Tanggungjawabnya
sangat besar dalam sebuah rumahtangga. Dialah ketua keluarga, dialah pencari
nafkah dan dialah tempat rujukan isteri dan anak-anak. Jika dulu, ibu sering
dijadikan sebagai tempat anak-anak mendapatkan belaian kasih sayang, sentuhan,
makan dan minum serta tempat mengadu, sementara ayah pula tempat anak-anak
meminta perkara material sahaja.
Namun,
zaman sekarang ramai ibu turut sibuk bekerja di luar rumah, jadi peranan ayah
dalam mempengaruhi tumbesaran anak sama dengan ibu. Anak-anak sekarang sudah
tidak janggal lagi untuk bermanja dengan ayah.Tidak takut lagi untuk bergurau
senda dan bermesra dengan ayah.
Sememangnya
hubungan anak dan ayah memainkan peranan penting membentuk perilaku dan
karektor anak. Biasanya anak menjadikan si ayah sebagai hero mereka. Segala
kelakuan dan gaya si ayah menjadi contoh ikutan anak terutama anak lelaki.
Sementara anak perempuan pula menyanjung tinggi ayah mereka sebagai lelaki
pujaan.
Hubungan
tersebut boleh dibentuk sejak dari dalam kandungan lagi. Seorang ayah
sepatutnya mula melibatkan diri dengan anaknya sejak si anak masih dalam rahim
ibu. Sentuhan, belaian dan kata-kata yang diucapkan oleh ayah didengari oleh
anak.
Bahkan
suara pertama ayah yang memperdengarkan azan di telinga anak sebaik dilahirkan
turut membantu jalinan hubungan kasih sayang antara anak dan ayah. Bahkan
penglibatan ayah yang turut mengendalikan bayinya seperti menukar lampin,
memandikan, memakaikan baju, bermain mempunyai kekuatan tersendiri.
Ia memberi
kesan positif dalam perkembangan anak. Semakin banyak penglibatan ayah dalam
pengasuhan anak, semakin baik kesannya kepada perkembangan anak. Antaranya, ia
turut membuat anak lebih bijak dan cemerlang dalam bidang akademiknya kelak,
mengurangkan masalah kelakuan negative anak dan memupuk tabiat pemakanan yang
sihat.
Oleh itu,
janganlah menganggap tugas mengasuh dan mengendalikan anak hanya terletak di
bahu seorang ibu sahaja. Pengaruh ayah tidak kurang hebat dalam membentuk
anak-anak yang positif akhlak dan perilakunya. Selain ibu, anak-anak juga
memerlukan sentuhan ayah mereka untuk membesar dengan cemerlang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan