m

Tarikh Melayu

 

GOOHA kemudiannya telah digelar sebagai tikus mondok, juga kadang-kadang kucing Parsi, dan salasilah dia diberi nama buruk itu adalah kerana dia hanya berdiam diri dalam senario politik negara yang tegang, tatkala sasterawan dan pemikir-pemikir lain bertungkus-lumus bangkit melawan pemerintah yang kononnya zalim, dengan berlakunya kenaikan harga petrol, barang-barang dapur dan keperluan lain, rasuah yang bermaharajalela, projek-projek mega yang boros dan tidak bermanfaat kepada rakyat, penyelewengan wang rakyat oleh pemerintah dan pelbagai lagi kemungkaran yang berleluasa dalam negara, sedangkan tidak mengangkat pena adalah tindakan yang pengecut dan dayus untuk dirinya yang dianggap antara tokoh sasterawan yang dikagumi buah fikirannya suatu masa dahulu.

Ya, tikus mondok kerana kekenyangan, dan kucing Parsi kerana ia tidak lagi menangkap tikus.

Tetapi dia tidak pedulikan semua gelaran menghina itu, masa akan menyingkap kebenaran itu di sebelah siapa, fikirnya.

Dia pernah mengarang beratus-ratus buah syair yang tidak dapat difahami maksudnya oleh orang ramai, tetapi telah diangkat sebagai karya-karya besar oleh cendekiawan-cendekiawan negara pada masa itu. Pada hari ini apabila ditanya berkenaan syair-syair tersebut, dia menjawab: "semua syair itu palsu, dusta, pembohongan... seperti kata-kata ahli sihir yang bercampur-aduk dengan kebenaran dan kebathilan. Aku sudah menceraikan diriku daripadanya dengan talak tiga."

Dia sudah remaja pada zaman reformasi akhir 90-an dahulu di Kuala Lumpur. Pada masa itu dia turut keluar dan berhimpun di jalan raya memprotes pemecatan seorang pembesar negara.

Dia lantang membacakan syair-syair mengutuk pemerintah di perhimpunan-perhimpunan protes tersebut. Dia pernah dipukul belantan dan disembur air kimia dalam siri-siri tunjuk perasaan itu, dan dia pada akhirnya berubah fikiran dan menghindari politik kepartian sesudah terjadi suatu peristiwa.

Suatu malam, tatkala dia berjalan pulang dari merayau-rayau, kerana matanya asyik membaca bintang-bintang di langit gelap, dia telah terjatuh ke dalam lubang najis yang dalam.

Kemudian dia memilih untuk hidup bergelandangan di kota tanpa tempat tinggal. Merayau-rayau di lorong-lorong kota seperti tikus. Hidup sehelai sepinggang seperti kaum darwis. Orang mendakwa kepalanya telah gegar kerana terhantuk semasa jatuh ke dalam lubang pada malam tersebut.

Tentu sesuatu yang tidak masuk akal kepada orang ramai apabila dia yang selama ini tokoh yang dihormati tidak menyertai arus gerakan rakyat menentang pemerintah walaupun telah banyak didedahkan kemungkaran dan penyelewengan yang dilakukan pemerintah. Di mana-mana kebencian rakyat terhadap pemerintah wujud. Orang ramai membicarakannya, dari rakyat biasa hinggalah tokoh-tokoh ulama dan pemikir. Tiada siapa yang tidak akan mudah terpedaya untuk memberontak ke atas pemerintah yang korup itu. Tirani ini harus ditumbangkan. Ia telah menjadi suatu trend semasa. Dunia telah mengetahuinya dan sejarah sudah merakamkannya, maka tidak perlulah dituliskan lagi tuduhan-tuduhan itu di sini.

Apabila orang ramai menceritakan dan mencela kerosakan-kerosakan yang dilakukan pemerintah, dia hanya menunjuk kepada sebatang pokok tua yang hampir mati, pucuk-pucuknya sudah kering dan ranting-rantingnya pula sudah tidak berdaun, sambil berkata:
"Kamu hanya nampak bahagian atas, kerosakan yang di atas, sedangkan kamu tidak menyedari punca penyakit berasal pada bahagian bawah pokok tersebut, iaitu akar-akarnya."

Orang ramai kebingungan mendengar perkataannya itu.

"Akar! Akar! Akar!" katanya lagi.

Ketika diminta penjelasan, dia tidak menjawabnya. Dia lalu pergi meninggalkan orang ramai yang terus kebingungan.

"Gelap ini tidak akan hilang tanpa kehadiran cahaya. Kalian berkhayal mahukan cahaya, mahukan kecerahan, tetapi kalian tidak mahu menghidupkan api. Jika kalian menghidupkan unggun api, nescaya cahaya akan wujud secara automatik. Cahaya tidak akan wujud jika tidak dihidupkan api," ujarnya mengulas kegelapan negara.

Tatkala pemikir dan sasterawan-sasterawan lain giat menulis dan mendedahkan skandal-skandal pemerintah di alam maya, dia hanya mengeluh: "Orang bodoh pun tahu semua itu. Apa manfaatnya? Najis yang terdedah akan dikerumuni lalat, yang kemudian akan menyebarkan wabak penyakit ke mana-mana. Aku bukanlah lalat seperti mereka , yang tidak mungkin dapat menghapuskan penyakit, malah hanya menyebarkan lagi wabak penyakit. Ia akan memudaratkan kepada seluruh negara. "

Seseorang telah bertanya padanya, "Mengapa kamu mencegah rakyat daripada menjatuhkan pemerintah yang korup itu?"

Dia menjawab: "Ingatkah kalian kisah Nabi Khidir? Pada suatu malam tanpa diketahui sesiapa dia telah menolong suatu kaum yang zalim di sebuah negeri. Dia telah mengukuhkan dinding sebuah tembok yang hampir runtuh. Di balik tembok itu tersimpan harta pusaka sepasang anak yatim piatu. Kamu tidak nampak apa yang aku nampak sebagai pengajaran daripada kisah ini.

Apabila kerajaan hari ini runtuh ketika itu kamu akan menyedari hikmah pendirianku ini. Bahkan semua ini aku lakukan tanpa mendapat sebarang upah untuk menyelamatkan generasi akan datang."

Dalam suatu peristiwa lain, kerana sikapnya tidak berpihak kepada mana-mana parti politik itu, seseorang telah berdialog dengannya. Orang itu berkata: "Jika kamu tidak mahu menyebelahi pakatan pembangkang dan juga tidak menyokong pemerintah, mengapa kamu tidak berlaku adil dengan bersuara menyatakan kebenaran atau kebathilan di kedua-dua belah pihak? "

Dia berhujah: "Jika aku mendedahkan keburukan atau kebaikan pembangkang dan pemerintah, adalah lebih baik aku memilih menyertai satu pihak, tidak kira di pihak pemerintah ataupun pembangkang. Bersuara di tengah-tengah adalah lebih merosakkan. Apabila aku mendedahkan kebaikan pemerintah, aku akan dipuji penyokong pemerintah dan dikutuk penyokong pembangkang. Dan apabila aku menyatakan kebaikan pembangkang, aku akan dipuji oleh penyokong pembangkang dan dikutuk oleh penyokong kerajaan. Begitu juga terjadi jika aku membicarakan keburukan pembangkang dan kerajaan. Aku hanya akan menjadi batu api, perkataan aku memuji dan mengkritik kerajaan dan pembangkang itu hanya akan menjadi modal perbalahan dan perpecahan dalam kalangan orang ramai. Itu seperti kerja syaitan, mengadu-domba. Sekalipun kritikan atau pujian aku katakan itu benar, tetapi aku telah menyatakannya di tempat yang salah."

"Tetapi pemerintah hari ini adalah diktator yang sangat kejam, yang memekup mulut rakyat, kau harus bersuara mendedahkannya."

"Tiada siapa yang dapat mengatur pemerintahan negara dengan lebih baik jika tidak dengan tangan diktator yang berkuasa penuh. Kebebasan bersuara adalah jalan ke arah anarki.

Ingatlah, kalian adalah seperti kambing-kambing gembalaan yang harus menyedari bahawa sekalipun punggung kalian dicambuk, itu adalah lebih baik daripada terlepas ke dalam kawanan serigala."

Orang itu hanya mentertawakan kata-katanya itu kerana tidak dapat mencerna apa yang mahu dimaksudkannya.

Suatu peristiwa, ketika mendapat tahu facebook, twitter dan rangkaian-rangkaian sosial lain mulai popular dalam masyarakat, dia telah berlari ketakutan ke sana-sini sehingga pakaiannya terlucut, dan dalam keadaan bertelanjang bogel, dia melaung-laung: "Tembok Iskandar

Zulkarnain telah runtuh! Tembok Iskandar Zulkarnain telah runtuh! Tembok Iskandar Zulkarnain telah runtuh!"

Keesokan pagi setelah pada malamnya pihak pemerintah telah mengumumkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) telah dimansuhkan, dia kelihatan mundar-mandir di pasar.

Wajahnya tampak pucat lesi, seperti sesuatu yang berat telah menimpa dirinya.

"Rhuwaibidhah juga telah keluar," bisiknya.

Di tangannya ada sekarung pisau. Dia kemudian duduk mahu membahagikan pisau-pisau itu kepada orang ramai yang lalu-lalang, termasuk kanak-kanak dan remaja. Pihak penguasa telah menangkap dan kemudian mendakwa dirinya di mahkamah atas tuduhan berniat jahat membahagikan pisau kepada orang ramai setelah salah seorang yang mengambil pisau tersebut telah bergaduh dan menikam seseorang di pasar.

Di mahkamah dia telah membela dirinya sendiri dengan menyatakan: "Pisau itu boleh diguna untuk memotong sayur dan juga boleh diguna untuk mencederakan seseorang, sebaliknya terpulanglah kepada individu tersebut untuk menggunakannya bagaimana. Jadi kenapa aku yang harus dihukum?"

Pendakwa berhujah bahawa kanak-kanak dan remaja tidak mempunyai akal yang sempurna untuk menggunakannya ke arah tujuan yang betul.

Dia menjawab: "Internet juga seperti pisau, ada orang menggunakannya untuk kebaikan dan ada orang menggunakannya untuk kejahatan. Jika tindakan aku membahagikan pisau itu salah, membenarkan Internet kepada semua orang juga adalah suatu kesalahan di bawah logik yang sama."

Sebaliknya pendakwa berhujah lagi: "Internet tidak boleh membunuh sesiapa, tetapi pisau boleh membunuh."

Dengan penuh yakin dan tanpa rasa bersalah, dia menjawab: "Internet tidak boleh membunuh sesiapa secara fizikal, tetapi ia boleh menghasilkan kerosakan besar pada minda masyarakat, yang kesannya lebih memudaratkan daripada pembunuhan."

Setelah melalui hari-hari perbicaraan yang panjang dan pelik dalam sejarah moden itu, dia akhirnya telah dibebaskan kerana doktor mengesahkan dirinya menghidap sejenis kekacauan mental. Sewaktu berjalan keluar daripada mahkamah dia berkata: "Internet ini akan merosak dan menghancurkan kamu semua akhirnya, sebagaimana pisau yang kubahagi-bahagikan itu.

Dengan wujudnya Internet yang membebaskan suara kalian, kalian sebenarnya sudah mendapat sebilah pisau setiap orang. Dan nanti kalian akan berbunuhan sesama sendiri."
Kerana ucapannya itu tidak difahami maksud tersiratnya, dia akhirnya dianggap gila oleh orang ramai.

Ada sebahagian orang terus setia mengikutinya, mendengar ucapan-ucapan peliknya yang tidak dapat difahami mereka. Dia kembali ke jalanan, berkaki ayam, sambil mengulang bait-bait syair sufi lama ini: "Tidak akan tahu manisnya madu jika tidak merasakannya."

"Belahan Iraq, Tunisia, Mesir, Libya, Syria... sudah merasainya..."

Di negara Tanah Melayu ketika itu, perpecahan politik dalam kalangan bangsa Melayu seperti retak menunggu belah. Sekumpulan tokoh politik orang Melayu telah bersatu dengan tokoh politik bangsa pendatang yang disokong sembilan puluh peratus bangsa mereka untuk menjatuhkan pemerintahan asal yang diterajui peribumi Melayu.

Seperti yang diceritakan secara lisan, Gooha telah tidak kelihatan di mana-mana tempat yang biasa dia hadiri beberapa lama sebelum pilihan raya umum diadakan. Pelbagai versi tentang kehilangannya itu. Ada yang menyatakan dia telah meninggal dunia, dan ada yang menyatakan dia telah lari ke gunung, malah pelbagai lagi teori-teori lain yang tidak masuk akal; tetapi apa yang mahu diceritakan lagi di sini adalah peristiwa selepas pilihan raya umum tersebut.

Sampai hari ini tidak diketahui parti pemerintah atau parti pembangkang yang sebenarnya telah memenangi pilihan raya,kerana pelbagai khabar angin tersebar di dalam Internet berkenaan keputusan pilihan raya tersebut, tetapi hakikatnya negara telah dihancurkan oleh revolusi.

Suasana panik berlaku. Berita-berita dalam Internet telah mengawal tindakan mereka. Berlaku kekecohan besar, huru-hara dan anarki. Tokoh pembangkang menuduh semua itu makar jahat pemerintah yang kalah kerana tidak mahu menyerahkan kuasa secara aman, sebaliknya pihak kerajaan mendakwa kekacauan itu helah pembangkang yang tewas untuk merampas kuasa secara revolusi. Bangunan-bangunan telah dibakar. Ada letupan bom. Masjid, kuil dan gereja telah diserang. Negara lalu diisytiharkan darurat. Orang Melayu telah berbunuhan sesama sendiri. Tempoh darurat ini panjang sehinggalah diadakan pilihan raya baru dengan campur tangan kuasa-kuasa luar. Perlembagaan negara telah banyak diubah. Bangsa-bangsa pendatang yang bersatu telah diiktiraf haknya sama seperti peribumi Melayu.

Tokoh bangsa-bangsa pendatang itu, dibantu oleh tokoh-tokoh peribumi sendiri yang gila kuasa, telah berjaya mengeksploitasi kerosakan-kerosakan yang dilakukan oleh pemerintah supaya rakyat peribumi berpecah-belah dan memberontak ke atas pemerintah, sehingga mereka yang dibakar emosinya ini terlupa akan agenda bangsa pendatang untuk menguasai negara mereka. Rakyat peribumi telah silau pada kezaliman pemerintah, seperti kelkatu-kelkatu yang tertarik pada cahaya neon, sedangkan tindakan mereka menentang pemerintah itu akan menarik mereka ke arah kebinasaan.

Orang ramai mulai kembali teringat kepada Gooha, pengajaran daripada perumpamaan tembok yang diambilnya dalam kisah Nabi Khidir, dan sebagainya tentang dirinya.

Mereka mulai memahami bahawa kerajaan, dinding atau tembok seperti yang dibayangkan Gooha, jika telah ditumbangkan, akan terbukalah jalan kepada kuasa-kuasa luar untuk menguasai negara ini. Rakyat, seperti sepasang anak yatim piatu dan harta pusaka dalam kisah itu, akan dijarah negara yang mereka warisi daripada generasi ke satu generasi, apabila pemerintah yang asal dijatuhkan. Mereka mulai memikirkan bahawa mereka sebenarnya seperti anak yatim piatu kerana tidak mempunyai pemimpin yang hak, dan bagaimana tembok itu seharusnya runtuh selepas sepasang anak yatim itu dewasa, sebagaimana rakyat negara ini harus membetulkan dan menguatkan diri mereka sebelum pemerintahan yang didakwa zalim itu akan lenyap sendiri; kerana daripada rakyat yang adil, automatik akan bangkitlah satu pemerintahan yang adil seperti perumpamaan pada sebatang pokok.

Mereka termangu memikirkan semua ini, bagaimana mereka dengan begitu bodoh telah terpengaruh dengan hasutan pembangkang untuk menjatuhkan pemerintah, sedangkan mereka sebenarnya telah dieksploitasi dan diperdaya sehingga tercampak ke dalam situasi yang lebih buruk. Keadaan mereka dan negara tidaklah lebih baik selepas itu. Bagaimana ramai tokoh yang dianggap sebagai hero penyelamat, pejuang, dan wira rakyat, walhal kumpulan inilah yang telah merosakkan lagi negara dengan tindakan bodoh mereka, bagaimana internet telah menolong meruntuhkan lagi negara ini, dan bagaimana kebebasan bersuara adalah suatu ilusi yang telah memusnahkan negara ini, telah dapat mereka fahami.

Huru-hara dan anarki dalam negara terus berlarutan tanpa ada tanda-tanda ia akan segera berakhir walaupun pemerintahan baru telah didirikan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan