m

BMW Terbuka Malaysia: Cibulkova mula curi tumpuan

 

HIDUP Dominika Cibulkova telah banyak mengalami perubahan sejak menjadi pemain wanita Slovakia pertama melangkah ke final Grand Slam.

  Dominika, yang bertukar profesional pada 2004, mencuri tumpuan apabila menumbangkan satu demi satu nama besar di Terbuka Australia, Januari lalu sebelum akhirnya kecundang di tangan bintang China Li Na pada perlawanan akhir.

“Sejak kejayaan Melbourne, saya mendapat banyak perhatian daripada peminat-peminat dan media. Saya agak sukakannya namun fokus saya tetap ialah tenis,” beritahu Dominika kepada www.tennisnow.com baru-baru ini.


  Dominika yang menduduki tangga ke-11 ranking dunia dan pernah memenangi empat gelaran itu akan membuat penampilan sulung selaku pilihan utama pada BMW Terbuka Malaysia di Kelab Golf Royal Selangor pada 14 hingga 20 April ini.

Bagaimanapun, ia pastinya bukan mudah buat Dominika dalam pertandingan yang dianggap sebagai antara acara jelajah paling berprestij di Asia.


  Bekas jaguh nombor satu dunia Venus Williams serta juara bertahan Karolina Pliskova dan Zhang Shuai dari China adalah antara pencabar utama kejuaraan.

Dominika, yang membantu Slovakia menjuarai Piala Hopman pada 2009, dianggap sebagai pemain yang lewat menyinar dalam jelajah.


  Tidak hanya selepas tujuh tahun lamanya baru beliau menawan gelaran pertama kariernya di Moscow pada 2011. Kejayaan sulung itu disusuli dengan tiga kejuaraan berikut di Carlsbard (2012), Stanford (2013) and terbaru di Acapulco pada Februari.

Selain Terbuka Australia, beliau juga merupakan finalis di Montreal dan Kepulauan Amelia pada 2008; Linz (2011), Barcelona (2012) dan Sydney (2013).


  “Apa yang saya paling sukakan mengenai tenis? Jawapannya ialah perasaan kemenangan selepas setiap perlawanan. Tenis bawakan kegembiraan dalam hidup saya dan saya berharap dapat mencapai lebih banyak kejayaan dalam sukan ini” kata Dominika, yang dilatih Matej Liptak.

Diperkenalkan kepada tenis oleh ibu-bapanya sewaktu usia beliau menjangkau tujuh tahun, pemain berusia 25 tahun itu ada mengamalkan satu kepercayaan iaitu memakai rantai tangan ‘bertuah’ untuk memperbaiki kualiti hidup keseluruhannya.


  “Saya memakai rantai tangan pada pergelangan kiri saya setiap masa. Saya tidak mengatakan ia telah membawa tuah kepada saya, tetapi saya gemar memakainya,” tambah Dominika.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan