Pada 12 April 1961 warga seluruh dunia buat pertama kali
mendengar pertuturan manusia dari angkasa lepas dan tuturan itu dalam bahasa
Rusia. Sejak itu lebih daripada 100 orang Rusia bercakap dari angkasa lepas.
Sudah 46 tahun terdengar bahasa Rusia di orbit pesawat angkasa lepas Rusia
ataupun di stesen angkasa lepas. Maklumlah penerbangan Yuri Gagarin dan
pelancaran sputnik-sputnik (satelit buatan) membuatkan minat besar terhadap
bahasa Rusia.
Ketua
Agensi Angkasa Persekutuan Rusia, Anatoli Perminov pernah berkata, "Dua
abad terakhir bahasa Rusia dianggap sebagai bahasa sastera serta ramai penulis
Rusia memenangi Hadiah Nobel, tetapi pada pertengahan abad yang lepas perkataan
"poekhali" ("jom berlepas") yang dilafazkan oleh angkasawan
pertama Yuri Gagarin mengubah situasi secara radikal. Realiti hari ini ialah di
dunia kita sejajar dengan bahasa Inggeris sebagai bahasa bisnes serta bahasa
Perancis sebagai bahasa diplomasi, bahasa Rusia digelar sebagai bahasa angkasa
lepas".
Situasi
itu diharap akan berkekalan. Hari ini semua yang menyertai program angkasa
lepas antarabangsa mesti mempelajari bahasa Rusia. Angkasawan Rusia Alexey
Leonov yang legenda itu (beliau bergelar Wira Rusia dua kali dan yang pertama
keluar dari kapal angkasa lepas pada tahun 1965) yakin bahawa "pengetahuan
bahasa menentukan 30 peratus daripada kejayaan."
Penggunaan
bahasa Rusia di samping bahasa Inggeris serta unsur-unsur bahasa yang dipakai
oleh angkasawan dari negara lain akan menjadi cara komunikasi yang menjamin
keserasian dalam kalangan kru stesen angkasa lepas antarabangsa untuk jangka
masa panjang.
Menurut
angkasawan Rusia Pavel Vinogradov; "Itu merupakan sesuatu yang unik dan
salah satu ciri khas program angkasa lepas di stesen antarabangsa. Kita mula
berintegrasi bukan sahaja dalam bidang teknik tetapi di peringkat bahasa.
Angkasawan
asing harus tahu bahasa Rusia kerana beberapa sebab. Misalnya cukup dikatakan
bahawa semua papan nama, tanda dan instruksi yang ada pada pesawat angkasa
lepas dalam bahasa Rusia. Pergaulan semasa latihan dan rehat juga dipermudah
apabila peserta program mempelajari bahasa Rusia.
Tambahan
pula peluang membaca bahan-bahan tentang angkasa lepas yang diterbitkan di
Rusia termasuk jurnal Novosti Kosmonavtiki (Ilmu Angkasa Lepas). Dalam jurnal
itu boleh ditemui jawapan untuk banyak persoalan penting. Selain daripada itu
ia menceritakan tentang peristiwa utama tentang penerokaan angkasa lepas,
pelbagai aspek latihan dan kegiatan para angkasawan, aspek psikologi profesion
angkasawan.
Ketua
Jabatan Pusat Latihan Angkasawan, Kharlamov menyimpulkan, "Keselamatan
para angkasawan banyak tergantung kepada penguasaan bahasa Rusia. Semakin
mendalam pengetahuan bahasa, semakin selamat penerbangan". Meskipun hampir
semua angkasawan di stesen antarabangsa tahu bahasa Inggeris tetapi semua
arahan dari Bumi akan diberikan dalam bahasa Rusia.
Para
angkasawan asing mempelajari bahasa Rusia dengan menggunakan buku teks khas
yang disusun di Universiti Persahabatan Rakyat Rusia (Rossiysky Universitet
Druzhbi Narodov) yang digunakan untuk pertama kali bersempena dengan program
penerbangan angkasa lepas
"Soyuz-Apollo"
(1975). Sampai sekarang, para pensyarah universiti itulah dijemput untuk
memberi pelajaran bahasa Rusia kepada para angkasawan asing.
Angkasawan
Rusia Sergey Avdeyev secara bergurau mengatakan bagaimana beliau menilai
penguasaan bahasa Rusia angkasawan asing.
"Jikalau
seorang angkasawan asing dalam sauna selepas latihan fizikal menceritakan dalam
bahasa Rusia sebuah lelucon yang saya belum pernah dengar maka saya memberi
kepadanya markah "A" dan berpendapat bahawa kita takkan ada apa-apa
masalah dalam pergaulan di angkasa lepas".
Di pusat
pelancaran di Baikonur, sudah menjadi tradisi menjelang pelancaran ke angkasa
lepas, para angkasawan akan berkumpul dan menonton bersama sebuah filem Rusia,
Matahari Putih di Gurun. Filem itu ditayangkan dalam bahasa Rusia. Tradisi
menonton filem itu wujud sejak lebih daripada 30 tahun. Filem Matahari Putih di
Gurun merupakan semacam buku teks bahasa Rusia untuk para angkasawan dari
seluruh pelosok dunia.
Dua
angkasawan Malaysia Dr. Sheikh Muszaphar Shukor dan Dr. Faiz Khaleed juga
belajar bahasa Rusia. Dr. Sheikh Muszaphar Shukor dalam satu wawancara pernah
berkata bahawa selain pelajaran rasmi, beliau biasa di hujung minggu
menghabiskan masa dengan angkasawan Rusia memperbaiki bahasa Rusia. Menurutnya,
"kebanyakan orang di sini sangat peramah terutama bila kita dapat
menguasai bahasa mereka".
Beliau
juga mengagumi budaya Rusia: "Rusia kaya dengan budaya, tradisi dan
sejarah dan saya suka membaca mengenainya dalam buku dan juga melawat muzium
dan pameran seni. Saya betul-betul seronok belajar mengenali Rusia - bagi saya
ia sangat unik dan eksotik! Senireka bangunannya bermula dari sekitar 1700-an
lagi dan ia mengagumkan. Saya memang meminati seni dan senireka sama ada moden
atau lama".
Meskipun
sukar, mereka dikira berjaya menguasai bahasa Rusia dengan memuaskan. Seperti
diberitahu oleh akhbar Rusia Rossiyskaya Gazeta pada 11 Oktober 2007, Dr.
Sheikh
Muszaphar
Shukor membaca panduan yang menerangkan bagaimana untuk mengenal pasti waktu
solat, dan masalah yang melibatkan hal berpuasa dalam buku bertajuk
Perlaksanaan
Ibadah di
Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) dalam bahasa Rusia. Bukti nyata lain
penguasaan bahasa Rusia oleh mereka ialah selepas menamatkan latihan sebagai
angkasawan dan dinyatakan bersedia melaksanakan misi ke angkasa lepas pada
bila-bila masa, mereka menyampaikan ucapan kepada Jawatankuasa Pemilihan
Angkasawan Agensi Angkasa Rusia dalam bahasa Rusia. Menjelang majlis
pentauliahan secara rasmi sebagai angkasawan oleh kerajaan Rusia pada 8 November
2007 Sheikh Muszaphar menyatakan:
"Pada
majlis itu juga saya akan berucap dalam bahasa Rusia sebagai satu tanda
penghargaan terhadap kerjasama dan sokongan daripada kerajaan Rusia sepanjang
program itu berlangsung".
Pengalaman
kedua-dua angkasawan Malaysia menunjukkan bahawa sekiranya ada motivasi kuat,
maka pembelajaran bahasa selalunya boleh berjaya. Dan mereka memberi teladan
baik kepada para pelajar saya yang memilih bahasa Rusia sebagai salah satu mata
pelajaran pilihan di Universiti Malaya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan