LOKASINYA di Sekolah Menengah Kebangsaan (L)
Bukit Bintang, Petaling Jaya, Selangor. Itu tempat yang dipilih Altimet untuk
majlis pelancaran album Kotarayaku baru-baru ini.
Melihatkan
kepada usahanya membuat majlis pelancaran dengan tema sebegitu rupa, Altimet
menjadi sasaran pertanyaan mengapa dia memilih untuk mengembalikan memori
persekolahan.
Menurut
Altimet atau nama sebenarnya Ahmad Abdul Rahman, 37, segalanya bermula apabila
pihak Kartel Records hadir dengan idea kulit album berbentuk buku nota sekolah.
"Memandangkan
kulit album begitu, saya secara spontan berkongsi idea agar majlis pelancaran
diadakan di sekolah. Tentu sekali sekolah lama saya, SMK (L) Bukit Bintang.
Alang-alang mahu menggamit memori.
"Alhamdulillah,
pengetua sekolah juga berbesar hati menerima kami sebagai tetamu dan mengadakan
majlis ini. Yang penting, saya kembali sebagai bekas pelajar sekolah ini,"
katanya.
Berkongsi
kisah zaman persekolahan kata Altimet, banyak kenangan tercipta termasuk bagaimana
dia mengenali muzik hip hop yang kini menjadi haluannya dalam mencari rezeki.
"Saya
bersekolah di sini dari tahun 1991 sehingga 1993. Disinilah saya belajar dan
mengenali muzik hip hop. Masa itu tak ramai yang tahu dan suka genre muzik ini.
"Ketika
itu kebanyakannya lebih cenderung kepada muzik rock, balad, alternatif dan
sebagainya. Tapi hip hop? Tak ada orang pandang. Cuma ada dua tiga orang
termasuk saya yang layan.
"Adatlah
zaman budak-budak, apabila ada yang pelik sikit mesti kena ejek. Selalu saja
saya kena ejek sebab saya budak hip hop. Biasalah. Tapi selain itu yang
menariknya, apabila kita tak layan lagu sama macam orang lain, barang kita tak
kena curi.
"Contohnya
kaset! Zaman itu zaman kaset. Apabila tengok Snoop Dog, Wutang Clan, siapa yang
nak dengar? Mereka layan lagu rock. Selamatlah kaset saya tak kena
'rembat'!" seloroh Altimet.
Sudah
merasai kritikan sejak awal kata Altimet, kerana itu dia juga tidak terlalu
terkesan apabila menerima kritikan tidak kira sama ada sebagai artis mahupun
komposer.
"Macam
saya katakan, di sekolah tak ramai orang suka hip hop. Diorang pandang
budak-budak hip hop seolah-olah tak ada hala tuju, macam-macam kritikan yang
pernah saya terima.
"Apabila
saya serius dalam bidang ini maka saya sedar, kritikan memang akan datang pada
saya. Kenalah terima. Namun saya boleh hadapi dan tanganinya dengan baik
memandangkan itu bukan sesuatu yang baru buat saya.
"Kawan-kawan
sekolah yang dulu kutuk dan kritik saya, sekarang sudah nampak yang muzik hip hop
bukan muzik jalanan. Saya sudah buktikan pada mereka. Sekarang mereka pula yang
sokong saya," katanya.
Hampir
lima tahun berada dalam industri, Altimet bukan sahaja berdiri sebagai penyanyi
tetapi turut berkolaborasi dengan artis lain hingga mengakibatkan penghasilan
album keduanya ini mengambil masa begitu lama.
"Kebanyakan
masa saya habiskan dengan mencurahkan idea dan kreativiti untuk lagu orang
lain. Sampai saya terlupa memikirkan tentang diri sendiri," katanya.
Menganggap
dirinya cerewet, Altimet mengakui bahawa menghasilkan album Kotarayaku bukan
mudah meski material lagu sudah tersimpan rapi dalam koleksinya.
Mahukan
yang benar-benar terbaik dan berkualiti, Altimet enggan menerbitkan sebuah
album dengan sambil lewa.
Meletakkan
cogankata Aku Disekolahkan MC Zaman Silam kata Altimet, itu merupakan ayat yang
cukup dekat dan kena dengan jiwanya memandangkan pengalamannya dahulu banyak
mengajarnya mengenai muzik hip hop itu sendiri.
"Dulu
tak macam sekarang. Kita belajar mengenal muzik hip hop dengan jiwa. Kita kenal
dan tahu sejarahnya. Bukan sekadar ikut-ikutan.
"Saya
banyak belajar daripada idola-idola hip hop dan rap terdahulu yang menjadikan
siapa diri saya sekarang," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan