m

Erat Hubungan Ayah Bersama Anak

 

Kebanyakan anak memang diketahui mempunyai hubungan rapat dengan ibu berbanding ayah. Mungkin kerana hubungan tersebut sudah semula jadi terjalin sejak dari dalam kandungan selama sembilan bulan lagi.

Hubungan terus erat ketika proses penyusuan berlaku menjadikan si kecil tidak boleh berenggang daripada ibu tersayang. Hubungan dengan ayah seolah-olah sukar hendak terjalin biarpun ayah begitu tidak sabar hendak mendakap dan menguruskan si kecil.

Kadang kala ayah seperti kecewa apabila si kecil enggan mengikut tatkala dihulurkan tangan atau menangis saat didukung. Jangan risau ayah kerana ada banyak cara ayah boleh lakukan untuk membantu usaha mengeratkan hubungan ayah dan anak.

Beri tugas malam
Berbincang dengan suami mengenai tanggungjawab menguruskan si kecil pada malam hari. Misalnya tugas menyediakan susu (jika anak sudah tidak menyusu badan) atau jika menyusu badan, ayah boleh menyediakan minuman untuk ibu atau membantu memicit bahu ibu yang mungkin lenguh dan letih. Dengan cara ini, anak dan ayah dapat menjalin hubungan emosional.

Pujuk anak menangis
Sekiranya anak menangis, mintalah bantuan suami untuk memujuknya seperti mendukung, mendodoi atau bermain dengannya untuk mengalihkan perhatian. Biarpun ibu diketahui boleh memujuk anak yang menangis tetapi tidak salah memberikan peluang kepada ayah bahkan dengan cara ini ayah dapat memperbaiki kemahirannya memujuk anak menangis.

Bergurau senda
Sesekali berilah masa antara ayah dan anak tanpa penglibatan ibu. Biarkan ayah menghabiskan masa bergembira dan bergurau senda dengan anak. Jangan terkejut, ayah mampu menjadi ‘pelawak’ yang disukai oleh si kecil. Dengan cara ini, ayah pasti akan dicari oleh anak.

Mengurut bayi
Seperti diketahui, bayi sangat suka akan sentuhan. Sentuhan dari ibu memang sudah biasa dirasakan jadi apa salahnya beri kesempatan kepada ayah pula untuk mengurut bayi. Tentu anak dapat merasakan belaian dari ayahnya pula. Secara tidak langsung ia membantu mengeratkan hubungan ayah dan anak.

Rutin bermain
Peruntukan masa khas untuk ayah dan anak bermain bersama. Jadikan aktiviti ini sebagai satu rutin yang dinantikan oleh anak. Jadi, apabila ayah pulang dari kerja, anak tahu orang yang akan melayannya bermain sudah pulang ke rumah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan