m

Menjamu selera di puncak gunung

SEBAHAGIAN pelanggan menikmati makan malam stimbot dan barbeku bersama keluarga dalam kedinginan malam di Restoran Puncak Kedah, Gunung Jerai, Gurun, Kedah.

Bagaimana rasanya menghirup sup atau tom yam panas dalam keadaan cuaca sejuk? Tentu sekali ia cukup menyelerakan, sekali gus membuatkan kita sukar untuk berhenti daripada menambah semangkuk demi semangkuk untuk terus menikmatinya.

Bagi merasai pengalaman sebegitu, tidak perlulah kita berbelanja besar ke luar negara, sebaliknya kita hanya perlu membuat tempahan di Restoran Puncak Kedah yang terletak begitu hampir dengan puncak Gunung Jerai, Kedah dalam kawasan The Regency Jerai Hill Resort.

Paling istimewa di situ, sudah tentulah hidangan stimbot serta barbeku yang menyajikan pelbagai makanan laut serta sayuran segar sedia untuk dinikmati pelanggan restoran.

Menurut Ketua Chef Restoran Puncak Kedah, Ayob Yahaya, disebabkan keistimewaan lokasi dan hidangan berkenaan, ada pengunjung sanggup datang dari jauh dan berkunjung ke situ semata-mata mahu menikmati keunikan lokasi dan keenakan makanan di situ.

"Memang ada dalam kalangan pelanggan tetap kami termasuk dari Pulau Pinang yang datang pada sebelah malam semata-mata mahu menikmati stimbot dan barbeku di sini, sekurang-kurangnya dua atau tiga kali dalam sebulan.

"Keunikan menjamu selera di sini, ada kalanya suhu mencecah sehingga 17 darjah celcius menyebabkan mulut ‘berasap’ ketika bercakap. Sudah tentu, keadaan itu menambah selera pengunjung untuk menikmati stimbot dan barbeku segar yang kami sediakan," katanya.

Sebagai pembuka selera, antara hidangan yang sering menjadi pilihan pengunjung adalah sup cendawan, manakala kek lobak merah istimewa yang penuh dengan serat dihidangkan sebagai penutup sajian bersama teh tarik.

Dibuka bermula pukul 11 pagi sehingga 11 malam setiap hari, para pengunjung hakikatnya tidak hanya menjamu selera, sebaliknya turut berpeluang menjamu mata melihat pemandangan indah dari restoran berkenaan.

Jika pada waktu siang, pengunjung berpeluang menikmati keindahan sawah padi, lautan serta beberapa pulau berdekatan termasuk pulau legenda, Langkawi dari tempat duduk restoran.

Di sebelah malamnya pula, lampu-lampu pelbagai warna menghiasi kawasan sekitar, sekali gus mencipta suasana romantis buat pasangan bercinta.

Ayob menambah, bagi mana-mana pihak yang datang berkumpulan, mereka boleh membuat pilihan sama ada mahu menikmati hidangan di restoran atau di mana-mana kawasan yang dirasakan sesuai termasuk di sekitar kolam renang.

"Kami menyediakan perkhidmatan yang agak fleksibel di sini dan harga dikenakan berbeza mengikut permintaan pelanggan terhadap apa yang mereka mahu.

"Tetapi untuk stimbot biasa, kami mengenakan caj sebanyak RM28++ seorang dewasa, manakala untuk stimbot barbeku harganya adalah sekitar RM38++ seorang," katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan