m

Kapitan pesawat amdan negara



MATANYA indah sekali. Bundar, jernih, cerlang yang menenangkan mata yang memandang. Iris matanya lentik, secantik puteri dalam hikayat dahulu kala. Maka, dinamakannya Puteri Dara Segangga yang ditimang sebagai Puteri Dara. Kekandanya, Raja Gangga Syah Johan diangkat memerintah negara di utara Semenanjung Emas.

Puteri Dara sedar dia hanya puteri polos yang dipingit adat namun dia gemar sekali mendengar neka cerita tentang dunia luar yang amat mengujakan. Kekandanya, percaya bahawa mamanda Perdana Menteri yang sedarah sedaging dengannya mampu melindungi kehormatan Puteri Dara. Mamanda bercerita bahawa Raja Suran yang berkerajaan di negeri Amdan Negara, di Benua Hindi itu terlalu besar kerajaannya. Bala tenteranya kuat -terdiri daripada lasykar upahan dari Siam.

"Ada pun segala raja dari masyrik hingga ke maghrib, dibawah takluk Raja Suran melainkan Negeri China. Dengan rakyat dan kelengkapan perang yang tidak terpermanai banyaknya, baginda pun berangkat menuju ke Negeri China."

"Luaskan kuasamu," bisik Puteri Dara yang teruja saat mendengar bahawa Raja Suran akan melewati Gangga Negara. Dia berharap untuk bertemu mata dengan kapitan muda dari Amdan Negara itu. Dia pernah dengar seorang Benggali Putih menyebut tuannya sebagai kapten atau kapitan Tentu kapitan negara besar itu kagum akan kecantikan Gangga Negara yang terjunjung di rabung bukit. Kalau dipandang dari hadapan, terlalu tinggi Kota Gangga Negara tetapi rendah dari belakang. Kotanya ke darat dari Dinding -ke hulu Sungai Perak.

Selang dua pekan, mamanda datang dengan wajah suram. "Lasykar kita berperang. Tiada sangka bunyinya lagi." Puteri Dara rasa terpanggang. Tidak dia sangka bahawa kapitan pujaan mahu musnahkan negaranya.

Dari menara Kota Gangga Negara, Puteri Dara menyaksikan kekandanya Raja Gangga, berperang habis-habisan mempertahankan ibu kota. Dialah kapitan perang negara. Raja Suran melanggar kota hingga roboh. Kekandanya memanah. Kena gumba gajah Raja Suran; lalu rebah. Raja Suran melompat, menghunus pedang lantas segera memarang leher Raja Gangga.

Putus kepala kekandanya lantas terpelanting ke tanah. Puteri Dara menutup mata lalu meraung-raung menangisi kemangkatan saudara sedarah. Tiga hari kemudian, Raja Suran mengahwininya dalam duka. Mas kahwinnya ‘serba berdiri’; termasuk seutas rantai emas yang mengikatnya dengan lafaz ijab dan kabul. Air matanya gugur bak mutiara terlepas daripada karangan.

Pada hari keempat, Puteri Dara ditandu ke selatan Semenanjung Emas, ke negeri Langgiu. Ketika menyuapkan bubur ke mulutnya, Inang bercerita bahawa dalam bahasa Siam, Langgiu bermakna perbendaharaan permata. Puteri diam, mengunyah bubur yang jatuh ke parutnya yang berkeriut melagukan nyanyi duka.

Lapitan

Berhari-hari dia ditandu. "Pangkali!" seru lasykar Siam upahan Raja Suran.

Inang berbisik. "Sudah sampai." Puteri turun dari tandu dipimpin Inang.
Memang Puteri Dara akui Langgiu negeri besar. Kotanya daripada batu hitam. "Di hulu Sungai Johor inilah letaknya bandar kota yang diperintah Raja Chulan yang memerintah segala raja di bawah angin." Kata inang, itulah Pangkali atau dalam lidah Melayunya disebut Penggeli.
Esok paginya, Puteri Dara terkejut. Bunyi pekik sorak terlalu azmat bunyinya.
Puteri Dara melihat kegagahan suaminya menjadi kapitan kepada tentera bergajah, berkuda, berpanah, berlembing dan berpedang. Perjalanan diteruskan.

Maka, pecahlah perang di Langgiu. Puteri Dara dukacita, ditemani Inang kira-kira dua rantai jauhnya dari medan perang. Batu jemalanya gering dek gegak-gempita dek tempik-sorak orang berperang. Bangkit berterbanganlah lebu duli ke udara. Siang menjadi malam seperti gerhana matahari. Banyak lasykar yang luka dan mati hingga darah mengalir seperti air sebak. Sebak? Memang dia sebak menyaksikan kematian. Sesungguhnya kematian tidak pernah menghiburkan bahkan menjadi momok yang menghantui manusia yang berpegang kepada kemanusiaan.

Puteri Dara melihat dari jauh, Raja Chulan yang menampilkan gajahnya, merempuh ke dalam rakyat Raja Suran yang tidak terpermanai banyaknya. Mayat gugur bertimbun-timbun. Raja Suran naik gajah delapan hasta tingginya. Gajah sama gajah pun bertempur. Bunyi kedua-dua gading gajah seperti bunyi petir. Raja Chulan berdiri di atas gajah menimang-nimang lembing lalu menikam Raja Suran. Kena pada baluhan gajah. Raja Suran melepaskan busur. Kena dada Raja Chulan hingga tembus ke belakang tubuh baginda - terjatuh dari gajah lalu mangkat. Melihat kapitan perangnya mangkat, rakyat Langgiu lari. Lasykar Hindi mengejar; habis musuh dibunuhnya.

"Lasykar Hindi masuk ke Kota Langgiu," Puteri Dara ricau dengan perkhabaran itu. Harta-harta orang dirampas. Anak Raja Chulan dipersembahkan kepada suaminya. Mahu tidak mahu, Puteri Dara bermadu dengan Tuan Puteri Onang Kiu. Perjalanan diteruskan dari negeri selatan menuju ke selatan lagi.

Dalam rimpuh, Puteri Dara tiba di Temasik. "Tuanku, ada sebuah sampan pilau besar mendarat di tebing sungai. Orang ramai pelik kerana ada pohon kesmak atau pisang kaki dan pohon buah-buahan di atas pilau. Kapitan pilau tua sekali."

Inang mencuit lengan Puteri Dara. "Pelayar tua-tua. Masa tersengih, terserlah gusi yang rompong, tanpa gigi memagar mulut." Hatinya tercuit.
Rakyat mendatang sembah kepada Raja Suran.

"Tanyakan berapa jauh benua China dari sini." Titah baginda dijunjung. Puteri Dara mengikut mamanda Wazir mencari jawapan daripada kapitan pilau besar.

"Tatkala kami keluar dari benua China, kami muda-muda belaka. Baru 12 tahun. Pohon-pohon ini kami tanam bijinya. Dalam perjalanan ke Temasik, ia berbuah." Kapitan bermata sepet berbaju kelabu bersuara dengan cakapannya yang halus melengking. Rambutnya panjang bertocang, melempai di belakang bajunya.

Pelayar renta berbaju putih mencapai jarum kecil yang berkarat. "Besi ini asalnya seperti lengan besarnya. Demikian peri lamanya kami di jalan."

Jawapan pelayar pilau dibayankan ke istana. Mendengarkan itu, suaminya membatalkan hasrat ke China lalu berangkat pulang ke benua Hindi. Sejak itu Puteri Dara lihat suaminya sering melengung panjang. Puteri Dara tahu ada yang bergulat dalam fikiran Raja Suran. Hasrat kapitan Amdan Negara yang tersembunyi.

Pagi itu sesudah santap, baginda bertitah. "Segala isi darat sudah beta ketahui. Segala isi laut, bagaimana gerangan rupanya?" Baginda memerintahkan agar mamanda Wazir menghimpunkan segala pandai tukang dan utus.

Di hadapan rakyat, baginda bertitah. "Buatkan beta sebuah pesawat."

Demikian itu, segala pandai tukang dan utus bermuafakat membina peti kaca yang berkunci dan berpesawat dari dalam yang disambung dengan rantai emas. Pandai tukang dan utus menyusun atur pesawat agar dapat mengutus isyarat. Pesawat dilengkapi bunyi ping sebagai tanda berjabat tangan di antara dunia darat dengan dunia laut. Baginda terlalu sukacita.

Sesudah dipakaikan persalinan kuning emas, baginda diarak ke tengah laut. Raja Suran pun masuk ke dalam pesawat lalu menguncinya dari dalam. Baginda sendiri menjadi kapitan pesawatnya. Para menteri memegang rantai emas lalu menghulur peti kaca ke laut.

Saat bunyi ping menjentik telinga, sanubari Puteri Dara berbaur-baur. Dia mengetap bibir menahan air mata yang hampir jatuh ke pipi. Dia berpaling ke kanan, melihat sekumpulan lelaki tertawa sambil memuji keberuntungan baginda meninggalkan daratan untuk meredah alam yang jauh. Dia mendengar esak tangis sekumpulan perempuan di kirinya yang meratapkan nasib baginda yang bakal menemui entah apa pesona dunia laut. Entahkan pulang bernyawa lagi, entahkan tidak. Rintih rakyat, bagindalah kapitan dan Amdan Negara ibarat pesawat.

Tanpa kapitan, pesawat bakal pecah terhempas. Musnahlah jua pesawat hidup rakyat jelata.
Buat pertama kali Tuan Puteri Onang Kiu memeluknya. Mereka berpegangan tangan; melambai-lambai merestui pemergian suami mereka. Selang kira-kira sebatang rokok, bunyi ping menangkap pendengaran. Rakyat bersorakan. Riuh-rendah. Menjelang tengah hari, bunyi ping kian lemah sebelum hilang terus. Ramai mula bimbang kalau-kalau pesawat berantai emas terhempas ke batu karang di Laut Hindi tetapi hari sudah petang. Tabir gelita mula menyerkap siang.

Esoknya, langkah mencari diusahakan. Segala keci, pilu, perahu, sampan, jong dan tongkang dihadirkan ke seluruh pelosok teluk, ria, fiod dan laut untuk menjejaki baginda. Masuk hari ketiga, macam-macam andaian disebarkan. Ada yang meramal pesawat baginda terhempas.

Ada yang kata ia dirampas penjahat. Ada yang berkata, pengaturcaraan pesawat rosak. Ada yang meramalkan pesawat ditelan pusaran air di lubuk Lubang Hitam. Masuk hari ke-7, para pencari buntu. Mamanda Wazir menyeru agar sekalian isi negeri berdoa dan bersolat hajat untuk diberikan petunjuk. Andang dan lampu damar dipasang di pinggir pantai.

Berita

Puteri Dara terdengar berita bahawa kapitan kapal yang ditugaskan mencipta pesawat Raja Suran hilang sehari sebelum pesawat baginda dihulur ke laut. Tidak ketahuan ke mana kapitan Zafrani pergi. Dua lelaki melaporkan mereka terlihat kelibat seakan-akan Zafrani diheret ke sebuah kapal oleh tujuh lelaki pada malam kehilangannya. Tidak Puteri Dara sangka, rupa-rupanya rakyat Amdan Negara kaya ikhtiar.

Kegiatan mencari di dua lantai pelantar laut diteruskan. Laut amat luas hingga belanja untuk menampung makan sahaja menelan berpeti-peti bahara emas. Akhirnya usaha mencari terpaksa dihentikan. "Sebijak-bijak manusia, takkan mampu menjangkau waima secebis alam Tuhan." Alim ulama menyimpulkan bicara.

Waktu berputaran. Benarlah kata orang, saat berdekatan dengan suami, Puteri Dara menyimpan dendam benci kepada suami yang memenggal kepala kekandanya. Namun sesudah berjauhan, rindu dan kasih membenih jua.

Tiga tahun berlalu. Kering tangis orang di darat. Air mata Puteri Dara jatuh ke dalam dada. Rindunya tidak tertahan kepada tuan kapitan pesawat hidupnya.

Suatu petang, datang khabar kepada Puteri Dara. Rakyat gempar melihat seekor kuda putih bersayap berlari di muka laut di Baniras. "Baginda pulang!"

Puteri Dara segera turun ke Baniras menyertai mamanda Wazir yang membawa seekor kuda betina sebagai umpan. Kuda jantan kenaikan baginda mengekori kuda betina hingga ke pantai. Baginda turun. Farasul-Bahri terbang ke laut. ‘Pesawat’ Amdan Negara kembali berkapitan. Ketika ditanya bagaimana baginda pulang, baginda menjawab, "Dengan takdir Tuhan Yang

Empunya Iradat."

Bersaksikan para menteri dan orang banyak, Raja Suran bertitah. Tiga tahun lalu, dari dalam pesawat, baginda menyaksikan kekayaan Tuhan. Pesawat jatuh ke Negeri Dika yang dihuni kaum Bu Sum yang sebahagiannya bertauhidkan Allah dan sebahagiannya kafir. Ketika menghadap Raja Aftabul-Ard, Raja Suran bertitah bahawa baginda datang dari dunia darat. "Raja Aftabul-Ard hairan, apakah ada dunia lain daripada dunia laut? Beta jawab, memang ada.

Alam ini pelbagai jenis di dalamnya."

Tersentap hati Puteri Dara kala Raja Suran bertitah bahawa baginda dikahwinkan dengan anak Raja Aktabul-Ard, bernama Tuan Puteri Mahtabul-Bahri. Puteri Dara mencuit Tuan Puteri Onang Kiu. "Kusangkakan dua, rupa-rupanya tiga." Madunya mengerling sambil mencebik bibir. Inang yang turut menjengahkan leher mengintip isi bualan, tersengih-sengih. Bahu inang terhinggut-hinggut menahan tawa.

Titah baginda, Tuan Puteri Mahtabul-Bahri melahirkan tiga putera. Baginda dukacita. Duka itu berbekas menjadi mendung masyghul. Ketika itu sekonyong-konyong muncul satu tubuh agam, terlalu besar serta dengan hitamnya. Dialah Kapitan Jin bernama Asmaghiah Peri. Baginda minta dibuatkan tiga mahkota untuk putera-putera baginda sebagai bukti bersalasilah dengan

Raja Iskandar Zulkarnain. Asmaghiah Peri ghaib sebelum muncul membawa mahkota kudrat daripada perbendaharaan Raja Sulaiman alaihi-salam. Raja Suran menghadap ayahanda mertuanya bermohon berangkat ke dunia sambil berpesan agar hantarkan tiga puteranya ke dunia sesudah besar nanti. Raja Aftabul-Ard mengurniakan seekor kuda semberani jantan bernama Farasul-Bahri yang membawa baginda keluar dari laut.

Puteri Dara tersipu-sipu saat Raja Suran mengerlingnya. Kebencian pun mangkat, cinta mekar berkembangan. "Himpunkan bala tentera. Kampungkan gajah dan kuda untuk beta kurniakan tafahus rakyat yang sakit dan kekurangan makanan."

Baginda berpaling kepada mamanda Wazir, "Perbuatkan satu tanda, bukti beta berangkat ke dunia laut. Suratkan hikayat beta ke dalam laut agar diketahui segala anak-cucu kita yang kemudian." Titah tuan kapitan Amdan Negara dijunjung.
Puteri Dara berharap agar hamba rakyat tekal menimba ilmu dari takungan laut khazanah rahsia Tuhan agar memberi manfaaat kepada negara dan agama.

Puteri Dara merenung kapitan pesawat berantai emas itu dengan rasa aneh. Dia rasa beruntung menjadi permaisuri kepada kapitan negara besar yang tersohor. Namun sebetulnya dia bersedia kalau-kalau tuan kapitan diculik, kalau-kalau pesawat hidupnya dirampas seteru yang diam-diam meneropong dari segala penjuru alam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan