m

Kekalkan Romantik Suami Isteri

 

Siapa yang tidak suka jika pasangan suami atau isteri sentiasa bersikap romantik. Tetapi selalunya selepas berkahwin beberapa tahun, keromantikan yang ada semasa zaman bercinta seolah-olah berlalu pergi.

Apatah apabila masing-masing semakin sibuk menguruskan anak-anak yang makin membesar. Tapi bukan bermakna anak-anak yang menjadi punca, bahkan kehadiran anak-anak patutnya menjadi pengikat kasih terus utuh.

Wahai isteri, jangan jadikan alasan sibuk uruskan anak-anak dan rumah tangga untuk tidak menjadi romantik seperti dahulu. Wahai suami, jangan pula menjadikan tanggungjawab dan komitmen sebagai alasan tidak mahu membelai isteri seperti baru kahwin dulu.

Cuba jadikan pasangan suami isteri yang sentiasa romantik sebagai rujukan anda berdua. Kebanyakan mereka mengaku sentiasa mengenepikan kesibukan yang tidak pernah habis. Mencari ruang untuk menghabiskan masa berduaan adalah kunci utama kebahagiaan rumah tangga.

Meskipun anda berdua sentiasa sibuk, pastikan peruntukan masa untuk melakukan perkara yang anda berdua gemari. Cari persefahaman yang boleh mengeratkan hubungan anda berdua. Misalnya jika anda gemar melancong, rancanglah percutian untuk anda berdua. Sesekali tinggalkan anak-anak dengan ahli keluarga yang rapat untuk tempoh masa sekejap.

Mungkin ada yang tidak sampai hati untuk meninggalkan anak-anak yang masih kecil semata-mata untuk pergi bercuti berduaan. Jangan risau, anda masih boleh mencari ruang masa untuk berduaan. Anda boleh  keluar makan malam bersama, menonton wayang, tidurkan anak seawal malam,  menonton televisyen berduaan atau sekadar berehat bersama sambil mendengar alunan muzik romantik dalam bilik tidur yang diharumi haruman menyenangkan.

Kita sudah terlalu sibuk dengan urusan masing-masing jadi jangan abaikan keharmonian dan keromantikan rumah tangga semata-mata melayan kesibukan yang tidak berkesudahan itu. Semuanya bergantung kepada kepakaran dan kreativiti anda mencipta kebahagiaan yang diinginkan.
 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan