m

Maya lasak sejak kecil

 

ZAMAN kanak-kanak Maya Karin sarat dengan pelbagai aktiviti lasak. Tidak pernah sekali pun masanya dihabiskan dengan berdiam diri di rumah.

Sementelah pekerjaan bapa, Gottfried Roelcke sebagai ahli geologi dan perancang pembandaran menarik perhatian anak kelahiran Jerman untuk sama-sama menyertai aktivitinya.

Kerap mendapat sokongan padu daripada bapa untuk sama-sama melakukan aktiviti lasak juga secara tidak langsung menjadikan Maya tidak kenal erti takut. Malah kata Maya,dia pernah berjalan lebih satu kilometer usai mendapat 'kaki' pada usia setahun selain 'dicampak' ke kolam sewaktu berusia dua tahun untuk belajar berenang.

"Memanjat, berlari dan mendaki adalah kehidupan pada zaman kanak-kanak saya. Memang tak pernah kenal erti sakit walaupun tercedera.

"Kepala saya ini sudah dua kali berjahit. Begitu juga dengan parut di seluruh badan. Setiap satu 'cop' itu ada kenangan tersendiri," katanya mengulas zaman kanak-kanak sewaktu berada di Jerman.

Sikap lasak Maya semakin menjadi-jadi selepas keluarganya berpindah ke Indonesia sewaktu berusia dua tahun setengah.

Kata Maya, dia juga tidak dapat melupakan satu kejadian cemas sewaktu berusia 11 tahun sewaktu mendaki bukit batu di kawasan pergunungan air terjun di Padang.
Kata Maya, dia tidak menyangka boleh terjatuh gara-gara tergelincir kerana terpijak batu yang licin.

Menyangka dia cedera di bahagian belakang tubuh memandangkan tidak memakai sebarang alat keselamatan bagaimanapun kata Maya, jangkaannya meleset.

Hanya bahagian lutut sahaja yang parah dan dia hanya menyedari keadaan itu selepas melihat darah mengalir keluar tanpa henti.

"Saya tidak menangis apabila jatuh malah biarpun kaki saya berlumuran darah sebab lutut terluka, saya bangga.

"Sempat lagi cakap dengan Papa, 'Papa tengoklah apa dah jadi' dengan muka bangga. Dia panik tapi saya rasa sangat 'macho' masa itu," ceritanya.

Maya menetap selama lima tahun di Padang sebelum menikmati usia remaja di Bandung selama 10 tahun.

Kejutan budaya

Sebenarnya kata Maya, dia tidak mengalami sebarang kejutan budaya sewaktu tinggal di Indonesia kerana dikelilingi komuniti masyarakat yang sama di situ.

Malah dia bertuah kerana menerima silibus pendidikan yang sama seperti kanak-kanak di Jerman sewaktu di zaman sekolah rendah di Indonesia.

Berkawan dengan 15 orang kanak-kanak di dalam satu kelas dengan seorang guru khas yang 'diterbangkan' dari Jerman kata Maya, dia dapat menyesuaikan diri dengan keadaan itu.

"Ibu bapa kami bersepakat untuk menubuhkan sebuah kelas khas untuk anak-anak Jerman berusia empat hingga 10 tahun. Tak mungkin kami pergi ke sekolah rakyat.

"Ini kerana ada banyak benda yang membuatkan kami ketinggalan kalau bersekolah di sana. Soal bahasa, budaya dan tarafnya menjadi perkara utama yang dititikberatkan.

"Jadi apabila keluarga berpindah ke Bandung, saya ke Sekolah Antarabangsa Bandung. Di situ baharulah saya belajar dalam bahasa Inggeris dan bergaul dengan warganegara lain," katanya.

Bagaimanapun kata Maya, dia hanya belajar tentang aspek kepelbagaian komuniti sewaktu keluarganya berpindah ke Kuala Lumpur pada 1997.

Mengakui mengalami kejutan budaya sewaktu mengikuti pelajaran di Kolej Sunway, Petaling

Jaya, Selangor, baginya, kehidupan di negara ini merupakan permulaan kekeliruan dirinya.

Sering dijadikan bahan jenaka di kalangan rakan-rakan kata Maya, dia juga mempelajari pelbagai perkara baru terutama dalam bab pertuturan harian.

Memandangkan ada banyak perkataan baharu yang perlu dipelajari kata Maya, dia juga pernah menyebut perkataan yang mempunyai makna berlainan daripada maksud asal.

"Kalau di Indonesia perkataan 'gampang' itu bermaksud mudah tetapi di sini, saya hampir ditampar sebab menggunakan ayat itu. Bayangkan anak dara bercakap ayat tak senonoh.

"Begitu juga dengan nama makanan di Malaysia, ada banyak menu yang kelakar seperti Neslo dan dimsum. Semuanya kena hafal," katanya yang pernah menyambung pelajaran di Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing pada 1998.
 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan