m

Yasmin Hani berkorban demi Noah

 

SELEPAS empat bulan menerima kehadiran orang baharu, pengacara dan pelakon Yasmin Hani Ismail Richardson, 35, mengakui rumah tangganya lebih bahagia.

Jika dulu dia banyak menghabiskan masa berdua di samping suami tercinta, Sha’arin Mohammed Razali Wong, kini dia lebih banyak menumpukan perhatian kepada si kecilnya yang diberi nama Noah Ismail.

“Alhamdulillah, saya amat bersyukur dengan kehadirannya. Dia adalah anak yang ceria. Memang saya dan suami tak menang tangan.

“Saya mahu memberikan yang terbaik buatnya,” katanya yang akan terus melakukan penyusuan ibu untuk anaknya sehingga tempoh yang ditetapkan.

Dalam pada itu, Yasmin, memberitahu sepanjang tempoh penyusuan itu, dia mengalami keguguran rambut yang agak ketara.

“Sekarang ni rambut banyak gugur, tapi saya tak runsing sangat, sebab memang rata-rata semua ibu yang melahirkan dan menyusukan anak mengalami masalah yang sama.

“Cuma sekarang ini saya lebihkan minum susu untuk kesihatan diri dan mengambil makanan yang disyorkan oleh doktor,” katanya.

Tidak mahu berehat lama dari dunia pengacaraan dan lakonan, Yasmin mengakui selepas ini, dia akan terima tawaran tersebut selepas benar-benar bersedia.

“Memandangkan anak saya masih kecil, saya hanya mahu sedikit masa lagi untuk lihat dia membesar di depan mata saya.

“Jika ada tawaran yang tidak melibatkan masa yang panjang, saya tidak teragak-agak menerimanya," katanya yang mendapat sokongan daripada suami tersayang.

Hasrat tercapai

Sungguhpun banyak menolak beberapa tawaran sebelum ini, Yasmin bagaimanapun tidak keberatan untuk membintangi teater Di Bawah Lindungan Ka’abah arahan Rosminah Tahir yang bakal berlangsung pada 8 hingga 15 Mei depan, di Panggung Sari, Istana Budaya.

Menyedari ini adalah peluangnya untuknya beraksi di Istana Budaya, Yasmin akhirnya membuat keputusan untuk menerima tawaran itu.
  
“Pada awalnya 50-50 juga saya nak terima tawaran ni. Saya rasa serba salah untuk meninggalkan anak, tapi saya rasa bolehlah kalau ambil dan hanya fokus kepada latihan teater ni saja.


“Kebetulan saya pun memang teringin nak berlakon teater. Saya ni memang ‘stage addicted’. Bagi saya teater ini lebih kepada skala yang lebih serius. Saya suka belajar dan suka membuat persembahan secara pementasan. Ni dah kena dengan masa, jadi saya ambil keputusan untuk terimanya,” katanya.


Menurut Yasmin, dia sangat teruja apabila ditawarkan watak Rosna iaitu teman baik Zainab lakonan Nasha Aziz. Bahkan turut gembira apabila mengetahui naskah itu diadaptasi dari karya popular Hamka.


“Saya memang sukakan karya-karya Hamka. Dan saya yakin ia pastinya lebih mengagumkan jika bergandingan dengan pelakon-pelakon yang hebat,” katanya yang turut bergandingan bersama Adi Putra Elfira Loy, Fizo Omar, Dafi, Liza Abdullah dan Zila Bakarin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan