m

Jep Sepahtu jawab dakwaan maki peminat

KUALA LUMPUR: Pelawak terkenal Jep Sepahtu melahirkan rasa kecewa mengenai laporan sebuah akhbar tentang dakwaan dirinya memaki peminat ketika perlawanan bola sepak yang berlangsung di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil pada 21 Mac lalu.

Untuk mendapatkan kepastian, Astro Gempak telah bertemu Jep semasa program Jelajah Komedi Sinar bersama Kawan Paratha di Sungai Petani, Kedah dan meminta dia mengulas mengenai isu tersebut.

Menurut Jep, tuduhan yang dilemparkan terhadap dirinya itu terlalu berat malah menganggap ia sebagai satu fitnah.

“Kalau cerita negatif saya masih lagi boleh terima tapi janganlah sampai ia mengaibkan orang dan menjadi fitnah kepada saya.

“Saya takkan buat perkara macam tu, paling tidak pun kalau saya sibuk saya akan tolak dengan baik, tapi kalau tuduhan sampai kata saya memaki orang tersebut itu dah jadi satu fitnah.

“Sampai satu tahap saya rasa seolah-olah ada konspirasi nak menjatuhkan saya, dan perkara sebegini dah berlarutan sejak saya dalam maharajalawak lagi… Ada sahaja cerita negatif tentang saya,” ulasnya.

Selain itu, pelawak yang berasal dari Kulai, Johor ini juga mengakui dia tidak tahu apa motif yang ingin disampaikan oleh pengirim tersebut sehingga dia bertindak untuk memburukkan namanya.

“Kita tak tahu siapa yang suka kita dan siapa yang tak suka... Kalau berfikir secara logik, takkan saya nak buat macam itu bila ada peminat yang ingin ambil gambar?

“Sebab saya sedar, orang yang paling penting membuatkan saya berada hingga ke tahap ini adalah peminat dan saya sangat-sangat menghormati peminat saya… Mustahil saya nak buat perkara macam tu!,” katanya tegas.

Tambah Jep lagi dia memaafkan pihak yang mengada-adakan cerita negatif ini dan menganggap ia merupakan asam garam kehidupan sebagai seorang artis

“Saya baik-baik saja, Alhamdulillah bila keluar cerita-cerita negatif tentang saya ramai kawan-kawan datang jumpa saya dan berikan kata-kata semangat.

“Kadang-kadang disaat saya ‘dihentam’ teruk, saya tak marah sebaliknya orang-orang yang berada disekeliling saya yang geram… Saya anggap ini sebagai asam garam sebagai artis dan fitrahnya memang begitu.

“Apa yang buat saya jadi lebih kuat ialah percaya tuhan itu adil, buat baik dibalas baik dan bila anda buat perkara tak elok maka anda akan dapat balasannya.

"Saya tidak anggap mereka sebagai 'haters' sebaliknya saya doakan supaya hentikan perbuatan ini agar tidak berlarutan kerana dikhuatiri akan bebalik kepada diri mereka sendiri.” ujarnya mengakhiri perbualan.

Astro Gempak sebelum ini ada mengeluarkan artikel mengenai Jep yang didakwa menempelak peminatnya ketika perlawanan bola sepak yang berlangsung di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil membabitkan pasukan Super Lawak FC pada 21 Mac lalu.

Peminat tersebut yang terkilan dengan tindakan Jep itu telah menghantar surat kepada ‘Mizz Lahar’, ruangan gosip di sebuah akhbar tempatan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan