m

Mencari ketenangan di Kampungstay


 
Kampungstay menawarkan penginapan calet yang dibina di kaki bukit kapur di Kampung Ujung Bukit, Kangar, Perlis

MENCARI tempat penginapan bukannya suatu masalah bagi pelancong atau pengembara yang menjejakkan kaki di negara kita. Ini kerana terdapat pelbagai jenis kediaman seperti hotel, calet dan resort disediakan untuk mereka. Tidak kira bertaraf lima bintang atau berstatus bajet, kediaman yang ditawarkan mengambil kira kesesuaian dan kemampuan seseorang, sama ada di tengah bandar atau di pinggir desa yang lebih berbentuk penginapan inap desa (homestay).

Bagaimanapun, bagi mendapatkan suasana kampung yang sebenar, inap desa atau calet kini menjadi pilihan, apatah lagi menerusi tawaran pakej tertentu dengan harga yang cukup berpatutan. Begitu juga dengan calet Kampungstay di Ujung Bukit, Kangar, Perlis. Ia bukan sahaja menyediakan pelbagai keistimewaan kepada pengunjung, malah mempunyai keunikan tersendiri.


Apa yang menarik di Kampungstay Ujung Bukit adalah sebanyak 20 buah calet di bawah penyeliaan Persatuan Pengusaha Homestay dan Inap Desa Kampung Ujung Bukit dibina di kaki bukit batu kapur, sekali gus menjanjikan percutian luar biasa bagi pengunjung, selain tenang dan damai.


Naib pengerusi persatuan tersebut, Saad Ghazali memberitahu, kesemua calet milik ahli persatuan berkenaan dimiliki oleh penduduk Kampung Ujung Bukit dan dilengkapi dengan kemudahan kantin, surau, dewan dan pentas untuk kegunaan majlis tertentu. Menurutnya, calet Kampungstay tersebut menawarkan tiga jenis penginapan iaitu satu bilik, dua bilik dan empat bilik untuk pengunjung sewa mengikut kadar berbeza.


"Bagi calet satu bilik tanpa pendingin hudara, harga yang ditawarkan adalah pada kadar RM70 semalam, manakala untuk yang mempunyai kemudahan pendingin udara, kadarnya RM120 semalam.


"Calet dua bilik pula ditawarkan pada kadar RM140 semalam, manakala calet empat bilik pada harga RM280 semalam. Kedua-dua jens penginapan ini tidak mempunyai kemudahan sistem pendingin udara," katanya kepada S2 di Kampungstay Ujung Bukit baru-baru ini.
Bagaimanapun Saad berkata, pengunjung tidak perlu bimbang kerana kesemua calet terutama yang tidak mempunyai sistem pendingin udara dilengkapi dengan kemudahan kipas.


"Lain-lain kelengkapan adalah televisyen, peti sejuk mini dan bilik air di dalam calet," tambahnya.


Beliau berkata, kesemua calet diberikan nama bukit mengikut bukit yang terdapat di negeri Perlis seperti Bukit Bintang, Bukit Keteri, Bukit Jernih, Bukit Emas, Bukit Nyatuh, Bukit Lagi, Bukit Padang, Bukit Kecil dan Bukit Chuping.


Saad menjelaskan, pengunjung yang menginap di calet Kampungstay akan diberikan sarapan secara percuma mengikut menu orang kampung.


Selain itu, katanya, mereka yang ingin menginap di calet Kampungstay secara berkumpulan sama ada dari syarikat atau agensi boleh mendapatkan pakej yang ditawarkan seperti lawatan ke ladang buah mempelam, buluh madu dan industri makanan kampung.


"Mereka yang mahukan pakej ini boleh berunding dengan pihak kami (persatuan) mengenai bayaran yang akan dikenakan kerana ia melibatkan kos lain, selain harga bilik.


"Kami juga boleh menyediakan kumpulan tarian dan persembahan pentas termasuk menguruskan acara sukan rakyat sekiranya terdapat permintaan," ujarnya.


Saad menjelaskan, calet Kampungstay mendapat sambutan menggalakkan sama ada daripada individu atau berkumpulan kerana kedudukannya di tepi bukit, selain pemandangan indah desa yang permai.


Keistimewaannya, kata beliau, calet tersebut dibina sendiri oleh ahli persatuan berkenaan dengan mengekalkan ciri-ciri rumah kampung bagi memenuhi cita rasa pengunjung.


"Kedudukan di kaki bukit, pemandangan sawah padi berhadapan calet merupakan antara tarikan sebaik sahaja pengunjung menjejakkan kaki ke sini (calet Kampungstay). Itu belum lagi pengunjung dapat merasai suasana sepenuhnya kehidupan di kampung ini.


"Di kawasan calet, pengunjung boleh memasuki gua batu kapur yang berhampiran. Malah di dalam calet itu sendiri, dinding bilik airnya adalah dinding gua kerana kedudukannya yang melekap dengan lereng bukit batu kapur," katanya


Di samping itu, katanya, calet Kampungstay sesuai bukan sahaja kepada mereka yang ingin berehat, malah untuk penggemar aktiviti lasak.


"Terdapat trek untuk mendaki bukit, malah pada sebelah malam, pengunjung boleh mengadakan barbeku atau majlis makan malam keluarga.


"Sekiranya terdapat permintaan, kami boleh uruskan majlis perkahwinan di sini (calet Kampungstay) sama ada menyewakan dewan sahaja atau lengkap dengan katering,"

Tiada ulasan:

Catat Ulasan