Biarpun masalah botak yang pantas dan pada usia muda selalunya berlaku dalam kalangan lelaki, wanita juga tidak terkecuali yang berpunca daripada pelbagai faktor.
Wanita selalunya mengalami keguguran rambut selepas melahirkan anak sehingga ada kalanya rambut menjadi terlalu nipis. Kesan hormon ini menyebabkan rambut gugur dengan banyak selepas kira-kira 12 minggu melahirkan anak.
Ketika mengandung, kadar perubahan hormon menyebabkan rambut berada dalam fasa rehat dan terus kekal di kepala dalam tempoh lebih lama sehingga rambut kelihatan lebih lebat daripada biasa.
Namun sebaik melahirkan anak, hormon kembali normal dan menyebabkan rambut kini beralih kepada fasa gugur, justeru rambut yang gugur lebih banyak berbanding biasa hingga menipiskannya dan membuatkan ramai wanita berasa bimbang menjadi botak.
Ini kerana kebiasaannya rambut akan gugur antara 100 hingga 125 helai sehari, tetapi selepas melahirkan anak, jumlahnya mungkin meningkat sehingga 500 helai sehari. Tiada apa yang boleh dilakukan pada peringkat ini kecuali bersabar.
Rambut akan gugur dengan lebih banyak ketika bersyampu atau disikat, oleh itu kurangkan aktiviti membasuh rambut terlalu kerap dan biarkan saja rambut kering tanpa menggunakan pengering rambut untuk memperlahankan kadar keguguran pada satu-satu masa.
Dalam tempoh enam bulan seterusnya, rambut kemungkinan akan kembali kepada keadaan normal iaitu sebelum mengandung, namun tekstur rambut tidak mungkin kembali sama.
Ia mungkin menjadi lebih kering, menggerbang, berminyak atau lurus berbanding sebelum bersalin, berkemungkinan berlaku selepas pergolakan hormon sewaktu mengandung.
Sekiranya proses keguguran rambut berterusan selepas itu dan tidak menampakkan sebarang tanda pengurangan, wanita digalakkan bertemu pakar dermatologi atau doktor bagi mengesan tahap kandungan zat besi dalam badan.
Kekurangan zat besi bukan perkara baru dalam kalangan wanita terutama yang baru melahirkan anak. Ia bukan setakat menyebabkan keguguran rambut tetapi juga keletihan,
kulit pucat dan tubuh berasa sejuk.
Pengambilan zat besi bukan saja menyihatkan tubuh, tetapi ia juga boleh memberikan rambut yang lebat dan menawan kepada wanita. Makanan yang dapat membekalkan zat besi antaranya adalah daging, telur, makanan laut serta sayuran seperti bayam, brokoli, kailan dan keledek di samping produk gandum, bijirin oat dan nasi. Begitu juga buah-buahan contohnya strawberi, kurma, kismis, tembikai, prun, kekacang dan tauhu, produk tomato dan sirap maple.
Selain itu, keguguran rambut wanita selalunya dikaitkan dengan penipisan di bahagian tengah kepala dan sukar dikesan berbanding lelaki. Ia dikenali sebagai alopesia yang merujuk kepada tompokan keguguran rambut.
Terdapat banyak jenis alopesia dengan setiap satu daripadanya memerlukan rawatan berbeza. Alopesia mungkin tertumpu kepada bahagian depan dan atas kepala seperti yang biasa dilihat dalam kebotakan corak lelaki.
Keadaan kepala mungkin bertompok seperti masalah dinamakan alopecia areate atau mungkin membabitkan seluruh kepala seperti alopecia totalis. Dalam kes paling teruk, ia juga boleh membabitkan seluruh badan seperti alopecia universalis
Gejala keguguran rambut mungkin muncul secara tiba-tiba dan ketara iaitu folikel rambut merosot secara beransur-ansur dan akhirnya rambut digantikan dengan rambut yang lebih halus.
Berada dalam tekanan dengan masalah berserabut serta tidur tidak mencukupi juga dikatakan mampu menyebabkan keguguran rambut yang banyak.
Ada pelbagai resipi tradisional yang digunakan sejak turun-temurun oleh masyarakat di negara ini untuk membantu melebatkan, mencantikkan dan menyihatkan rambut antaranya bunga raya, santan, minyak kelapa, minyak zaitun, telur dan limau nipis.
Penggunaan bunga raya sememangnya sering dikaitkan dengan rambut yang lebat dan hitam berkilat. Telur pula kaya dengan protein yang diperlukan oleh rambut manakala limau nipis berperanan membersihkan kulit kepala selain memberikan haruman segar kepada rambut.
Minyak kelapa, santan dan minyak zaitun juga mampu memberi kelembapan kepada rambut dan kulit kepala setanding pelembap rambut di pasaran. Sekiranya rajin, kaedah ini mungkin yang terbaik dalam usaha mendapatkan rambut sihat dan lebat selain mengamalkan pemakanan seimbang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan