BAGI mereka yang gemar mencari ketenangan dengan menikmati keindahan alam semula jadi, cubalah untuk bermalam di The Regency Jerai Hill Resort bagi merasai pengalaman menakjubkan dari ketinggian 986 meter dari aras laut.
Manakan tidak, tapak resort berkenaan bukanlah calang-calang lokasi sebaliknya merupakan bekas istana singgah Sultan Kedah bersama kerabat baginda suatu ketika dahulu.
Itu bermakna, pemandangan indah tersebut sebelum ini eksklusif hanya untuk dinikmati golongan diraja tetapi kini ia dibuka kepada semua golongan masyarakat untuk turut sama berkongsi pemandangan indah di gunung tersebut.
Apa yang menarik, sama ada dari bilik resort mahu pun kawasan sekitar, anda mampu menikmati keindahan padi yang menguning jika berkunjung pada waktu padi masak.
Lebih daripada itu, anda turut berpeluang menikmati keindahan pulau-pulau sekitar termasuk Pulau Langkawi dan Pulau Dayang Bunting dari atas Gunung Jerai.
Bagaimanapun, jika pengunjung bercadang untuk menginap di resort berkenaan pada cuti umum atau cuti sekolah, Pengurusnya, Mohd. Saffri Haron (gambar) menasihatkan agar tempahan awal dibuat memandangkan bilik disediakan cukup terhad.
"Disebabkan ruang terhad, kami cuma mampu menyediakan 75 bilik yang bermula dengan harga serendah RM240 sehingga RM390 semalam. Disebabkan itu, ramai yang kecewa akibat lambat membuat tempahan memandangkan bilik seringkali penuh pada waktu puncak.
"Uniknya di sini adalah pemandangannya yang indah, selain cuaca sejuk yang ada kalanya mencecah 17 darjah celcius sekali gus memberi pengalaman berbeza kepada pengunjung," jelasnya.
Sehingga kini difahamkan, Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah sering bermalam di situ dengan satu bilik diraja disediakan untuk baginda bersama permaisuri serta kerabat diraja.
Selain pelbagai aktiviti ditawarkan termasuk paintball, jelajah hutan dan abseiling di lokasi air terjun, para pencinta orkid juga pastinya kagum melihat lebih 200 spesies dan hibrid orkid yang dipelihara di resort berkenaan.
"Ada di antaranya sudah hampir pupus sementara sebahagian lagi hanya terdapat di Gunung Jerai. Namun, kami kadang kala perlu bekerja keras memandangkan ada dalam kalangan pengunjung seolah-olah tidak menghargai keindahan ini dengan membuang sampah merata-rata serta mencuri khazanah alam yang terdapat di resort," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan