m

Ayah Dan Anak Perempuan

 

Orang tua-tua cakap kalau muka anak perempuan ada iras muka ayah, hubungan anak dan ayah akan lebih rapat dan akrab. Sejauh mana kebenaran kata-kata tersebut? Bagi yang mempunyai anak perempuan, pasti boleh menilai bagaimana cara seorang ayah menjaga dan membesarkan anak perempuannya.

Cara seorang ibu dan ayah membesarkan anak-anak mengikut  jantina mereka memang berbeza. Kelembutan dan keakraban ibu dengan anak perempuan memang memperlihatkan betapa memahaminya ibu dengan kerenah anak-anak. Kadang kala kita terfikir ibu lebih pakar menguruskan hal anak-anak berbanding ayah.

Walaupun seorang ayah kelihatan terlalu sibuk bekerja mencari rezeki untuk isteri dan anak-anak namun peranannya sebagai ketua keluarga jangan diketepikan. Biarpun hanya sedikit masa sahaja yang dimiliki untuk mendampingi anak tetapi ayah sentiasa memerhati dan memantau perkembangan anak-anaknya.

Seorang ayah,  biasanya kelihatan lebih garang dan tegas berbanding ibu. Kebiasaannya anak-anak juga lebih takut akan ayah mereka berbanding ibu. Namun, di sebalik karektor ayah yang tegas tetap terselit kelembutan yang tersendiri terutama terhadap anak perempuannya.

Keprihatinan ayah yang tersembunyi di sebalik ketegasaannya kadang kala melebihi kelembutan hati seorang ibu. Tanpa disangka rupanya hati ayah lebih mudah terusik jika ia melibatkan hal berkenaan anak perempuannya.

Kelebihan ayah dalam mendidik anak-anak sudah tentu dalam aspek ketegasan yang dimiliki. Oleh kerana anak-anak sudah biasa dengan ketegasan ayah, kata-katanya mudah dituruti dan dipatuhi tanpa sebarang kompromi.

Bahkan sebagai ayah, anda perlulah menerapkan aspek ketegasan kepada anak-anak dalam membantu pembentukan keperibadian anak. Walaupun kadang kala ada anak yang kurang suka dengan ketegasan namun lama-kelamaan mereka terbiasa dengan karektor ayah dan membantu mereka menjadi anak perempuan yang lebih yakin dan pandai menjaga diri.

Tetapi percayalah, seorang ayah akan lebih mudah berasa kasihan jika anak perempuannya ditimpa masalah. Malah dialah yang lebih akan memberi keyakinan dan semangat kepada anak dengan caranya yang tersendiri. Walaupun secara fizikal, ayah lebih garang dan tegas namun kasih sayangnya tidak pernah berkurangan untuk si anak gadis.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan