m

Hishammuddin: Tiada unsur mencurigakan dalam simulator Kapten Zaharie, KPN akan sahkan

KUALA LUMPUR: Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein hari ini berkata tiada apa-apa yang mencurigakan ditemui di dalam simulator milik juruterbang pesawat MH370, Kapten Zaharie Ahmad Shah.

Namun demikian, beliau tidak mengesahkan perkara itu kerana menurutnya pengesahan harus datang daripada Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

“Apa yang saya tahu, tiada apa-apa yang mencurigakan daripada simulator itu tetapi ini perlu disahkan oleh Ketua Polis Negara kerana dari hari pertama lagi , beliau dan pihak polis kita bekerjasama rapat dengan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI),” katanya semasa satu sidang media.

Simulator itu diambil dari kediaman Zaharie di Shah Alam oleh sepasukan polis dari Bukit Aman pada 15 Mac lepas.

Pada 19 Mac, Khalid dilapor berkata data di dalam simulator milik Zaharie merupakan log data daripada tiga jenis permainan penerbangan yang didapati telah dipadamkan pada 3 Februari.

Tiga permainan berkenaan ialah “flight simulator X”, “flight simulator 9” dan “X flight 10”.

FBI turut dilaporkan akan melengkapkan analisis data daripada simulator penerbangan milik juruterbang dalam sehari dua ini.

Selain itu, Hishammuddin turut berkata empat faktor utama di dalam penyiasatan kes kehilangan pesawat MH370 telah dibincangkan secara terperinci bersama agensi-agensi risikan antarabangsa yang lain.

“Empat faktor tersebut telah dibincangkan dan dibincangkan secara terperinci semasa topik perbincangan berkaitan pasport palsu.

“Supaya berlaku adil kepada agensi-agensi risikan yang telah bekerjasama rapat dengan pihak polis, apabila agensi-agensi tersebut selesa untuk memberikan butiran lanjut kepada orang awam, Khalid akan berbuat demikian,” katanya.

Pada 11 Mac, Khalid berkata pihak polis sedang memberi tumpuan kepada empat faktor utama di dalam penyiasatan kes kehilangan pesawat MH370.

Empat faktor tersebut adalah kemungkinan rampasan pesawat, sabotaj, masalah psikologi penumpang serta anak kapal dan masalah peribadi mereka.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan