m

MH370: Ganti rugi sudah pasti

Anggota keluarga penumpang pesawat MH370 dari Beijing tidak dapat menahan kesedihan ketika berjalan melintasi perkarangan Hotel Bangi-Putrajaya pada Selasa


Read more at: http://www.astroawani.com/news/show/mh370-ganti-rugi-sudah-pasti-32524?cp

KENAPA dan bagaimana pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 melencong daripada laluan asalnya menuju ke Beijing dan sampai ke titik akhirnya di selatan Lautan Hindi setakat ini masih misteri — belum diketahui, tidak pasti dan belum terjawab.

Tetapi apa yang pasti: waris penumpang dan anak kapalnya yang hilang bersama pesawat Boeing 777-200 itu berhak menerima bayaran ganti rugi daripada syarikat penerbangan negara. Ini termaktub di bawah perjanjian antarabangsa yang dikenali sebagai Konvensyen Montreal dan merupakan amalan piawai setiap kali berlaku nahas seperti sebelum ini.

Peguam Mike Danko dari Amerika Syarikat berkata perjanjian itu meletakkan tanggungjawab kepada sesebuah syarikat penerbangan untuk membayar ganti rugi kepada waris apabila berlaku nahas kerana "kemalangan". Kemalangan ditakrifkan sebagai kejadian luar biasa atau luar jangkaan yang berlaku di luar kawalan penumpang.

"Sama ada nahas disebabkan oleh salah laku juruterbang yang sengaja, rampasan atau serangan pengganas — tidak kisah. Nahas itu dianggap sebagai satu kemalangan dan syarikat penerbangan bertanggungjawab," katanya dalam satu nota di laman web firmanya, Danko Meredith yang berpejabat di California, Amerika Syarikat.

Danko Meredith berpengalaman mengendalikan tindakan mahkamah waris mangsa nahas pesawat di Amerika Syarikat dan di beberapa negara lain.

Seorang lagi peguam yang berpengalaman dalam tuntutan seperti ini, Robert Hedrick berkata waris penumpang yang ingin membuat tuntutan tidak perlu menunggu siasatan selesai untuk membuktikan siapa yang bersalah sehingga menyebabkan nahas berlaku.

"Tuntutan itu boleh diteruskan kerana dibuat di bawah konvensyen," katanya dalam satu wawancara dengan Bloomberg Television.

Apa yang beliau maksudkan, dalam bahasa mudahnya ialah: bahawa sebuah nahas telah berlaku dan nahas itu menyebabkan mereka kehilangan seseorang; kehilangan itu pula dilindungi oleh undang-undang.

Apakah yang diperuntukkan oleh Konvensyen Montreal?

Artikel 17 konvensyen itu menyatakan sesebuah syarikat penerbangan bertanggungjawab terhadap kematian atau kecederaan penumpang akibat daripada kemalangan yang berlaku di atas pesawat.

Ganti rugi yang ditanggungnya pula adalah sekurang-kurangnya RM576,000 berdasarkan kepada hak pengeluaran khas (special drawing rights) yang ditetapkan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa sebagai nilai tukaran mata wang dunia. Bagi tuntutan lebih daripada jumlah tersebut, syarikat penerbangan terlibat boleh membuktikan bahawa kemalangan yang terjadi bukan akibat kecuaiannya atau berpunca daripada kecuaian pihak lain.

Sejak kehilangannya pada awal pagi 8 Mac lalu, pelbagai teori dan spekulasi diketengahkan untuk mewaraskan kenapa dan bagaimana pesawat besar itu boleh ghaib — kononnya ia mungkin dirampas, kononnya ia mungkin terbakar, kononnya ada kemungkinan juruterbang berbuat khianat. Semua teori dan spekulasi itu, sekiranya terbukti, akan sangkut jadi tanggungjawab pihak yang tertentu.

Itu sebabnya ketika semua teori dan spekulasi itu berlegar dan beredar, MAS tidak memberikan sebarang jawapan yang konkrit — mengiyakan tidak, menafikan pun tidak. Kenapa?

Alasannya mudah. Apa saja jawapan daripada MAS ketika ini tentunya akan mengaitkan syarikat itu dengan tanggungjawabnya nanti. Ia tidak mahu mendedahkan diri kepada tindakan mahkamah bersabit dengan kenyataan-kenyataan itu. Selebihnya, belum ada sebarang bukti yang kukuh untuk merumuskan apa sebenarnya yang berlaku.

MAS setakat ini telah memberikan bantuan kewangan awal kepada waris iaitu sebanyak AS$5,000 bagi setiap penumpang. Ini bukan satu ganti rugi. Ini juga bukan satu pengakuan tanggungjawab. Ini bolehlah dianggap sebagai satu bayaran ihsan yang dinyatakan oleh MAS "untuk meringankan beban mereka yang terlibat".

"Kami sedia menawarkan bayaran tambahan ketika mana usaha mengesan ini diteruskan," kata Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya pada sidang media di KLIA pada Selasa.

Artikel 28 Konvensyen Montreal memperuntukkan bahawa jumlah pampasan awal yang dibayar oleh sesebuah syarikat penerbangan kepada waris penumpang dan anak kapal boleh ditolak daripada jumlah penuh ganti rugi akhir yang diputuskan nanti. Ini bukan ganti rugi akhir.

Sehingga kotak hitam dijumpai, apa saja spekulasi akan tetap jadi spekulasi; apa saja teori akan tinggal jadi teori. Tanpa kita mengetahui kandungan perakam data penerbangan dan perakam suara kokpit, selama itulah kita hanya akan berteka-teki tentang apa sebenarnya yang terjadi.

Tetapi satu perkara yang pasti: setiap waris yang kehilangan akan mendapat ganti rugi.

Johor, Perak naik bendera separuh tiang tanda penghormatan MH370

KUALA LUMPUR: Johor dan Perak mengorak langkah untuk mengibarkan bendera negeri masing-masing separuh tiang bagi menghormati semua penumpang dan anak kapal pesawat MH370.

Johor menjadi negeri pertama berbuat demikian berikutan titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang  mahukan semua bangunan kerajaan negeri mengibarkan bendera negeri separuh tiang.

Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin berkata, kibaran bendera separuh tiang hanya dilakukan pada Selasa sahaja.

Perkara sama turut dilakukan di Perak.

Pemangku Raja Perak, Raja Doktor Nazrin Shah menitahkan semua jabatan, agensi, institusi, sekolah termasuk pihak swasta untuk mengibarkan bendera perak separuh tiang pada Rabu.

Titah tersebut disampaikan menerusi pekeliling kerajaan negeri.

DYMM Pemangku Raja Perak, Raja Doktor Nazrin Shah menitahkan kepada semua jabatan, agensi, institusi, sekolah termasuk pihak swasta untuk menaikkan bendera perak separuh tiang pada Rabu, 26 Mac 2014 sebagai tanda simpati dan dukacita negeri dan rakyat Perak kepada kaum keluarga penumpang dan anak kapal pesawat MH370.

Dalam pada itu, baginda turut menzahirkan rasa dukacita dan simpati kepada keluarga penumpang dan anak kapal pesawat MH370 susulan daripada laporan terkini kepada tragedi tersebut.

Titah tersebut disampaikan menerusi pekeliling kerajaan negeri oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Negeri Perak, Datuk Razali Othman kepada semua jabatan-jabatan negeri dan persekutuan, badan-badan berkanun serta semua ketua jabatan pihak berkuasa tempatan.

MH370: Optimumkan pencarian, ketahui kekurangan dan kelebihan yang ada

KUALA LUMPUR: Analisis baru yang dikeluarkan penyiasat-penyiasat di United Kingdom dan firma satelit Britain, INMARSAT mengatakan bahawa penerbangan pesawat MH370 berakhir di Selatan Lautan Hindi.

Titik akhir hasil siasatan INMARSAT ini menjadi titik mula pencarian pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu Lautan Hindi.

Menurut Timbalan Dekan Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik USM, Prof. Madya Dr. Mohd Rizal Arshad berdasarkan data-data yang dikeluarkan satelit INMARSAT, pihak Search And Rescue (SAR) tiada pilihan lain melainkan memulakan pencarian di dasar laut Lautan Hindi.

“Berita baik dalam misi pencarian di dasar laut ini ialah permukaan dasar Lautan Hindi lebih rata dan visual yang dihasilkan akan lebih jelas” Kata Mohd Rizal ketika menjadi tetamu Buletin AWANI Khas pada Selasa.

“Kita perlu menggunakan masa yang tinggal ini dengan sebaiknya dalam mengesan kotak hitam dengan menggunakan Pengesan Ping yang boleh mengesan julat bunyi yang besar” jelas Mohd Rizal.


 

Mohd Rizal turut mengambil contoh pencarian pesawat Air France yang mengambil masa lebih dua tahun, pihak pencari menggunakan tiga Pengesan Ping yang bergerak secara berkumpulan dalam mengesan rangka dan kotak hitam pesawat.

Namun begitu menurut Mohd Rizal, penggunaan Pengesan Ping punya kebaikan dan keburukannya yang perlu diberi perhatian oleh pihak SAR.

“Baiknya ialah,  ianya tidak terikat dengan kapal induk dan jika cuaca berubah ia masih boleh meneruskan pencarian, buruknya jika ia terdedah kepada arus yang kuat dari dasar laut dan memungkinkan Pengesan Ping akan hilang dan tidak dapat dikesan lagi.

“Pengesan Ping yang menggunakan kabel pula kebaikannya tidak akan terkesan dengan cuaca di dasar laut namun kapal induk pula akan bermasalah jika ia berdepan dengan cuaca buruk” katanya lagi.

Tambah Mohd Rizal, sekiranya kita menggunakan maklumat objek yang dicerap satelit sebelum ini, ia perlu mengambil kira keadaan cuaca, kadar kekuatan angin dan aliran arus.

Perkara tersebut dapat menganggarkan di mana titik pesawat MH370 jatuh ke atas permukaan laut.

“Walaupun kita ada titik di mana pesawat itu jatuh, ia tak semestinya jatuh di titik tersebut kerana ada risiko di bawa air.

“Oleh sebab itu, kita boleh memanfaatkan hari-hari yang ada untuk mengesan serpihan dan kotak hitam dengan menggunakan tiga fasa” terang Mohd Rizal.

Tiga fasa tersebut adalah dengan menentukan kedudukan sumber ping kotak hitam, mendapat semula serpihan atau kotak hitam dan pmenggunakan banyak Pengesan Ping.

“Apa yang penting adalah pencarian yang optimum” kata Mohd Rizal yang turut merasakan kerjasama dari banyak negara memberi peluang menyingkatkan masa pencarian.

MH370: Keluarga penumpang berhimpun di hadapan kedutaan Malaysia di Beijing


Kawalan ketat di hadapan bangunan kedutaan Malaysia di Beijing berikutan bantahan sebahagian ahli keluarga penumpang MH370 yang sedih mendengar berita nasib pesawat.

BEIJING: Kira-Kira 200 anggota keluarga 154 penumpang warga China dalam pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370 hari ini berarak dengan membawa sepanduk di depan Kedutaan Besar Malaysia di sini bagi melahirkan kekecewaan mereka berkaitan berita tentang nasib pesawat itu yang diterima semalam.

Mereka memakai kemeja T putih yang tertera ayat 'Pray for MH370',melaungkan "pulangkan semula keluarga saya" ketika berarak ke arah kedutaan itu.

Pada mulanya, tunjuk perasaan itu berlangsung secara aman namun bertukar menjadi tidak terkawal apabila mereka dihalang memasuki premis berkenaan oleh anggota keselamatan yang berkawal di depan kedutaan berkenaan.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa data yang dikeluarkan satelit milik British iaitu Inmarsat merumuskan bahawa penerbangan pesawat Boeing 777-200ER milik MAS itu berakhir di selatan Lautan Hindi.

"Justeru itu dengan perasaan sedih dan kesal yang amat sangat, saya perlu memaklumkan anda bahawa menurut data baharu ini, penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi," katanya.

Di KUALA LUMPUR, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS Ahmad Jauhari Yahya berkata syarikat itu akan menguruskan untuk membawa anggota keluarga penumpang ke kawasan penemuan pesawat berkenaan, jika mereka ingin berbuat demikian, selepas menerima kebenaran daripada pihak berkuasa yang melakukan siasatan.

Beliau berkata MAS akan terus membantu keluarga terbabit dengan program khidmat sokongan komprehensif menerusi sekumpulan 700 petugas yang dedikasi dengan dua orang bagi setiap keluarga penumpang dan anak kapal MH370.

"Ketika ini kami menyediakan khidmat sokongan kepada lebih 900 orang di bawah program ini dan sejak 72 jam lepas, kami telahpun melatih 40 petugas tambahan bagi memastikan keluarga terbabit mempunyai akses kepada khidmat sokongan 24 jam sehari," katanya.

MAS telahpun menyediakan bantuan kewangan permulaan sebanyak US$5,000 bagi setiap penumpang kepada waris terdekat dan sedia menawarkan bantuan tambahan jika pencarian diteruskan

MH370: Malaysia hargai sokongan serantau - Najib

KUALA LUMPUR: Malaysia menghargai sokongan negara serantau dalam misi mencari pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang sejak 8 Mac.

"Malaysia menghargai sokongan sahabat serantau," kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Twitter beliau hari ini.

Najib turut berkongsi tweet Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono yang menyebut: "Kepada bangsa Malaysia dan Perdana Menteri @najibrazak, kami juga menyampaikan dukacita atas tragedi ini."

Di laman blognya pula, Najib turut memaparkan ringkasan dan sorotan bergambar mengenai penglibatan beliau sepanjang usaha mengesan pesawat malang itu.

Dalam sidang media semalam, Perdana Menteri mengumumkan penerbangan pesawat MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi.

Pesawat MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam 8 Mac menuju Beijing, hilang daripada skrin radar sejam kemudian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan