gunung Perak, Pendang secara bergilir-gilir. Kalau ayah lama tidak naik ke Gunung Jerai, maka kami tahu Tok Syeikh Ibrahim berada di Gunung Perak," katanya.
Begitu pun katanya, ayahnya yang meninggal dunia pada usia 89 tahun pada 1973 tidak pernah menceritakan bagaimana rupanya Tok Syeikh Ibrahim.
"Cuma..., ayah pernah membawa balik jubah besar serta serban dikatakan pemberian Tok Syeikh Ibrahim.
"Tetapi benda itu sudah lama dan saya sendiri tidak tahu di mana jubah dan serban itu sekarang. Selepas merdeka, ayah tidak lagi bercerita tentang Tok Syeikh dan saya tidak tahu apa yang terjadi selepas itu," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan