m

MH370: Pencarian serpihan, rangka dan objek ambil masa

KUALA LUMPUR: Selepas nasib pesawat MH370 milik Malaysia Airlines (MAS) diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin, usaha mencari kini tertumpu di bahagian selatan Lautan Hindi.

"Apa yang kita perlu lakukan pada minggu dan bulan akan datang ialah mencari segala serpihan, rangka serta objek-objek berkaitan pesawat MH370 supaya boleh kita mengesahkan tanpa ragu-ragu bahawa MH370 telah hilang di selatan Lautan Hindi," katanya.

Perdana Menteri mengumumkan bahawa penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi pada Ahad.

Ketika membentangkan usul khas di Dewan Rakyat pada Isnin, Najib merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga, rakan dan kenalan 227 penumpang serta 12 anak kapal penerbangan MH370.

Najib berkata walaupun jawapan berhubung misteri kehilangan pesawat itu hanya boleh dirungkai oleh rakaman perbualan kokpit dalam kotak hitam, siasatan terperinci perlu dilakukan secara profesional disertai dengan komitmen.

Susulan analisis data terbaharu, operasi mencari dan menyelamat di koridor utara dan bahagian utara koridor selatan dekat Indonesia, dihentikan.

Koridor utara menjangkau dari sempadan Kazakhstan dan Turkmenistan ke utara Thailand sementara koridor selatan, meliputi dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi.

Pihak berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA), dalam kenyataan hari Selasa, menyebut usaha pencarian MH370 di Lautan Hindi ditangguh berikutan cuaca buruk dan laut bergelora.

Kenyataan itu menyebut kawasan berkenaan dijangka mengalami ombak setinggi 2 meter dan boleh mencecah empat meter selain diramal mengalami tiupan angin kencang sehingga 80 kilometer sejam beserta hujan lebat dan awan rendah dengan ketinggian antara 60 dan 150 meter.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines (MAS) Ahmad Jauhari Yahya pula berkata MAS memberi bantuan awal kewangan US$5,000 kepada anggota keluarga terdekat setiap penumpang MH370. Beliau juga berkata sejak penerbangan MH370 hilang pada 8 Mac, syarikat itu memfokus kepada keselesaan dan khidmat sokongan untuk anggota keluarga penumpang selain menyokong usaha pencarian.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis tidak akan mengumumkan hasil siasatan terhadap penumpang dan anak kapal pesawat Boeing 777 itu kerana ia akan menjejaskan siasatan ketika ini.

Beliau bagaimanapun berkata siasatan yang menjurus kepada empat elemen iaitu rampasan, sabotaj, masalah mental dan masalah peribadi, tidak berubah.

Kenapa tragedi MH370 jauh lebih rumit dari Tanjung Kupang?

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Hamzah Abdul Majid mengakui bahawa insiden kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 lebih rumit berbanding dengan tragedi MH653 milik MAS yang terhempas di Tanjung Kupang.

Mengimbas kembali insiden 4 Disember 1977 itu, Hamzah berkata antara tugas DCA ketika itu adalah untuk membuat siasatan dan membuat analisa supaya ia tidak berlaku lagi. Namun, situasi berbeza dengan insiden MH370 setelah misi SAR masuk ke-18 pada Selasa. Tanpa bangkai pesawat, rumusan tidak dapat dibuat.


 
"Peristiwa MH370 jauh kebih rumit berbanding peristiwa di Tanjung Kupang. Di Tanjung Kupang kita tahu di mana kapal terbang itu terhempas. Tetapi MH370 kita tidak tahu ia di mana,” katanya

 

Tambah beliau, ketika kejadian di Tanjung Kupang, DCA terus menubuhkan pasukan siasatan, mengawal kawasan dimana pesawat terhempas dan menyelamantkan kotak hitam

“Tugas untuk mencari dan mengeluarkan kotak hitam itu adalah tugas DCA. Sebaik sahaja kita dapat keluarkan kotak hitam itu, kita terus hantar ia ke Amerika Syarikat,” kata beliau.


 

Walaupun tragedi MH653 dan MH370 akan mencatat memori pahit dalam industri penerbangan namun Hamzah berkata pengangkutan udara adalah paling selamat dan MAS adalah salah satu syarikat yang dihormati.
.
Katanya, apa yang dipelajari dari insiden MH653 adalah bukan kesalahan teknikal tetapi berkaitan tentang keselamatan di lapangan terbang.

"Kita harus memperketatkan keselamatan di lapangan terbang. Bermula dari insiden itu, kita telah memperkenalkan beberapa langkah keselamatan," kata Hamzah



Kami rindukan ayah, kata anak Wan Swaid Wan Ismail
KUALA LUMPUR: “Kami rindukan ayah,”

Itu antara luahan anak kepada Wan Swaid Wan Ismail, pramugara kanan kepada pesawat MH370 yang masih mengharapkan kepulangan ayahnya.

Anak sulungnya Wan Amirul Haziq, 12, merindui saat mereka tiga beradik bersama Wan Swaid.

“Daddy pendiam. Tak banyak cakap. Dia tak suka marah-marah,” ujar Amirul ketika ditanya tentang ayahnya.

Sebagai anak sulung daripada tiga beradik, keutamaan Haziq selepas ini adalah sentiasa menyokong ibunya.

Ahli  keluarga Wan Swaid yang lain terutama isterinya bagaimanapun pasrah dengan ketentuan Illahi.

Nur Laila Ngah yang juga merupakan bekas pramugari Penerangan Malaysia (MAS) redha dengan apa yang berlaku.

“Orang yang pendiam kalau tak kenal tapi memang baik hati. Penyayang. Sebagai sahabat kepada saya jugak, dunia akhirat saya bersama dia dan dia bersama saya, “ luah Laila.

Tambahnya, sekiranya keluarga mereka akan dibawa ke Perth, Australia kelak, anak-anak akan menjadi keutamaan untuk ke sana.

Majlis bacaan Yassin di rumah Wan Swaid Wan Ismail yang diadakan pada Selasa dihadiri kaum keluarga dan rakan terdekat sejak berita mengenai nasib pesawat itu disahkan berakhir di tengah Lautan Hindi pada Ahad.

Suasana hiba, pilu dan sedih menyelubungi majlis tersebut yang akan diadakan tiga hari berturut-turut sehingga Khamis ini di rumahnya di Sepang.

Wan Swaid merupakan anak bongsu dari sepuluh adik beradik yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan.

Wan Swaid Wan Ismail yang merupakan bapa kepada tiga orang anak berkhidmat dengan MAS sejak 1995 dan bertugas sebagai pramugara kanan di dalam pesawat MH370 yang hilang ketika dalam perjalanan ke Beijing sejak 8 Mac lalu.

MH370: "Anak kami masih selamat" - Ibu bapa Firman Siregar

JAKARTA: Ahli keluarga salah seorang penumpang MH370, Firman Siregar, masih percaya anaknya berada di dalam keadaan yang selamat dan bukan di Lautan Hindi.

Menurut laporan portal tempo.co, Krisman Siregar dan Herlina Panjaitan, ibu dan bapa kepada Firman Siregar mengaku sedih setelah menerima khabar melalui panggilan dan sistem pesanan ringkas (SMS) daripada pihak Malaysia Airlines (MAS) yang menyatakan bahawa pesawat tersebut hilang dan berakhir di Lautan Hindi.

Walau bagaimanapun, mereka berkata bahawa mereka tidak yakin dengan berita itu.

"Setelah tiga minggu menunggu dan berharap, kami hanya mendapat khabar yang menyedihkan ini. Tetapi kami masih tidak percaya dengan laporan Malaysia Airlines dan pernyataan Perdana Menteri Malaysia itu," kata Krisman.

Mereka percaya dan berharap bahawa selagi bangkai pesawat masih belum ditemui di selatan Lautan Hindi, anak mereka masih hidup dan selamat.

"Kami tidak yakin Firman hilang di Lautan Hindi. Kami menganggap Firman masih selamat dan kini berada di China," tambah Krisman.

Krisman dan Herlina menolak tawaran untuk diterbangkan ke Australia namun mereka masih menunggu laporan rasmi dan bukti kehilangan pesawat tersebut di Lautan Hindi.

Pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing dilaporkan hilang dari radar pada 8 Mac 2014 lalu.

Pada Isnin lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengesahkan pesawat tersebut berakhir di selatan Lautan Hindi.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan