m

Mesej menyayat hati dihantar oleh pelajar mangsa feri karam

KUALA LUMPUR: Mesej menyayat hari berbaur kasih sayang, ketakutan dan kekecewaan yang dihantar oleh pelajar-pelajar sekolah menengah yang terlibat dengan kejadian feri karam di Korea Selatan pada Khamis telah menambah emosi kepada tragedi tersebut.

Hampir 300 orang, dimana kebanyakan mereka merupakan pelajar sekolah menengah yang dalam perjalanan untuk lawatan sekolah masih belum berjaya ditemui selepas feri tersebut tenggelam pada pagi Rabu.

“Saya hantar mesej ini sebelum saya tidak sempat. Mak, saya sayang mak,” seorang pelajar, Shin Young-Jin berkata menerusi mesej yang dihantar kepada ibunya yang terus menjadi perhatian media Korea Selatan.

“Oh, mak pun sayangkan awak,” ibunya membalas mesej itu tanpa mengetahui situasi sebenar ketika itu dimana anak lelakinya sedang bertarung nyawa untuk menyelamatkan diri daripada kapal yang karam itu.

Nasib menyebelahi Shin kerana dia merupakan antara pelajar 179 penumpang yang terselamat daripada menjadi mangsa tragedi ngeri itu.

Tidak semua bernasib baik

Seorang lagi pelajar berusia 16 tahun, Kim Woong-Ki dalam keadaan terdesak menghantar mesej kepada abangnya meminta bantuan ketika kapal tersebut mula terbalik.

“Bilik saya condong pada 45 darjah. Telefon bimbit juga tidak berfungsi seperti biasa,” kata Kim seperti dipetik menerusi mesej yang dihantarnya.

Bagi menenangkan Kim, abangnya berkata dia percaya bantuan akan dihantar dengan segera.

“Jangan panik dan ikut arahan yang diberikan. Awak akan selamat,” dia membalas mesej adiknya.

Selepas itu, tiada lagi komunikasi antara mereka dan Kim disenaraikan antara 287 penumpang yang masih belum ditemui.

Malangnya, nasihat abangnya itu sama seperti arahan yang diberikan kepada mangsa dimana kru feri berkenaan menyuruh penumpang supaya tidak berganjak ke mana-mana dan terus duduk di tempat masing-masing.

Ahli keluarga mengecam arahan ini dengan mengatakan jika penumpang dibiarkan keluar, mereka sudah tentu terselamat dan tidak lagi terperangkap dalam kapal tersebut.

Situasi suram ini semakin bertambah apabila media tempatan melaporkan mengenai mesej yang dihantar oleh seorang pelajar berusia 18 tahun yang dikenali sebagai Shin.

“Ayah, jangan risau. Saya sudah memakai jaket keselamatan dan saya bersama rakan perempuan lain. Kami masih di dalam kapal, di sebuah lorong,” gadis itu menghantar mesej tersebut kepada bapanya.

Ayahnya yang berada dalam kebingungan membalas mesej menyuruh anaknya keluar daripada kapal tersebut, namun ia sudah terlewat.

“Ayah, saya tak boleh. Kapal ini terlalu condong. Lorong-lorong di sekitar kapal dipenuhi orang ramai,” gadis itu membalas mesej terakhirnya.

Beberapa ibu bapa berjaya menelefon anak mereka pada saat akhir mendengar anak-anak mereka cuba untuk keluar dari kapal tersebut.

“Dia beritahu saya kapal sudah condong dan dia tidak dapat melihat apa-apa,” seorang ibu menceritakan semula mengenai panggilan telefon bersama anaknya.

“Dia cakap, ‘saya tidak sempat memakai jaket keselamatan’, dan talian terus terputus,” ibu kepada mangsa feri karam memberitahu akhbar Dong-A Ilbo.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan