m

MH370: Kerjasama pelbagai negara terus kukuh pada hari ke-14 SAR

 
 
KUALA LUMPUR: Walaupun usaha mencari dan menyelamat (SAR) pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 masuk hari ke-14 hari ini, kerjasama pelbagai negara terus kukuh dan bersemangat dengan penambahan aset di kawasan pencarian.

Negara-negara terlibat mempergiat operasi dari segi penambahan aset dan keluasan kawasan pencarian walaupun usaha SAR belum menemui sebarang "bukti konklusif" berhubung imejan satelit dua objek di selatan Lautan Hindi yang mungkin berkaitan dengan penerbangan MH370.

Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein Hishammuddin hari ini mengumumkan penambahan aset oleh Australia, China, Perancis, Amerika Syarikat, Jepun dan negara lain, sekaligus membuktikan komitmen tidak berbelah bahagi negara berkenaan dalam menjayakan operasi itu.

Usaha pencarian itu kini ditumpukan kepada dua koridor - koridor utara dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan hingga ke bahagian utara Thailand serta koridor selatan yang meliputi kawasan dari Indonesia ke bahagian selatan Lautan Hindi.

Hishammuddin berkata pencarian itu adalah usaha berpanjangan dan pihaknya berdepan cabaran untuk mencari petunjuk di koridor selatan mahupun koridor utara.

Beliau juga tenang ketika menjawab soalan wartawan sama ada SAR akan diteruskan walaupun selepas 30 hari, tempoh berakhirnya ketahanan kotak hitam pesawat itu.

"SAR akan tetap diteruskan menggunakan tekonlogi lain berdasarkan maklumat pasukan Perancis yang terlibat dalam pencarian pesawat Air France 447 yang mengambil masa dua tahun," katanya.

Pesawat Boeing 777-200ER yang dalam perjalanan ke Beijing dan membawa 227 penumpang serta 12 anak kapal, hilang kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam 8 Mac.

Pesawat itu dijadual mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.

Hishammuddin juga memberi jaminan bahawa pihaknya akan memaklumkan rancangan berikutnya jika pencarian di koridor selatan tidak menemui serpihan yang boleh dikaitkan dengan pesawat itu.

Malaysia juga menghantar pasukan peringkat tingginya ke Beijing hari ini untuk menemui anggota keluarga penumpang MH370 bagi memberi taklimat kepada mereka mengenai situasi dan operasi mencari dan menyelamat pesawat itu.

Pasukan itu diketuai oleh Komander Operasi Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Leftenan Jeneral Datuk Seri Ackbal Abdul Samad dan turut dianggotai wakil dari Pejabat Perdana Menteri, Jabatan Penerbanga Awam dan Malaysia Airlines.

Selain itu, Malaysia juga berpegang teguh dengan prinsipnya mengeluarkan  maklumat yang boleh dipercayai dan sah berkaitan kehilangan pesawat MH370, walaupun ia tidak disukai para spekulator dan menyebar khabar angin yang mahu negara ini menari mengikut rentak mereka.

Pihak berkuasa dan jurucakap Malaysia berusaha sedaya upaya untuk bersikap telus dalam menyampaikan maklumat yang sudah disahkan kepada wakil media tempatan dan asing.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan