Biasanya apabila masuk trimester kedua kehamilan, bakal ibu semakin biasa dengan perubahan diri. Rasa tidak selesa semakin berkurangan. Ketika ini kebanyakan wanita hamil lebih bersemangat untuk menempuh tempoh kehamilan yang pasti menyeronokkan.
 
Trimester kedua bermula pada minggu ke-14 hingga 27 kehamilan. Ketika ini keluhan dan rasa tidak selesa akibat perubahan hormon tidak lagi kedengaran dari mulut bakal ibu. Ibu lebih memberi tumpuan terhadap penjagaan kesihatan diri dan bayi dalam kandungan.
 
Masuk trimester kedua, pergerakan bayi dalam kandungan semakin dirasakan. Inilah waktunya proses pengembangan tubuh yang sebenar terjadi. Semuanya semakin membesar dan melebar. Saiz perut makin membesar, pinggang ibu mula melebar dan ibu juga semakin kerap berpeluh.
 
Tanda-tanda regangan di perut mungkin semakin kelihatan jelas bagi sesetengah bakal ibu. Ada ibu hamil yang mengalami perubahan warna kulit menjadi agak coklat keperangan berbanding ketika tidak hamil.
 
Kekerapan membuang air kecil turut bertambah akibat tekanan uterus terhadap pundi kencing. Ibu perlu berhati-hati kerana keadaan ini mendedahkan pada risiko berkemungkinan mendapat jangkitan kuman.
 
Walaubagaimanapun, masih ada saat menyeronokkan yang mesti dinikmati oleh ibu hamil. Kini, rasa loya atau morning sickness sudah semakin berkurangan dan menghilang sedikit demi sedikit. Maka, ibu dapat menikmati saat kehamilan dengan lebih selesa.
 
Dalam trimester kedua juga, pengaliran darah ke seluruh badan ibu semakin baik. Bayi dalam kandungan juga semakin kuat dan stabil. Secara umumnya, trimester kedua merupakan saat ibu hamil menikmati fasa kehamilan dengan selesa, dan mendapatkan rehat secukupnya selepas menempuh trimester pertama yang kurang selesa dan sebelum masuk trimester ketiga yang mungkin meletihkan.