m

MH370: Warga media terus setia menanti


PUTRAJAYA:  Masuk hari ke-14 warga media terus berkampung di lobi Hotel Everly di sini bagi melaporkan perkembangan ahli keluarga penumpang MH370.

Meskipun ramai ahli keluarga dilaporkan sudah mula meninggalkan hotel, namun semangat media tidak pernah luntur setia menanti sebarang perkembangan terkini.

Bagi Wartawan TV3, Azmah Dahari pengalaman 13 tahun dalam bidang kewartawanan dikongsikan bersama rakan media lain untuk mencari bahan berita.

Mengakui cabaran itu ada, namun ia tidak boleh dijadikan alasan untuk duduk dan hanya menunggu.

"Memang cabaran itu ada. Pelbagai kekangan. Daripada MAS, pihak keluarga, tapi sentiasa kena ada bahan," ujarnya.

"Sebagai wartawan, perkara itu perlu sentiasa ingat. Tidak kira apa angle sekalipun, laporan perlu dihantar. Selain ahli keluarga,  kita ada kaunselor, aktiviti semasa, semua itu boleh dijadikan bahan berita," katanya lagi ketika ditemubual di lobi hotel di sini.

Setiap laporan katanya perlu ada daya tarikan tersendiri bagi menarik perhatian umum namun menegaskan harus telus dan benar.

Mengulas mengenai laporan yang menyentuh perasaan dan emosi, Azmah berkata, wartawan perlu bijak menyelami perasaan mereka yang terlibat supaya tidak menyentuh sensitiviti keluarga terlibat.

Turut senada, wartawan The Star, Loshana K Shagar yang menyifatkan, tunggu, lihat dan melaporkan adalah tugas utama wartawan.

"Walaupun sudah 14 hari, kami tetap menunggu, buka mata dan terus melaporkan apa yang berlaku," katanya.

"Ini memang tugas kami," tambahnya.

Bagi wartawan muda, Amin Hafidzi Husaini, meskipun baru dua tahun menggalas tugas dalam bidang ini, dia menekankan soal jemu kerana menunggu untuk dapatkan maklumat, tidak wajar dipertikai.

"Jangan persoal erti jemu, kerana itu sudah menjadi tugas kami, berada pada waktu yang diperlukan dalam menyampaikan informasi kepada umum," tegasnya.

Merupakan pengalaman pertama membuat liputan melibatkan soal emosi dan sensitiviti yang mendalam , beliau berkata cabaran besar adalah bertanyakan soalan yang sensitif.

"Kami (media) akan cuba sepenuhnya untuk menjaga emosi keluarga di sini dengan tidak bertanyakan soalan yang menyentuh perasaan mereka," tambahnya.

Amin pada masa sama turut memohon jasa baik kepada umum untuk hentikan semua spekulasi bagi menjaga perasaan keluarga terlibat.

"Kami daripada hari pertama yang menyantuni keluarga di sini lebih arif dengan perasaan, emosi serta tekanan yang mereka (keluarga) hadapi ketika ini," katanya lagi.

Warga media mula berkampung sejak hari pertama operasi mencari MH370 dilancarkan selepas semua ahli keluarga penumpang pesawat itu ditempatkan di sini.

Selain Hotel Everly di Putrajaya,  warga media turut berkampung di Hotel Sama-Sama, KLIA dimana lokasi sidang media harian mencari MH370 berlangsung.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan