KUALA
LUMPUR: Kita mungkin
akan mengetahui apakah nasib yang menimpa pesawat Penerbangan Malaysia MH370
yang telah hilang hampir tiga minggu lalu, atau mungkin juga tidak.
Atau mungkin juga, biar apa sahaja penemuan dari serpihan pesawat atau kotak
hitam yang ditemui, sebahagian dari kita berkemungkinan tidak akan dapat
menerimanya.
Pengumuman Perdana Menteri yang pesawat malang itu hilang di bahagian
selatan Lautan Hindi, hadir pada hari ke-17 selepas pesawat itu hilang pada 8
Mac lalu, ketika dalam perjalanan daripada Kuala Lumpur ke Beijing,
China.
Namun, sejak itu juga pelbagai spekulasi dan teori samakin banyak yang timbul,
sehinggakan ke hari ini ada antara kita yang mempersoalkannya (kehilangan
pesawat), masih berharap yang pesawat membawa 239 nyawa itu menemui nasib yang
lebih baik, tidak hilang di bawah dasar Lautan Hindi.
Berasaskan teori konspirasi juga, ada yang beranggapan kerajaan cuba
menyembunyikan sesuatu.
Ada yang mendakwa pesawat dirampas, mendarat di satu kawasan yang tersembunyi
dan akan dijadikan senjata. Ada pula yang berkata kejadian didalangi anggota
kumpulan rahsia “Illuminati” bagi mendapatkan hak kepada “paten” sesuatu
produk. Ada juga yang berkata kononnya pesawat dilencongkan ke Diego Garcia,
bagi menyembunyikan kandungan kargo yang dibawa pesawat. Mana boleh kita
mengenepikan teori Segitiga Bermuda, Black Hole dan makhluk asing yang banyak
diperkatakan.
Kebanyakkan teori melampau dan paranormal ini agak pelik tanpa asas saintifik
untuk menyokongnya, ini hanya meningkatkan harapan terhadap ahli keluarga
penumpang dan kru yang masih mengharapkan akan ada petunjuk menjelaskan
segalanya, meskipun ia sekadar spekulasi.
Bagaimanapun, menurut satu kajian teori konspirasi ada fungsinya – sebagai satu
mekanisme untuk orang ramai menghadapi atau memahami sesuatu peristiwa yang
buntu.
“Dalam kes pesawat MH370, adalah sukar untuk memahami bagaimana pesawat boleh
hilang. Teori konspirasi memberikan ruang untuk sesetengah orang untuk
mendapatkan penjelasan buat mereka yang memerlukannya.
“Saya tidak berpendapat teori konspirasi sentiasa memberikan impak negatif. Ia
memenuhi fungsinya dalam masyarakat. Ia mungkin bukan fungsi yang baik, atau
membantu, tetapi ia memberikan respon rasional terhadap satu fenomena yang
sukar,” kata Dr Viren Swami, seorang pakar psikologi dari Universiti
Westminster, United Kingdom.
Ketika dihubungi Astro AWANI, Swami menjelaskan yang sudah menjadi sifat
manusia untuk mendapatkan jawapan (terhadap sesuatu persoalan) dan untuk
memahami seuatu yang tidak diketahui atau difahami.
“Seseorang itu mungkin tidak percayakan teori konspirasi, tetapi ia memberikan
penjelasan ringkas untuk sesuatu perkara yang sukar difahami. Ia membolehkan (pihak
yang menerimanya) merasa lebih lega dan baik. Dengan adanya perasaan ini, ia
memberikan mereka suara. Ia memberikan mereka seakan kuasa,” katanya.
Penerimaan pelbagai teori mengenai kehilangan ‘misteri’ pesawat juga dikatakan
disumbang oleh maklumat bercanggah yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa,
adakalanya tidak disahkan kesahihannya dan juga laporan berbentuk spekulatif
oleh pihak media.
Dalam reaksi terhadap peningkatan pelbagai spekulasi, pemangku Menteri
Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussien terpaksa menghabiskan tempoh
sidang medianya untuk menangkis khabar angin, spekulasi dan laporan yang tidak
sahih.
Namun apabila ada serpihan ditemui, tetapi tidak disokong oleh data konklusif
mengenai di manakah posisi pesawat, tidak dapat tidak, ia menguatkan lagi teori
ada cubaan untuk menutup ‘sesuatu’.
Menurut Nicholas DiFonzo, seorang pakar dalam bidang kajian ’khabar
angin’ daripada Institut Teknologi Rochester, ramai yang tidak lagi percaya
kepada saluran maklumat dan pihak berkuasa terpaksa bekerja keras untuk
mengemukakan ‘bukti’ terhadap teori-teori mereka sendiri.
“Adalah penting untuk memastikan orang ramai dan ahli keluarga dimaklumkan (apa
jua makumat) bagi mengelak dan menguruskan spekulasi yang tidak diingini. Namun
dalam kes ini (MH370) ia sememangnya tidak masuk akal. Saya tidak pasti sama
ada penerangan yang lebih baik dari pihak berkuasa akan membantu ( mengurangkan
spekulasi),” katanya.
Selain itu, pihak media, internet dan sifat dahagakan maklumat oleh masyarakat
memberikan cabaran kepada pihak berkuasa untuk menguruskan krisis sebegini.
“Tumpuan 24-jam media terhadap berita ini menyukarkan lagi keadaan, ini kerana
(pihak media) perlu membekalkan orang ramai dengan berita bagi merungkai
persoalan. Ramai yang terlalu obses dengan ‘misteri’ ini, ia disumbangkan lagi
berita-berita yang disampaikan pihak media, ditambah lagi oleh berita dari
internet yang bersifat interaktif,” kata DiFonzo.
Laman media sosial, katanya adalah ruang paling mudah untuk digunakan dan
mencetuskan pelbagai spekulasi.
“Media sosial melakukannya dengan' baik'. Ia memberikan ruang untuk teori
konspirasi berkembang tanpa ada pihak yang boleh menangkisnya – tiada
bukti-bukti bercanggah atau analisis yang kritikal. Apabila anda memberikan
maklumat yang kritikal berkenaan sesuatu teori, ia berjaya mengurangkan andaian
ia sekadar satu konspirasi.”
“Rangkaian atas talian adalah “mesra” kepada teori konspirasi dan bertindak
sebagai satu ruang bersuara. Mendengar berulang kali dari sumber yang mereka
percayai, dan sebagai sebahagian daripada rangkaian dimana ‘kepercayaan’
terhadap teori tertentu disebarkan, menyebabkan seseorang itu akan mudah
mempercayai sesuatu teori ,” tambah DiFonzo.
Jadi adakah kita (termasuk mereka yang paling rasional) terdedah untuk menerima
dan menyebarkan teori-teori konspirasi,? Jawapannya adalah ‘ya’ kata Swami,
namun bergantung kepada pelbagai perkara seperti personaliti dan psikologi
seseorang individu.
“Mereka yang lebih mudah terdedah kepada (mempercayai) konspirasi adalah mereka
yang mempunyai rasa rendah diri , mereka yang tidak berkuasa dan mereka yang
beranggapan tidak diberikan pilihan.
“Apabila anda telah mempercayai teori konspirasi ini, anda juga
berkecenderungan untuk menerimanya. Sebagai contoh, jika anda percaya kepada
konspirasi serangan 9/11, atau tidak percaya manusia telah menjejak kaki di
bulan, anda akan berkecederungan juga untuk mempercayai teori-teori berhubung
kehilangan pesawat (MH370),” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan