KOTA
BHARU: Bekas Timbalan
Perdana Menteri, Tun Musa Hitam mendakwa ketika berlakunya peristiwa Memali,
Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad berada di Kuala Lumpur
bukan di China sepertimana yang dikatakan sebelum ini, lapor The Malaysian
Insider.
Pendedahan itu dibuat selepas 29 tahun peristiwa berdarah Memali yang
mengorbankan nyawa 14 orang penduduk kampung tersebut manakala berpuluh yang
lain cedera.
Ketika kejadian itu berlaku, Musa turut memegang jawatan selaku Menteri
Keselamatan Dalam Negeri.
"Titik hitam dalam politik saya adalah Memali, saya cakap terus
terang," kata Musa ketika menjadi ahli panel Diskusi Politik Malaysia:
Dulu dan Sekarang anjuran Kerajaan Kelantan yang diadakan di Kota Bharu, pada
Rabu.
Musa juga menegaskan selepas kejadian itu, Dr Mahathir terus berada di Kuala
Lumpur; "Dua tiga hari selepas kejadian itu pun dia berada di Kuala
Lumpur."
Peristwa berdarah di Kampung Memali, Kedah itu berlaku pada 19 November 1985.
Selain 14 orang terkorban dan berpuluh yang lain tercedera, polis juga menahan
ratusan penduduk kampung berkenaan yang dikatakan pengikut Ibrahim Mahmud atau
lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya.
Pertempuran antara pihak Polis dan penduduk kampung Memali berlaku apabila
Ibrahim Libya cuba ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana
didakwa mengamalkan ajaran sesat.
Musa merupakan individu yang dipersalahkan dalam kejadian tersebut atas
kapasitinya sebagai Menteri Keselamatan Dalam Negeri.
Namun, ada juga pihak sebelum ini mendakwa Musa mengeluarkan arahan supaya
polis bertindak keras ke atas penduduk Kampung Memali kerana mendapat arahan
dari Dr Mahathir yang dikatakan berada di China.
PAS menyifatkan semua yang terbunuh dalam kejadian Memali itu sebagai mati
syahid.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan