m

Ikut Jejak Ayah

 

BAKAT seni Pian Cecupak mengalir pada anaknya, Aina Fazrin, 16. Pun begitu, pada mulanya Pian tidak menyedari bakat menyanyi anaknya kerana sejak bercerai dengan bekas isteri, anaknya tinggal bersama ibu mereka manakala dia pula menetap di Kedah.

Bagaimanapun menurut Pian, dia tahu Aina selalu mengikut ibunya menyanyi di pusat karaoke. Namun dia masih tidak percaya yang Aina boleh menyanyi sehinggalah tahun lepas apabila dia membawa anak sulung daripada dua beradik itu ke acara poco poco mangsa banjir di Kuala Lumpur.

"Pada acara itu saya beri peluang dia menyanyi dan barulah saya tahu dia memiliki suara yang bagus. Sebelum ini ramai kawan-kawan cakap suara dia sedap tetapi saya tak percaya. Kalau dia sendiri sudah berminat dalam bidang seni, saya tidak akan halang malah sekarang kalau ada persembahan saya akan membawanya sekali dan kami akan berduet.

"Ketika mereka kecil dulu saya pernah bawa mereka ke tempat persembahan dan mereka merungut kerana terpaksa menunggu lama. Saya beritahu mereka itulah cara saya mencari wang untuk membesarkan mereka dari usia mereka sehari sampailah sekarang.

"Apabila Aina sudah berjinak-jinak di pentas seni tahulah dia macam mana penat lelah saya mencari rezeki. Memandangkan dia semakin menyukai bidang ini saya nasihatkan dia berhati-hati dalam segala gerak-geri dan percakapan," katanya.

Tambah Pian, 43, atau nama sebenarnya Mohd Rafik Abdul Rahman, dia akan mengurus jadual Aina kerana anaknya itu masih belajar dalam tingkatan lima dan akan mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Jelasnya, walaupun dia sendiri tidak pasti sejauh mana anaknya boleh pergi dalam arena seni, dia akan terus memberi galakan.

"Aina sebenarnya tidak berapa sihat kerana dia menghidap thalassemia yang diwarisi daripada saya tetapi dia sangat tabah. Keadaannya itu membimbangkan saya kerana kami tinggal berjauhan. Saya kerap berulang-alik antara Kedah dan Kuala Lumpur kerana saya masih menerima jemputan menyanyi di sini dan pada masa melawat anak-anak.

"Sebelum balik saya akan pastikan ubatnya ada dengan membelikan ubat terbaik untuknya. Tubuhnya cepat lemah dan dia tidak berselera makan," jelas Pian.

Sebelum ini Pian pernah mencetuskan kontroversi apabila dia mengaku menggunakan botoks, pernah enam bulan menderita sakit sehingga orang kata dia gila. Akuinya ketika senang dia alpa dan kesakitan itu menyedari tanggungjawabnya terhadap Allah SWT dan berhasrat untuk menjadi manusia lebih baik.

Mahu membina hidup baru, dia berpindah ke Kedah hampir dua tahun lalu. Dia bahagia dan selesa tinggal di sana kerana orang sana tidak pernah mempertikaikan siapa dirinya.

"Mereka ikhlas menerima seadanya saya dan sering dijemput memberi ceramah di masjid. Tidaklah saya berceramah seperti ustaz, saya hanya menceritakan pengalaman sendiri," katanya.

Dalam pada itu bagi Aina sendiri, nasihat serta tunjuk ajar yang telah diberikan oleh ayahnya akan dipegang sampai bila-bila.


"Ayah banyak bagi nasihat kepada saya, saya tahu cabaran dalam dunia seni ini bukan seperti yang jangkakan. Bukan senang untuk bergelar orang seni. Insya-Allah saya akan dengar cakap dan nasihat ayah saya.

"Buat masa ini walaupun saya agak sibuk dengan pelajaran di sekolah tapi bidang nyanyian ini saya akan teruskan juga. Saya cukup minat dalam dunia nyanyian dari kecil lagi, peluang yang ada ini saya akan gunakan sebaik mungkin," jelas Aina yang turut bercita-cita untuk menjadi jururawat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan