m

Hishammuddin: Perkara paling sukar dalam hidup saya ialah berjumpa keluarga penumpang

KUALA LUMPUR: Berjumpa dengan kaum keluarga penumpang pesawat MH370 adalah merupakan perkara yang paling sukar di dalam kehidupan saya.

Ini adalah luahan hati Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang berkata perjumpaan dengan keluarga itu bukan sahaja memberikan kekuatan kepada mereka, tetapi turut memberikan kekuatan kepada dirinya.

“Sebagai menteri yang bertanggungjawab, ini merupakan perkara yang paling sukar dalam hidup saya.

“Kalau kita ketepikan teori konspirasi, spekulasi dan cerita tentang imej satelit, keluarga penumpang MH370 hanya mahu tahu di mana orang kesayangan mereka.

“Itulah satu-satunya jawapan yang saya tidak ada. Keluarga penumpang tersebut menghargai bahawa saya jujur memberitahu mereka hakikat itu dan ini memberi saya kekuatan untuk meneruskan pencarian ini untuk sehari lagi,” katanya semasa satu sidang media di Hotel Everly hotel selepas bertemu dengan keluarga penumpang pesawat MH370.

Hishammuddin berkata perbincangannya dengan keluarga penumpang MH370 melibatkan tiga perkara.

“Pertamanya usaha kita dalam operasi pencarian ini tidak akan putus dan akan berterusan. Itu saya beri jaminan.

“Keduanya,tidak kisah apa situasinya, kami akan tetap mencari orang yang terselamat daripada kejadian ini. Itu keutamaan kami.

“Ketiga, kami akan memastikan bahawa saluran komunikasi antara MAS dan keluarga sentiasa diperbaiki,” katanya  sambil menambah beliau tidak akan memberikan harapan palsu kepada mereka.

Pada 8 Mac lalu, pesawat MAS MH370 yang dijadual tiba di Beijing, hilang dengan 239 penumpang dari pelbagai negara termasuk Malaysia.

Selepas 17 hari, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa penerbangan pesawat MH370 hilang di selatan Lautan Hindi.

Najib membuat pengumuman itu berdasarkan hasil analisis yang belum pernah dibuat sebelum ini oleh Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom (AAIB) dan Inmarsat, syarikat dari United Kingdom yang menyediakan data satelit yang menunjukkan koridor utara dan selatan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan