m

Bercuti bersama alam semula jadi

Keindahan salah sebuah kawasan pantai di Mauritius.

Indah dan bersih, mungkin itulah perkataan yang paling sesuai bagi menggambarkan keindahan Republik Mauritius - sebuah negara kepulauan yang mendapat jolokan ‘syurga’ dunia di kalangan pelancong. Penulis berpeluang menjejak kaki ke negara yang pernah dijajah oleh Portugis, Perancis dan British ini pada 8 Mac lalu.

Berada selama seminggu di negara yang cukup indah dengan alam semula jadinya seolah-olah memberi satu ketenangan khususnya kepada mereka yang ingin berbulan madu atau bercuti bersama keluarga.

Bermula dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sir Seewoosagur Ramgoolam, pengunjung akan ‘dihidangkan’ dengan pemandangan yang indah. Bukan sahaja bukit bukau dan gunung-ganangnya, malah pusat bandar Mauritius iaitu Port Louis turut mempunyai bangunan yang mempunyai reka bentuk yang menarik.

Apa yang mengagumkan ialah kebersihannya termasuklah dipinggir jalan, sukar sekali untuk kita menemui sampah walaupun sehelai tisu.

Daripada geografi dan sejarahnya, Mauritius dikatakan ditemui oleh orang Portugis pada tahun 1505 dan dijajah buat pertama kali pada tahun 1638 oleh Belanda. Penjajah Belanda menamakannya ‘Mauritius’ bagi mengenang panglimanya, Maurice dari Nassau. Perancis kemudian menguasai pulau itu sepanjang abad ke-18 dan menamakannya Ile de France. Mauritius kemudian dikuasai pula oleh British pada tahun 1810.

Sejak mencapai kemerdekaan pada tahun 1968, Mauritius terus pesat membangun dan kesan peninggalan penjajah menjadi salah satu tarikan pelancongan di negara tersebut.

Sepanjang berada di Mauritius, penulis berkesempatan mengunjungi beberapa tempat menarik dan bersejarah. Antaranya kami mengunjungi kaki Gunung Pieter Both di Moka Range - sebuah gunung yang mempunyai keunikan bentuk batu tergantung seperti kepala manusia.

Berdasarkan pemerhatian, tanggapan penduduk Mauritius itu ada benarnya, ini kerana mereka menggambarkan jika batu itu dilihat dari sebelah kiri ia berbentuk kepala seorang lelaki dan jika dilihat dari kanan ia berbentuk perempuan bersanggul.

Namun apa yang melucukan, ada pula penduduk Mauritius mendakwa, jika dilihat dari hadapan, ia berupa wajah penyanyi terkenal Amerika Syarikat (AS) Michael Jackson. Tidak kiralah apa pun, tafsiran atau gambarannya, apa yang pasti Gunung Pieter Both merupakan salah satu tarikan pelancong di Mauritius. Ia merupakan gunung kedua tertinggi di Mauritius, pada ketinggian 820 meter dari aras laut. Gunung ini diberikan nama Pieter Both bersempena nama Gabenor Jeneral Hindi Timur Belanda.

Dari segi membeli-belah pula, Mauritius menyediakan banyak kawasan seumpama itu tetapi harga barangan di kompleks beli-belah lebih kurang sama dengan harga di negara kita. Namun begitu apa yang menarik di Mauritius ialah cenderahati khususnya kapal kayu yang menjadi tarikan utama pelancong.


Pemandangan Port Loius yang dirakam dari atas bukit berdekatan bandar itu.

Wang

Bagaimanapun untuk membeli-belah di Mauritius, janganlah berkira sangat soal tukaran wang memandangkan mata wang Euro digunakan secara meluas di negara itu. Jika mahu membeli- belah, tukar wang anda di lapangan terbang negara itu kerana harganya jauh lebih menguntungkan berbanding di luar.

Namun begitu berdasarkan pengalaman, anda dinasihatkan tidak terburu-buru membeli cenderahati di kedai yang mungkin dibawa oleh pemandu pelancong anda. Ia memandangkan harga di situ terlalu mahal berbanding harga cenderahati yang dijual di kompleks beli-belah atau pasar budaya yang terletak di tengah-tengah bandar Port Louis.

Jika ke Mauritius, jangan sesekali mensia-siakan peluang untuk melawat perkampungan Chamarel yang terletak di barat Mauritius. Di situ terdapat pasir berlapis yang dipisahkan oleh warna.

Kampung ini yang suatu ketika dikenali dengan air terjunnya, kini semakin popular dengan fenomena warna pasir yang dianggap ‘Tujuh Warna Bumi’. Ia ditemui kira-kira 50 tahun lalu.

Satu lagi kawasan paling ramai dikunjungi pelancong ialah Taman Botani Sir Seewoosagur di Pamplemousse yang menempatkan tumbuh-tumbuhan tropika yang dianggap cukup luar biasa. Taman ini pada asalnya dibuka sebagai taman milik peribadi oleh Gabenor Perancis ke Mauritius hampir 300 tahun lalu dan ia kemudiannya diisytiharkan sebagai Taman Botani Negara.

Percaya atau tidak, anda memerlukan masa selama seminggu jika mahu melawat keseluruhan taman ini yang mempunyai 650 jenis tumbuh-tumbuhan dan paling popular dalam kalangan pelancong ialah teratai gergasi. Untuk masuk ke taman ini pengunjung dikenakan bayaran Euro 1 (RM4.60).

Dari segi makanan pula, bagi pelancong beragama Islam mereka tidak perlu risau kerana banyak makanan halal dijual di seluruh Mauritius. Apa yang penting anda perlu bertanya sama ada makanan yang dijual halal atau tidak. Anda pasti akan mendapat jawapan yang jujur kerana pemerintah Mauritius menetapkan mana-mana kedai, gerai atau restoran mahupun hotel yang mahu menjual makanan halal mesti mendapat sijil pengiktirafan halal.

Mengikut rekod, terdapat hampir 200,000 umat Islam di Mauritius. Masjid pertama yang dibina di Mauritius ialah Masjid Camp des Lascars sekitar tahun 1805. Ia kini secara rasmi dikenali sebagai Masjid Al-Aqsa. Masjid Jummah di Port Louis dibina pada 1850-an dan sering digambarkan sebagai salah satu bangunan agama yang paling indah di Mauritius oleh Kementerian Pelancongan negara itu.

Apa pun percutian di Mauritius tidak akan bermakna jika anda tidak menikmati keindahan pantainya. Penulis yang menginap di sebuah hotel di daerah Tiolet - kira-kira satu jam setengah perjalanan dari lapangan terbang, begitu menikmati keindahan pantainya.

Di Mauritius, terdapat banyak pantai yang menjadi tumpuan pelancong khususnya pada hujung minggu antara yang paling popular di Grand Bay.

Demikianlah sedikit sebanyak catatan keindahan Mauritius, satu destinasi yang amat sesuai dianggap percutian bersama alam semula jadi.

Apa pun sepanjang berada di sana, nama Malaysia cukup terkenal, apabila warga asing mengetahui kami dari Malaysia, soalan pertama yang terpancul dari pada mulut mereka, di manakah pesawat MH370? Soalan mudah tetapi sukar untuk dijawab.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan